Tuesday, May 29

Kosong

Intro

Sedih kalau hidup yang berlalu tidak diambil pengajaran. Rugi kalau apa yang telah berlaku berlalu begitu sahaja. Rugi juga kalau kisah orang yang diceritakan kepada kita tidak kita jadikan sempadan agar tidak terjerumus ke dalam keburukan yang orang itu lalui. Masa silam yang tiada diambil pengajaran ialah masa silam yang kosong. Mungkin masa silam itu membawa pengajaran di samping kesedihan yang membuatkan kita ingin melupakannya, tapi, jangan biarkan keperitan masa silam itu hanya keperitan. Ingat pengajarannya sekali. Jangan biar ia kosong.

Isi

Bila mengimbas masa lampau, ada orang akan tersenyum sendiri, ada yang menangis, ada yang menyesal, ada yang terasa bodoh, ada yang terasa kagum. Masa lampau memang bernilai. Ia mengajar kita untuk melangkah ke depan. Ia memberitahu kita tindakan apa yang telah gagal dan tindakan apa yang belum dicuba. Masa lampau memang bernilai.

Masa lampau memang masa yang menguntungkan kalau kita pandai gunakan. Masa sekarang masa membuat keputusan. Masa depan, masa yang kita tak tahu. Boleh jadi kita gagal, boleh jadi kita sukses.

Pandang lebih jauh. Masa lalu ialah masa lalu. Masa sekarang ialah masa sekarang. Masa depan ialah akhirat. Sekarang situasi ada sedikit perubahan. Masa lalu ialah dosa dan pahala. Masa sekarang ialah akidah, dan masa depan kita, ialah tindakan kita pada masa sekarang. Jadi apa tindakan kita sekarang? Taubat dan ibadah. Taubat dan ibadah.

Kesimpulan

1. Jadikan masa lalu pengajaran untuk kehidupan hari ini.
2. Sentiasa bertaubat. Pengampunan Allah sangatlah luas.
3. Muhasabah.

Ya Allah berilah kekuatan pada hambaMu ini melawan syaitan. Aku ini hambaMu, apa dayaku tanpa pertolonganMu. Aku tak mampu menang tanpaMu. Bantulah aku.

Amin.

Monday, May 14

Tolonglah Tahan Marah

Intro

Pernah satu hari dahulu, rasa gembira sangat-sangat. Waktu mendongak ke langit, terasa langit seolah-olah tersenyum. Waktu berjalan, terasa angin menyapa mesra. Waktu melompat, terasa satu dunia melompat bersama.

Pernah juga satu ketika, rasa marah meluap-luap. Dalam badan panas, luar badan panas, tengok orang lain mata jadi panas, kalau bercakap pula, rasa api yang keluar daripada mulut. Kalau melangkah, rumput yang dipijak terus mati. Semua benda rasa tak kena.

Isi

Menurut kata hukama', lebih baik sebuah kapal dipermainkan gelombang hingga kehilangan pedomannya dari seorang pemarah. Sebab walaupun kapal itu telah rosak, orang melihat masih sayang dan pilu hati. Tetapi, orang yang marah, bertambah ditolong bertambah berang, bertambah dicegah bertambah garang, hingga orang jemu memandangnya. Ruginya kalau kita sentiasa marah. Orang yang melihat kita sentiasa jemu dengan kita. Tak kurang juga yang sakit hati. Tapi, mungkin ada juga yang kasihan dan cuba meredakan kemarahan kita. Siapa tahu?

Imam Ghazali pernah berkata, kemarahan manusia bermacam-macam. Setengahnya lekas marah, lekas tenang dan lekas hilang. Setengahnya lambat marah, lambat pula redanya. Setengahnya lambat akan marahnya dan lekas pula hilangnya. Yang akhir inilah yang terpuji.

Marah memang dicipta ada dalam diri manusia. Mesti ada keperluan dan kepentingannya. Allah tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia. Rasulallah juga pernah marah. Sahabat-sahabat baginda juga pernah marah. Mereka marah apabila sesuatu yang mereka sayangi tercalar maruahnya. Mereka sayang Islam dan saudara dakwah mereka. Mereka pertahankan mereka.

Tidak salah untuk marah, tapi cuba redakan kemarahan itu selepas selesai urusan kita dengannya. Kalau rasa marah, duduk. Kalau tidak tenang juga, berbaringlah. Ambil wudu' juga dapat meredakan kemarahan.

Kesimpulan

1. Marah itu ada dalam diri manusia. Kalau kena pada tempatnya, kesannya mujarab.
2. Sabarlah bila berhadapan dengan orang marah.

Moga diberi kekuatan untuk menahan marah. Amin

Sunday, May 6

Terima kasih

Banyak komen yang diberikan oleh pembaca untuk entry sebelum ni. Yang baik itu saya ambil sebagai nasihat. Terima kasih.

Sebelum saya menulis untuk entry-entry seterusnya, suka untuk saya sampaikan di sini, saya menulis bukan untuk meluahkan perasaan apatah lagi hendak menyampaikan mesej-mesej rahsia. Walaupun saya akui saya memang meminati cerita-cerita seperti Da Vinci Code, Indiana Jones, Ninjaboy dan The Last Messenger, tetapi minat itu hanya terbatas kepada movie sahaja. Apa-apa yang saya tulis, itulah yang saya hendak sampaikan. Dengan kata lain, ambil yang tersurat sahaja.

Kepada yang terasa tulisan ini ditujukan khusus untuk dirinya, baguslah. Ada juga yang mengambil pengajaran. TAPI, tujuan asal saya menulis bukan untuk individu khusus. Saya menulis supaya tulisan saya dapat diambil pengajaran oleh semua pembaca. Saya tak pandai nak bersyarah, jadi saya cuba sampaikan idea dengan menulis.

Maaf kalau terkasar bahasa. Maaf kalau tidak bersopan. Saya manusia banyak kelemahan. Terima kasih atas nasihat. Moga saya dapat meningkatkan mutu penulisan saya pada entry-entry yang akan datang.


P/s: Kepada saudara sakaratul maut, manis nama tu. Terpaku orang mendengarnya :).

Saturday, April 21

Perasaan kita atau perasaan orang lain?

Kita tak hidup seorang diri dalam dunia ni. Apa-apa yang kita buat, ada kaitan dengan orang lain. Kalau kita luangkan masa seorang diri pun, ada juga kaitan dengan orang lain. Contohnya, kalau kita merajuk, tak keluar rumah, kawan-kawan akan terasa sesuatu. Untunglah kalau dia bersangka baik. Kalau dia bersangka buruk?

Memang tidak dinafikan, kita hidup dengan neraca di tangan kita. Perasaan kita di sebelah kanan neraca dan perasaan orang lain di sebelah yang satu lagi. Keputusan yang kita buat bergantung kepada apa yang kita utamakan. Perasaan kita atau perasaan orang lain?

Ada orang hidup tak pernah fikir tentang perasaan orang lain. Tiada perasaan orang pada neraca hidup dia. Memang orang macam ni wujud dalam hidup ni. Asyik dia saja yang nak menang. Kalau tidak pun, asyik dia saja yang betul. Orang lain salah belaka.

Ada juga manusia yang hidup untuk orang lain. Biarlah dia yang berkorban, asalkan orang lain hidup. Biar dia yang menderita dan orang lain hidup bahagia. Pernah jumpa orang sebegini? Pernah selami apa yang dia rasa? Atau kita sendiri tergolong dalam orang sebegini?

Tidak dapat dinafikan, kadang-kadang kita cuma fikirkan tentang diri kita walaupun ada juga ketika kita berkorban untuk orang lain. Walau apapun yang kita buat, atau yang kita akan buat, marilah fikir dahulu kesan pada diri kita dan kesan pada orang lain.

Tapi, satu perkara yang perlu kita ingat bersama, kita takkan dapat puaskan hati semua orang dan memang mudah kalau kita nak puaskan hati kita sendiri. Ha-ha!

Apa-apapun, perlu diingat, kadangkala apa yang kita rasa baik untuk diri kita, bukanlah yang paling baik untuk diri kita. Dan kehilangan sesuatu kadangkala bukanlah buruk untuk kita. Kita kena yakin, Allah lebih tahu, dan Dialah sebaik-baik perancang. Kita, hanya manusia yang terhad ilmunya. Kalau sesaat akan datang pun kita tak pasti apa yang akan berlaku, bagaimana boleh kita kata perancangan kita adalah yang terbaik?

Thursday, April 12

Hidup yang Bermakna atau Hidup yang Gembira?

Intro

Kita tak tahu bila kita akan mati. Nyawa ini bukan macam siang dan malam. Kita tahu bila akan malam dan kita tahu bila akan siang. Dengan pengetahuan itu, kita mudah merancang. Bangun pagi, solat subuh, bekerja, luangkan masa dengan kawan, berehat, dan tidur.

Kita tak tahu bila kita akan mati. Sebab tiada pengetahuan tentang itu, kita hidup dengan menduga-duga. Apa perlu kita buat sekarang? Apa perlu kita buat esok? Apa perlu kita buat untuk perbaiki kesilapan semalam?

Isi

Kalau kita tahu kita ada exam minggu depan, kita akan bersedia. Kita study, hafal, buat group discussion, dan macam-macam lagi. Sebab apa kita buat semua perkara tu? Sebab kita nak bersedia masa exam. Kita nak cemerlang.

Mati pun lebih kurang exam juga. Cuma, kita tak tahu bila kita akan diuji. Jika kita rujuk balik intro yang saya tulis, sebab kita tidak tahu bila kita akan mati, kita hidup dengan menduga-duga.

Bagaimana hidup yang dikatakan 'hidup dengan menduga-duga'? Hidup mereka yang menduga-duga ialah hidup yang mereka rasa baik pada akal mereka, tanpa disokong oleh pandangan Islam. Perlu kita ingat, akal kita boleh tersesat dan tertipu, tapi, Islam itu sudah pasti dan sudah lengkap. Jadi, dengan panduan Islam, hidup kita adalah hidup yang pasti, hidup yang sangat-sangat bermakna. Asas hidup kita adalah asas yang kukuh, bukan asas yang angan-angan.

Dengan itu, perlu kita ingat, tanpa panduan yang betul, hidup kita ibarat hidup tanpa hala tuju. Dengan kata lain, kita tidak akan sampai ke akhirat dengan berjaya.

Untuk jadikan hidup kita berada dalam jalan yang betul, perkara pertama perlu kita tetapkan dalam hati ialah matlamat akhir kita. Naik pangkat, dapat degree, kahwin; itu semua boleh jadi matlamat akhir kita. Tapi, itu semua hanya untuk kehidupan kita di dunia. Bagi yang yakin dengan adanya kehidupan di akhirat, matlamat akhir bukanlah pencapaian di dunia, tapi bahagia di akhirat.

Jadi, kita perlu manfaatkan setiap saat di dunia, supaya bila kita mati kita dah bersedia. Kita boleh lulus dengan cemerlang. Setiap saat kita di dunia, adalah saat yang taat kepada Allah. Saat yang ingat kepada Allah. Jadikan kehidupan kita bermakna.

Kesimpulan

1. Untuk berada pada jalan yang betul di dunia ini, kita mesti yakin bahawa kehidupan akhirat menanti kita.

2. Usahalah, agar setiap saat kita adalah saat yang bermanfaat.

Moga diberi kekuatan

Monday, April 9

Melbourne, bintang dan kawan lama

Intro

Daripada Bordertown ke Horsham, Azman asyik melihat ke langit. Tiada awan. Yang ada hanya bulan yang baru terbit di ufuk timur dan bintang-bintang yang bergemerlapan.

"Malam yang indah," bisik hati Azman.

"Tenang hati melihat ciptaan Allah. Dia yang mencipta hati ini, dan Dia tahu, apa yang membuat hati ini gembira."

Azman terus terseyum.

Isi

Pada awalnya, ada dua sebab yang membuatkan Azman tak mahu pegi Melbourne. Walaupun hanya 2, sebab-sebab tu dah cukup kuat. Salah satunya, Azman tidak mahu 'berjumpa' kenangan lama. Kenangan yang melukakan hati.

Akhirnya, walaupun berbagai usaha dah Azman lakukan untuk tidak ke Melbourne, dia tetap berada di sana juga. Azman sedar, ini adalah ketentuanNya. Walaupun Azman rasa, tidak pergi ke sana ialah perkara terbaik, Dia tetap mahu Azman pergi ke sana. Dia Maha Tahu. Dia 'tahu' apa yang terbaik untuk Azman. PerancanganNya lebih hebat daripada perancangan Azman. KeputusanNya adalah perintah untuk bumi, langit, angin, pokok-pokok, semua yang bernyawa, dan yang tidak bernyawa.

Walaupun Azman tidak mahu berada di sana dan tak ingin menghadapi apa yang bakal Azman jumpa, dia sedar, tiada apa yang boleh dia buat kecuali cuba mencari hikmahnya. Mesti ada sesuatu yang bererti. Sesuatu yang sangat-sangat bererti.

Dipendekkan cerita, Azman dapat 2 perkara yang sangat-sangat mengembirakan hatinya.

1. Kawan lamanya sayang padanya dan menganggapnya sebagai seorang abang, sebagai keluarga.

2. Kawan-kawan daripada Adelaide pun sayang kat dia jugak. Sebab, bila diorang tahu Azman hilang, diorang cari bersungguh-sungguh. Tapi, masa tu Azman tengah tidur sebenarnya!


Kesimpulan

Bukan semua perkara dapat kita duga. Walaupun permulaanya tidak menyenangkan, siapa tahu pengakhirannya sangat bermanfaat, menyenangkan, dan membahagiakan. Sentiasa bersangka baik kepada Allah, dan jadikan setiap saat yang dianugerahkan olehNya sebagai saat yang paling bahagia dalam hidup kita.

Semoga diberi kekuatan.

Tuesday, March 27

Minggu yang sibuk

Memang tak dapat nak menulis sangat minggu ni. Ada saja perkara yang perlu diselesaikan. Assignment, homework, bola, luangkan masa ngan 'famili', dan macam-macam lagi.

Walaupun banyak perkara yang telah terjadi, ada suka ada duka, tapi tak sempat nak ditulis dalam blog ni.

Tapi, ada satu perkara yang nak dikongsi minggu ni.

"Dengan cinta, peraturan tidak menjadi beban."

Kata-kata ni saya dapat daripada seorang kawan. Ringkas dan menarik. Kata-kata ni menjawab satu persoalan: Kenapa kadang-kadang kita rasa peraturan itu suatu beban?

Kalau cintakan Allah segala peraturan Allah mesti takkan jadi beban. Kalau cintakan Rasulallah, sunahnya bukan suatu beban. Macam tu juga kalau cinta yang lain.

Kesimpulannya, semai cinta pada tempat yang betul supaya pengorbanan kita ditujukan pada tempat yang selayaknya.

Sampai sini dulu. Semoga diberi kekuatan.

Sunday, March 18

Teringat zaman dulu-dulu...

Istilah Cinta

Istilah cinta ramai yang tahu,
Falsafah cinta sedikit yang mengerti,
Cinta itu sebenarnya perlu,
Kerana ia anugerah Ilahi.

Yang utama cinta padaNya,
Kedua pula pada RasulNya,
Disusuli dengan cinta ibu bapa,
Cinta yang lain ikut semasa.

Cinta agama tinggi nilainya,
Ganjaran syurga menanti dipenghujungnya,
Nak dapatkannya pastilah sengsara,
Kalau tak diuji bagaimana dikatakan cinta.

Kali pertama saya menyanyi lagu ni, usia saya masih muda lagi. Tingkatan 2 masa tu. Masih belum berapa kenal dunia. Ilmu agama pun cetek lagi. Menyanyi hanya sekadar menyanyi. Sekadar menghiburkan hati dan mahu sampaikan sesuatu pada orang lain. Bila difikirkan balik, ironi juga. Ingin sampaikan mesej pada orang lain tapi diri sendiri tidak faham sepenuhnya lagi. Tapi, sekurang-kurangnya, ada usaha, betul tak? Jangan jadi setengah orang, pandai mengkritik, tapi tiada cadangan membina.

Bila sebut tentang cinta ramai yang teruja. Ada yang suka, ada yang berduka. Istilah cinta, memang ramai yang faham. Berkasih-sayang, berkongsi, berkorban, dan berbagai lagi tafsiran manusia tentang cinta. Bagaimana dengan falsafah cinta?

Saya pun susah nak beritahu, sebab ilmu dan pengalaman tentang cinta pun mentah lagi...

Tapi, secara ringkasnya, yang pertama sekali mestilah cinta pada Allah. Yang kedua, cinta pada Rasulnya. Kemudian, cinta ibu bapa.

Tetapi, banyaknya orang sekarang ni, cinta lain pula yang jadi agenda utama. Hati-hati jangan jadikan cinta lain tujuan utama hidup. Ingat kisah Muhajir Umm-Qais? ( Rujuk Hadis 40; Hadis Satu) Itu akibat letakkan cinta lain lebih daripada cinta Allah. Niat jadi lain. Balasan yang dapat pun balasan di dunia saja. Memang bahagia, tapi sekejap saja. Bila tamat hidup di dunia, tamatlah bahagia.

Seperkara lagi, cakap memang senang? Cuba buat! Saya sendiri pun susah juga. Tapi, jangan mudah putus asa. Ikhlaskan hati, tabahkan diri.

"Barangsiapa yang berusaha menabahkan diri, Allah akan memberinya tabah." (Riwayat Bukhari)*

Akhirnya, ada beberapa pesanan khas:

1) Marilah berusaha buktikan cinta. Kurangkan berkata 'Aku cintakan kau'. Mulalah berkata, 'Inilah bukti cintaku padamu'.

2) Kepada kawan serumah, usaha kena selari dengan apa-apa yang kita mahu. Kalau nak berjaya kena belajar. Kalau nak duit kena mintak/kerja. Kalau nak kawin, kena sedia.

Moga diberi kekuatan oleh Allah. Amin.

Rujukan

*Muhammad Al-Ghazali; Akhlak Seorang Muslim

Saturday, March 10

Susah sangat ke nak maafkan orang lain??

Manusia itu lemah. Kesilapan memang sesuatu yang MESTI. Wahai manusia yang membaca, tolonglah terima kelemahan diri kita. Tolonglah...

Aku MEMANG bukan orang yang terbaik. Susah ke nak maafkan dan beri masa untuk berubah? Apa masalah kau sebenarnya? Dinding apa yang ada di antara hati kau dan kemaafan? Dinding ego? Dinding cinta? Dinding senioriti?

SESUNGGUHNYA, aku tidak kisah walau satu dunia nak KATA aku jahat, tidak boleh jadi baik, dan seribu satu lagi penghinaan, aku tidak kisah. Yang bagi aku masa ialah Allah. Yang bagi aku nyawa pun Allah. Kalau kau tidak mahu menyokong aku, kalau kau mahu tinggalkan aku pun, tinggalkanlah. Aku akan cuba mencari cinta Dia yang tidak meninggalkan Aku.

Aku silap sebab aku tidak faham. Aku silap sebab aku kurang berfikir. Aku sedang mencari ilmu untuk faham. Aku sedang cuba berfikir sebanyak yang boleh. Beri aku sedikit masa.

Kalau kau tinggalkan aku sekarang, tinggalkanlah! Nanti, aku akan kembali kepada engkau sebab aku telah menerima engkau. Baik buruk kau aku dah terima. Cuma satu perkara aku nak tahu, baik buruk aku, sudah kau terima?

Monday, March 5

Belajar Tentang Bahan, Belajar Tentang Tuhan

Intro

Semua orang sedang belajar. Ada yang belajar Matematik, Sains, Fizik, Usuluddin, Feqah dan sebagainya. Tuntut ilmu ibadah. Ibadah pula tujuan jin dan manusia diciptakan. Manusia dan jin tidak diciptakan sia-sia dan bukan untuk main-main.

Dunia pula tempat tinggal manusia. Singkat, dan sementara. Tidak kekal. Semua itu sifat dunia. Boleh juga dikatakan dunia ini hina. Dunia ini sehina bangkai kambing. Rugi amat kalau mengejarnya.

Isi

Minggu lepas, saya belajar tentang bahan (Materials and Manufacturing). Antara perkara menarik yang baru saya tahu ialah semua bahan tidak kira dalam bentuk apa sekalipun (besi, polimer, dan komposit) tidak mungkin wujud 100% asli dan mesti ada kecacatan. MESTI ada kecacatan.

Terus terfikir sehingga begitu sekali Allah hendak membuktikan Dia ada. Dia menunjukkan tidak ada sesuatu pun yang sempurna di dunia. Sehingga begitu sekali Dia memberi petunjuk kepada manusia. Benarlah dia Maha Penyayang. Dia tidak meninggalkan hambanya di dunia tanpa diberi sebarang bukti dan petunjuk.

Oleh kerana itu, marilah kita mengaitkan apa-apa yang kita pelajari kepada Allah kerana Dia tidak hina. Allah tidak seperti dunia yang hina. Amat murah usaha kita kalau kita hanya fikir sepenuhnya untuk dunia. Kaitkan apa-apa yang kita pelajari dengan Allah. Dengan itu, usaha itu akan lebih bermakna.

Kesimpulan

1. Kaitkan ilmu yang kita pelajari dengan kekuasaan Allah.
2. Jangan lakukan sesuatu perkara kerana dunia.


Moga diberi kekuatan.

Monday, February 26

Diberi perhatian

Intro

Pernah berdiri di hadapan? Semua orang melihat. Setiap inci tubuh dipandang. Setiap gerak geri diperhati. Kalau pernah, mesti tahu betapa malunya kalau berlaku sesuatu yang tak dijangka. Ada butiran nasi 'kat' tepi bibir, seluar tak zip, terlupa lirik, dan sebagainya.

Isi

Dalam hidup ini, kita selalu berdiri di 'hadapan' manusia. Manusia memerhatikan kita. Mesti kita sedaya upaya mengelak diri daripada melakukan sesuatu yang memalukan diri sendiri. Kalau makan, kontrol 'macho'. Kalau berjalan biar nampak segak. Kalau berpakaian biar nampak kemas.

Bukan itu sahaja. Hatta, dalam membuat keputusan pun perhatian orang ramai akan diambil kira.

"Kenduri kahwin ni mesti besar-besaran. Aku ni 'engineer'. Kene jaga status. Nanti apa orang kata kalau majlis ni ala kadar aje..."

"Kalau 'ana' tidak pergi masjid solat jemaah, nanti apa pula sahabat seusrah 'ana' kata..."

"I pakai tudung bila perlu je. Ikut keadaan la katakan. Ikut 'surroundings' le..."

Bukan satu kesalahan mengambil kira pandangan orang ramai dalam membuat keputusan. Yang silapnya, bila pandangan orang ramai diutamakan berbanding kehendak yang ditetapkan oleh Allah. Perkara yang mudah jadi susah. Inilah akibatnya kalau perhatian Allah bukan perkara yang utama. Bukan yang No-1.

Sudahnya, akibat mengikut-ikut sangat kata orang kebanyakan, perkara haram diredah, perkara yang halal pula terabai. Sedangkan Allah telah berfirman:

Dia menyuruh mereka dengan yang ma'ruf, menegah mereka daripada yang mungkar, menghalalkan segala yang baik bagi mereka, mengharamkan segala yang buruk atas mereka dan membuang daripada mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka.

(Surah al-A'raf 7:157)

Tetapi, janganlah sampai terlalu ekstrim dalam membuat keputusan. Jangan pula mengasingkan diri daripada masyarakat, tidak bercampur dan tidak bergaul. Jangan pula hingga 24 jam di masjid saja hinggakan orang awam takut untuk mendekatinya.

Jaga perhatian Allah. Jangan tersilap hingga orang awam menjauhi kita. Ingatlah pesan Rasulallah kepada Abu Musa dan Muaz, dua pendakwah yang dihantar ke Yaman:

Kamu berdua, mudahkanlah dan jangan menyusahkan, ajaklah dengan baik(gembirakanlah) dan jangan jadikan mereka menjauhkan diri, taatlah dan jangan kamu berdua ingkar. (Riwayat Muslim)

Kesimpulan

Utamakan perhatian Allah. ( Hukum-hukumnya dan batas-batasnya)

Ambil kira perhatian orang awam.

Jangan susahkan urusan agama.


Sekian, moga diberi kekuatan. Amin.

Wednesday, February 14

Sakit hati

Intro

Hati yang sensitif ialah hati yang sentiasa sakit. Hati yang peka ialah hati yang selalu terluka. Sakit ketika Islam disakiti dan luka ketika Islam dilukai.

Isi

Terlalu banyak orang yang melukakan Islam hari ini. Sebahagian besarnya adalah orang yang mengaku dirinya Islam. Ini bukan sesuatu yang pelik. Seseorang merosakkan/mencederakan sesuatu yang dia sayangi memang sesuatu yang biasa. Sudah jadi adat. Anak kadangkala menyakiti hati ibu. Suami kadangkala menyakiti hati isteri. Manusia memang tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Sebab itu pintu taubat terbuka luas.

Tentang Islam pula, Muslim sendiri menyakiti Islam yang mereka cintai dalam keadaan dia tidak sengaja. Dia tahu berkata dengan sopan itu akhlak yang baik, tetapi kadangkala terlepas juga kata-kata yang kurang elok. Dia tahu solat berjemaah di masjid itu utama, tetapi hanya solat Jumaat sahaja dia hadir di sana. Sudahnya, dia merobek bahagian-bahagian kecil daripada satu bahagian Islam yang syumul. Orang bukan Islam dan mereka yang mahu mengenal Islam melihat refleksi Islam daripada individu tersebut. Rosaklah nama Islam di mata mereka.

Islam itu teguh dan kukuh. Islam itu akan kekal hingga hari kiamat. Hanya dengan Islam sahaja manusia akan berjaya. Tidak kisah walaupun berjuta manusia merosakkan Islam, Islam tetap terpelihara. Sebab yang memeliharanya adalah Allah.

Akan tetapi, mereka yang merosakkan imej Islam secara tidak sengaja, telah membuatkan mereka yang mahu mendekati Islam menjadi ragu-ragu dengan Islam. Hati-hati. Jangan jadikan diri kita punca orang lain tidak mahu mendekati Islam.

Dengan itu hati kita mesti dilatih supaya sensitif. Bila Islam disakiti, kita rasa hati kita disakiti. Ada ubat untuk hati yang keras. Baca Quran dan maknanya. Solat malam. Berkumpulan dengan orang Soleh. Zikrullah. Berpuasa sunat. Itulah ubatnya.

Kesimpulan

Jadikan diri kita pintu orang mengenal Islam.

Sentiasa memperbaiki diri.

Jangan putus asa daripada rahmat Allah.



Moga diberi kekuatan.

Thursday, January 25

Tentera & Muslim

Setelah meluangkan masa lebih kurang 10 minit dengan Christ, seorang kadet daripada Army Reserve, saya rasa tertarik pula dengan modul yang diperkenalkan oleh Australian Defence. Semua orang boleh menyertai tentera tanpa mengganggu kehidupan seharian.

Bukan saya hendak meng'offer' kawan-kawan yang berada di Australia untuk menyertai Army Reserve, tetapi terdetik dalam hati betapa ketenteraan dianggap lekeh oleh sesetengah orang dan ada juga Muslim yang tidak mahu melibatkan diri dengan aktiviti ini.

"Maleh aku masuk hutan. Baik duduk rumah dengan anak isteri."

"Surau pun jarang pegi, nak pegi latihan tentera, penatlah."

"Saya cintakan keamanaan, sebab tu saya tak join tentera."

Otak manusia memang boleh dikatakan sebagai kilang alasan. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Kalau dah banyak dalihnya, faham-fahamlah. Tak nak la maksudnya.

Idea yang diperkenalkan oleh Army Reserve ni ialah tiap-tiap orang boleh memberi sumbangan kepada pertahanan negara. Mereka memecahkan jenis penyertaan kepada 2: Pegawai dan Kadet. Pegawai dipecahkan kepada 2 bahagian, General Service Officer ( tugas pentadbiran) dan Specialist Service Officer ( tugas-tugas khas). Bahagian kedua itu meliputi tugas-tugas sebagai doktor, jurutera, peguam dan perhubungan. Kadet pula, kadetlah. Tak perlu dihuraikan.

Pada zaman Rasulullah dahulu, tiada organisasi khas untuk melatih para sahabat sebagai tentera. Merekalah peniaga, mereka juga tentera Islam. Merekalah pendakwah, mereka juga tentera Islam. Mungkin ada yang berkata,

"Mereka dilatih sejak kecil untuk menunggang kuda dan bermain pedang. Sebab tu tak payah kem tentera."

Ingat, tidak semestinya kena tunggang kuda dan main pedang. Cuba luaskan skop pemikiran. Fikir bahawa tunggang kuda itu sebagai keupayaan mobiliti dan bermain pedang sebagai 'martial art'. Dengan itu, latihlah diri dengan kemahiran navigasi dan membaca peta serta seni mempertahankan diri.

Lagi, kalau hendak menyumbang kepada ketenteraan bukan dengan otot 100%. Gunakan kemahiran lain. Sepertimana yang diterangkan di atas, semua boleh menyumbang kepada kekuatan Islam.

Seperkara lagi, 'fitness' amat penting sebagai seorang Islam. Jangan malas-malas nak beriadah. Mukmin yang kuat adalah lebih disukai daripada Mukmin yang lemah. Kalau asyik dalam bilik sahaja, memanglah lemah sebab temannya tilam dan bantal. Pegilah 'gym', beradu kekuatan dengan besi. Tak pun, pegi padang, berkawan dengan angin dan terik mentari.

Kesimpulan

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Di mana ada ketidakmahuan, di situ ada alasan.

Latih diri menjadi kuat.



P.s: Kat Malaysia popular tak tentera simpanan ni? Rasa-rasanya?

Monday, January 22

Islam untuk Semua

Intro

"Puak-puak agama ni , hidup di kalangan mereka je. Kita yang biasa-biasa ni tak 'ngam' dengan 'diorang'," komen seorang mat motor.

"Kitorang ni kaki bola. Diorang tu kaki surau. Kami pakai jersi dengan jeans saja, diorang kopiah ngan jubah tak pernah lekang. Nampak sangat diorang tu memang baik-baik. Memang tak leh duduk sekali lah," keluh seorang penyokong Manchester United.

Bermacam-macam keluhan lagi yang selalu pendakwah-pendakwah hadapi tatkala berdepan dengan 'mad'u'.

Pendakwah menganggap ini sebagai cabaran. Mereka yang menyertai 'jalan dakwah' pasti ada ujian. Mesti ada musibah. Mesti ada tentangan. Itu biasa.

Tapi, adakah keluhan-keluhan itu cabaran semata-mata? Nampak ada benarnya keluhan-keluhan kaki bola dan mat motor tadi. Kalau mereka benar, siapa yang salah? Pendakwah?

Isi

Rasulallah diutuskan untuk kesejahteraan seluruh alam. Segenap golongan manusia yang membuka hati mereka akan mendapat rahmat daripada Islam. Akan tetapi, manfaat dan rahmat itu tidak sampai kepada segenap manusia kerana yang membawa Islam itu tidak kena caranya.

Jangan melenting dahulu. Perlu diingat, pendakwah itu makhluk. Pendakwah itu manusia. Pasti ada silapnya. Cacatnya mesti ada.

Masalah-masalah di atas timbul kerana wujudnya golongan pendakwah yang kurang berilmu. Oleh sebab kurangnya ilmu mereka, mereka memilih mad'u mereka.

"Alah, mat-mat motor ni malas 'ana' nak pegi kat diorang lah. Lebih baik 'ana' dekati pelajar-pelajar pengajian Islam."

"Diorang tu tengok bola, main bola. Tengok bola, main bola. 'Ana' xda masa untuk semua tu. 'Ana' nak pegi surau ni."

Lantas, golongan-golongan yang hati nurani mereka dahagakan Islam, ditinggalkan begitu sahaja, lantaran ada segelintir golongan pendakwah yang memilih mad'u mereka. Selain itu, ada juga pendakwah yang kurang dinamik. Bagi mereka, dakwah itu adalah ceramah. Kalau bukan pun, dakwah itu adalah ajak pegi surau semata-mata.

Dahulu, Abu Zar terdengar berita ada seorang lelaki bani Hasyim yang mengaku dirinya nabi. Kerana, ingin tahu, Abu Zar keluar daripada Ghiffar dan pergi ke Mekah. Di pintu masuk Kota Mekah, konco-konco Abu Jahal memberitahu kepada setiap orang baru yang datang supaya berhati-hati dengan lelaki yang mengaku dirinya nabi. Abu Zar tidak tahu perkara yang harus dilakukannya. Lantas, dia pergi berehat di tepi Kaabah.

Ali yang ketika itu masih remaja, menyedari kehadiran 'orang baru' itu. Lantas, Ali menawarkan penginapan kepada Abu Zar. Ali tidak bertanya kepada Abu Zar tentang tujuan kedatangannya, dan Abu Zar pula tidak memberitahu tujuan kehadirannya, kerana teringat pesan konco Abu Jahal.

Tidak sekalipun Ali menyebut tentang Rasulallah dan ajarannya kepada pendatang baru itu. Ali hanya menjalankan rutin kehidupan sehariannya. Ali tidak berceramah setiap hari kepada pendatang baru itu. Daripada cara Ali menjalani kehidupan seharian, dia menunjukkan ada cara lain untuk mengurus hidup. Melalui peribadinya, Ali berjaya menunjukkan ada 'pilihan' lain selain hidup dengan cara Jahiliah.

Selepas tiga hari, Abu Zar tertarik dengan perangai Ali dan timbul rasa percaya padanya. Lantas, Abu Zar bertanya kepada Ali tentang orang yang mengaku nabi. Ali dengan gembira membawa Abu Zar kepada Rasulallah. Akhirnya, Abu Zar serta Kabilahnya masuk Islam. Semuanya bermula dengan peribadi Ali. "Action speaks louder than words".

Kesimpulan

Pendakwah harus menunjukkan peribadi yang baik kepada orang lain. Dalam kes Ali, dia menunjukkan peribadi yang baik kepada orang bukan Islam. Peribadinya mencerminkan ilmu yang dipelajari daripada Rasulallah. Dia tidak berfikir untuk meningkatkan amalan dirinya sahaja lantaran tidak bercampur dengan orang bukan Islam. Islam adalah agama yang sejahtera. Islam untuk semua.

Resolusi

Pendakwah harus terus mendalami segala jenis ilmu dalam Islam contohnya, Fekah, Tajwid, Bahasa Arab, Matematik, Sains, Kemahiran Berkomunikasi, bola sepak dan sebagainya.

Amalkan ilmu yang dipelajari.

Dekati dan berkawanlah dengan semua orang.

Pendakwah adalah orang yang menunjuk jalan dan memberi pilihan. Bukan orang yang memaksa dan mendesak.



Semoga diberi kekuatan.

Friday, January 19

Hijrah

Intro

"Setahun berlalu, bermaksud setahun lebih dekat dengan kematian," terang Imam dalam khutbah Jumaat tadi.

"Kita menyambut tahun baru bukan seperti 'orang lain' menyambut tahun baru. Bukan dengan parti. Bukan dengan bersuka-suka yang sia-sia."

Isi

Kalendar Hijrah diasaskan oleh Saidina Umar Al-Khattab setelah berbincang dengan para sahabat. Langkah ini diambil untuk menggantikan penggunaan Kalendar Rom. Kiraan tahun pula bermula dengan tahun penghijrahan Rasulallah P.b.u.h. dan para sahabat dari Mekah ke Madinah.

Saidina Umar juga memutuskan untuk memulakan Tahun Hijrah dengan bulan Muharam, walhal, sebenarnya peristiwa Hijrah berlaku dalam bulan Rabiul Awal. Apa rasionalnya?

Dalam satu hadis Rasulallah, Baginda memberitahu, "Dalam umat-umat terdahulu, terdapat golongan yang diberi ilham (walupun mereka bukan nabi). Jika ada orang sebegitu di kalangan pengikutku, Umar adalah orangnya."

Hadis ini menunjukkan idea Umar dipandu oleh Allah. Dan itulah keistimewaan Umar. Dalam penentuan permulaan Tahun Hijrah, Umar telah mengemukakan satu pandangan yang bernas.

Bulan Muharam dipilih sebagai bulan yang pertama kerana bulan sebelumnya ialah Zulhijjah yang dalamnya terdapat Rukun Islam yang ke-5, menunaikan haji. Haji yang mabrur mengembalikan rohani pelakunya kepada keadaan yang suci dan bersih, seperti bayi yang baru lahir. Dengan itu, pelaku akan mendapat motivasi untuk memulakan tahun baru dengan keadaan yang suci daripada sebarang dosa.

Bagi yang tidak dapat menunaikan haji (kerana uzur dan sebagainya), mulakanlah tahun baru dengan azam yang baru, azam yang berpandu kepada syarak.

Penutup

Tuntutlah lebih banyak ilmu tentang Islam, tambah ayat hafazan dan aplikasikan ayat yang dihafaz dalam kehidupan seharian. Jadilah pendakwah yang lebih rajin. Maafkan kesalahan orang lain dan hubungkanlah silaturahim. Eratkan hubungan kekeluargaan. Jangan mengumpat dan berbual kosong. Banyakkan menolong orang yang kurang upaya dan yang kurang bernasib baik.

Semoga diberi kekuatan.

Rujukan.

Mimbar Jumaat Adelaide Mosque

Wednesday, January 17

Antara Istikharah dan Istisyarah

Seorang sahabat saya bertanya,

"Kalau kita dapat petunjuk dalam mimpi selepas solat Istikharah, tapi mimpi tu bertentangan dengan keputusan kita, wajib ke kita ikut apa-apa yang kita dapat dalam mimpi tu?"

Persoalan di sini ialah hukum ikut petunjuk dalam mimpi yang kita dapat selepas solat Istikharah.

Sebelum dihurai lebih lanjut, berikut adalah definisi Istikharah & Istisyarah. 'Istisyarah' bermaksud 'meminta pandangan', contohnya meminta pandangan daripada rakan, ibu bapa atau guru.

Istikharah pula bermaksud 'meminta petunjuk'. Akan tetapi Solat Istikharah bukan dilakukan untuk mendapat mimpi atau sebagainya. Menurut An-Nawawi,

"...selepas Solat Istikharah, dia mesti lakukan perkara yang dia rasa sepenuh hati ingin lakukan, rasa selesa dengan keputusan itu, dan mestilah tidak berkeras untuk melakukan perkara yang dia hajatkan sebelum Solat dilaksanakan. Jika perasaannya berubah, dia mesti tinggalkan perkara yang dia inginkan sebelum Solat, jika tidak dia tidak bertawakal kepada Allah, dan tidak ikhlas dalam meminta bantuan daripada Allah. Keikhlasan dalam meminta petunjuk daripada Allah bermaksud meninggalkan sepenuhnya kehendak diri sendiri."

Daripada huraian Imam Nawawi, dapat kita simpulkan bahawa Solat Istikharah dilakukan untuk menetapkan hati dan menguatkan tawakal kepada Allah.

Tambahan pula, Solat Istikharah bukan dilakukan dengan tidak semena-mena atau tanpa langkah-langkah awal. Selepas analisis, berpandukan Al-Quran dan As-Sunah, serta proses Istisyarah, barulah solat tersebut dilakukan dan keputusan diambil selepas itu. Akhir sekali, bertawakalah!

Berkaitan dengan mimpi pula, perlu dilihat adab-adab orang yang bersolat sebelum tidur. Mungkin mimpi itu petunjuk. Boleh jadi mimpi akan menyesatkan. Nauzubillah.

Kesimpulannya, soalan wajib atau tidak mengikut petunjuk dalam mimpi itu sudah menyalahi konsep. Hukum perbuatan tidak bergantung kepada mimpi, tapi, adalah bergantung kepada analisis daripada Al-Quran dan As-Sunah serta proses Istisyarah.

Jadi, betulkan konsep pemahaman kita terhadap Solat Istikharah. Mungkin solat ini sekadar solat sunat, tetapi kaitan dengan akidah umat Islam itu sendiri amat rapat seperti tawakal, keikhlasan dalam memohon pertolongan Allah, dan lain-lain.

Sampai sini dahulu. Sehingga berjumpa lagi.

References.

Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dan sahabat.
www.muttaqun.com

Monday, January 15

Setelah lama menyepi...

Kini, pena ini basah semula. Lembaran yang kosong mesti diisi. Segenap peluang yang ada perlu dimanfaatkan untuk memperingat umat.

Biarlah sedikit ilmu dalam berdakwah, sedikit itu jugalah yang diamalkan dan disampaikan. Biarlah tidak pandai sangat menulis, tulislah apa-apa yang terdaya demi umat. Biarlah tidak pandai berkata-kata, ucapkanlah apa-apa yang termampu demi ummat.

Sebagai muslim, sentiasa ingat, Islam itu untuk seluruh umat. Hanya dengan Islam umat akan selamat. Dunia dan akhirat. Tiada cara lain. Hanya Islam.

Muslim mesti menyampaikan walau satu kalimat. Muslim mesti mendukung Islam walau hanya dengan satu jari.

Dan ingat, jangan selama-lamanya satu kalimat. Jangan selama-lamanya satu jari. Jangan terus melihat sahabat-sahabat bekerja dari jauh sahaja. Muslim mesti meningkat. Tazkiyatun nafs. Muhasabah. Hari ini mesti lebih baik daripada semalam.

Moga mendapat kekuatan.

Saturday, November 18

Aiyuhas Syabab... ( Wahai pemuda...)

"Sesungguhnya sesuatu fikrah itu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang beriman penuh dengan ajarannya, yang benar-benar jujur dalam usaha menegakkan hukum-hukumnya, yang mempunyai semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan disamping itu terdapat pula kemudahan persiapan yang boleh mendorong manusia ke arah berkorban (bertindak) serta terus bertindak menjayakannya." ( Al-Banna)

Dalam setiap perjuangan, kemenangan adalah sasaran pejuang. Kemenangan yang hakiki hanya pada mereka yang berjuang beserta bantuan Allah dan Bantuan Allah akan turun kepada mereka yang layak mendapat bantuan Allah.

Dalam peristiwa Badar, bilangan bukan penentu kejayaan. Kecanggihan senjata dan kenderaan perang bukan juga penjamin kejayaan ada dalam genggaman. Pejuang Islam menang ketika itu kerana Allah beri kemenangan kepada mereka. Pejuang Islam ketika itu layak mendapat bantuan Allah.

Merujuk kepada kenyataan Al-Banna dalam risalah 'Wahai Pemuda' dia atas, itulah sifat yang perlu ada dalam ahli sesebuah pergerakan fikrah. Penekanan diberi kepada pemuda pergerakan fikrah. Mereka mestilah mempunyai keimanan yang benar-benar tulen atas ajaran pergerakan. Mereka juga mestilah mempunyai kejujuran ( sadiq ). Kejujuran ini ialah hati mereka dengan tulus mahu kepada pergerakan itu dan sentiasa bersama dengan ajaran pergerakan dalam ramai mahupun ketika sendirian.

Pemuda juga mestilah mempunyai semangat untuk berjuang kerana semangat itulah minyak yang akan membakar api tindakan. Akhir sekali, pemuda mestilah bersifat dinamik; sentiasa bergerak dan beramal dengan fikrah jemaah, bukan hanya pandai bersyarah dan berfikir. Mesti ada aplikasi dan tindakan.

Perlu diingat, semua ciri-ciri itu bukan sesuatu yang ada dengan sekelip mata, atau diperolehi dengan mudah. Perlu ada tarbiah yang terancang dan tersusun, serta latihan-latihan, perlu diwujudkan untuk membentuk pemuda yang bersifat seperti sifat yang telah disebut.

Antara medium latihan yang mudah ialah usrah. Rasulallah memberi pendedahan kepada sahabat dengan perjumpaan-perjumpaan dan perbincangan-perbincangan mengenai Islam. Inilah cara Rasulallah, dan inilah juga cara kita, jika kita mahu berjaya di dunia dan di akhirat.

Hingga berjumpa lagi...

Saturday, October 28

Jimi, member yang buat roti dan Al-Quran

Jimi ada seorang kawan yang langsung tak pandai memasak. Yang mana satu bawang, yang mana satu garam pun, dia x dapat nak bezakan.

Suatu hari, kawan Jimi datang kepada Jimi dengan membawa sebuku roti. Dia mempelawa Jimi makan. Roti tu terlalu sedap. Jimi rasa xpernah dia rasa roti sesedap tu. Dia pun tanya kat member dia, siapa yang membuat roti tu. Dengan bangganya member dia mengaku dia yang buat roti tu.

Pelik. Macam mana orang yang xbleh bezakan antara garam dengan bawang boleh buat roti yang begitu sedap?

Cuba fikirkan, bagaimana seorang lelaki yang tidak mengenal huruf boleh menyampaikan kata-kata indah penuh makna? Lelaki yang dikenali oleh masyarakat sekitarnya sebagai seorang yang buta huruf boleh datang kepada mereka dengan karangan-karangan bermesej penting.

Lelaki itu berdiri di atas Bukit Safa, dan berkata kepada kaumnya.

"Jika aku kata ada tentera yang bersedia untuk menyerang kamu, adakah kamu percaya?"

Kaumnya sudah tentu percaya kepadanya kerana dia adalah Al-Amin.

Dia meneruskan, "Sesungguhnya ada bahaya yang lebih besar yang aku hendak sampaikan kepada kamu..."

Lalu dia menyampaikan bahaya Jahiliah dan ancaman neraka.

Persoalannya, dari mana punca kata-katanya. Dia tidak pandai menulis, apatah lagi membaca.

Benarlah, seperti yang termaktub di dalam Surah An-Najm, Ayat 3-4,

"Dan tidaklah yang diucapkannya itu (al-Quran) menurut keinginannya (3). Tidak lain (al-Quran itu) adalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya) (4)."

Maka, kalau dikaitkan dengan analogi roti tadi, xmungkin member tadi boleh buat roti yang best, camtu jugaklah Rasulallah yang menyampaikan Al-Quran yang bukan datang drpd dirinya, tapi datang daripada Tuhan yang Maha Agung.

Wallahu A'lam.

Friday, October 6

Dah separuh Ramadhan berlalu...

First half dah tamat. Sekarang, second half pulak. Macam mana dengan perkembangan iman? Yazid au yanqus? ( Bertambah atau berkurang? )

Prinsip seorang sniper (penembak hendap), satu peluru untuk seorang musuh. Dengan kata lain, setiap aset mesti digunakan semaksima mungkin untuk mencapai matlamat. Kita cemane?

Kalau yang rajin baca quran, mungkin satu hari satu juzuk. Kalau yang rajin qiyamullail, satu malam satu sesi qiyamullail. Mudah-mudahan mereka yang rajin berjaga malam tu dapat kelebihan daripadanya, seperti yang dijelaskan dalam Surah Muzammil, Ayat 6 & 7:

"Sungguh bangun malam itu lebih kuat (mengisi jiwa); dan (bacaan pada waktu itu ) lebih berkesan. [6] Sesungguhnya pada siang hari engkau sangat sibuk dengan urusan-urusan yang panjang. [7]"

Jangan lupa pulak pada sepuluh malam terakhir. Masa itu ada kurnia besar untuk hambanya iaitu Malam Lailatul Qadar. Malam yang lebih baik daripada seribu bulan. ( Surah Al-Qadr)

Ambillah peringatan. Gunakan bulan ramadhan yang masih tinggal separuh ni sepenuhnya. :)