Showing posts with label Liputan Khas. Show all posts
Showing posts with label Liputan Khas. Show all posts

Sunday, October 9

3S - Safety, Nuclear Security and Safeguards

Pada 20 September 2016, satu seminar bertema "3S - Safety, Nuclear Security and Safeguards" telah diadakan di Universiti Tenaga Nasional. Penaja utama seminar ini ialah Hitachi-GE. Tokyo Institute of Technology (Tokyo Tech, #19 QS World University Ranking by Subject: Engineering - Electrical and Electronic) dan Universiti Kebangsaan Malaysia turut sama memberikan sumbangan.

Topik yang dibentangkan ialah

  • Safeguards, 
  • Nuclear Security,
  • Safety-General, dan 
  • Safety-ABWR Specific. 
Dari sudut pengisian, saya berpendapat difficulty level bahan pembentangan ialah sangat bersesuaian dengan audience yang hadir. Hadirin kebanyakannya terdiri daripada pelajar undergraduates, postgraduates, dan academicians. 

Pembentangan daripada Associate Professor Dr. Hiroshi SAGARA daripada Tokyo Tech adalah mengagumkan. Selain daripada pengisian yang sangat bersesuaian dengan hadirin, cara penyampaiannya yang bijak dalam menggalakkan penglibatan hadirin wajar untuk diimitasi.

Pada akhir pembentangan beliau, Prof. Sagara berkongsi, "menggunakan tenaga atom untuk pembangunan ketamadunan dan menghalang tenaga atom daripada disalahgunakan" ialah motivasinya untuk terus mencurahkan idea dan tenaga dalam bidang nuclear safeguards dan nuclear security. 

Pembentang daripada Hitachi-GE Nuclear Energy, Yasushi KODA-sensei pula menerangkan kaedah Probability Risk Assessment (PRA) yang digunakan untuk menilai tahap keselamatan sesebuah reaktor nuklear.

Koda-sensei juga membentangkan case study PRA yang dijalankan kepada ABWR. Ringkasnya, ABWR mempunyai tahap keselamatan yang memenuhi piawaian International Atomic Energy Agency (IAEA) untuk penjanakuasa nuklear yang akan dibina.

Seminar ini ialah siri pertama dalam Nuclear Energy Seminar Series anjuran Hitachi-GE. Semoga pelajar-pelajar daripada Universiti Tenaga Nasional dan Universiti Kebangsaan Malaysia mendapat manfaat daripada Seminar Series ini. Saya menantikan siri yang seterusnya.


Wednesday, June 10

00116197265354

0 rasa hati ini bila hampirnya dengan exam. Akibat cuti study, usrah terpaksa pula ditangguh. Kalau hati asyik kosong daripada manisnya ukhwah, cemana nak study?

0-nya hati akibat tiada aktiviti tarbiah melalui usrah, tak semestinya kosong dari penambahan ilmu-ilmu agama. Baca-baca buku agama dan bincang-bincang dengan kawan pun bagus juga.

1 saja harapan ketika ini, agar Dia mengampuni diri ini atas kelalaian menunaikan tuntutan terutama agama. Kealpaan ini bukan sahaja dari perkara yang sia-sia, bahkan salah meletakkan keutamaan amalan juga adalah kelalaian!

Oh, 1 lagi harapan, agar umi dan ayah diampunkan dosa dan diberi rahmat oleh Allah, seperti mana mereka mengasihi aku dahulu. Amin.

Tatkala hati tengah kosong ini, maka datanglah syaitan dari 6 arah; utara, selatan, timur, barat, atas, dan bawah. Hati yang kosong mudah digoda. Kalau solat, hati kosong dari tumpuan, mudah saja digoda. Jadi, sekarang kena duduk dan tulis kejap perkara-perkara yang perlu difokuskan.

Baiklah, 1 list telah disediakan.

9 fokus utama:

1. Semua solat fardhu mesti dilakukan secara berjemaah.

2. Solat-solat sunat yang dituntut (selepas zuhur dan witir selepas Isyak) mesti di jaga (Moga diberi kekuatan).

3. Selepas tiap-tiap solat mesti doa agar diampunkan dosa umi ayah, keluarga, kawan-kawan dan tak dilupa diri sendiri.

4. Mesti buat sekurang-kurangnya satu perjumpaan dalam 2 minggu cuti belajar. Rindu sudah tidak tertanggung lagi!!!

5. Ulangkaji ikut jadual yang telah disediakan.

6. Jaga kesihatan diri dan ahli-ahli rumah yang lain.

7. Sentiasa kemas kini diri dengan berita-berita Malaysia dan Australia.

8. Hujung minggu ni mesti buat aktiviti fizikal! (Ada masa pulak, sigh~~~)

9. Baca buku-buku agama dan bincang dengan ustaz-ustaz.

Azam dah pun ditulis, moga-moga Allah yang Maha Pemberi dan Maha Perkasa yang menciptakan 7 peringkat ciptaan untuk 2 makhluknya; langit dan bumi, dalam masa 6 hari, memberi kekuatan pada hamba-Mu ini.

Luangkan masa 5 minit sehari untuk muhasabah resolusi yang telah ditulis.

3 perkara yang perlu sentiasa diingati ketika melakukan semua perkara ini. Niat kena ikhlas, cara mesti tak bertentangan syarak dan mengikut prioriti.

54, umur ayah tahun depan... Tiap-tiap tahun, bila Angah balik, kedut pada wajah ayah, bertambah seiring dengan usia...

Kalau ayah baca entri ni, ketahuliah bahawa anakanda sedang merindui ayahanda. Terima kasih atas segala usaha gigih ayahanda yang menjadikan anakanda seperti diri ni sekarang. Moga Allah balas keikhlasan ayahanda dengan pengampunan dosa.

00116197265354. "Assalamualaikum. Boleh saya bercakap dengan Encik Jamil?"

"Waalaikumusalam, Angah! Hah, apa cerita?? Cemana dengan pembentangan projek TNBD Kluang tu? Laporannya dah hantar?"

"Semua tu ok. Masa 'project progress discussion', lecturer kata dia 'impressed'. Lepas presentation, dia puji (takkan sindir) 'excellent'. Tinggal report dengan exam je... Ayah, Angah ada satu menda nak beritahu. Ayah jangan gelakkan Angah pulak."

"Apa dia, cakap aja..."

"Terima kasih atas usaha ayah mendidik Angah selama ini. Mungkin orang lain tak beritahu ayah, tapi pada Angah, ayahlah pria terhebat dalam hidup Angah."

Wednesday, March 18

Bahasa Melayu



Bagi sesetengah perkhidmatan yang tersedia, University of Adelaide menyediakan kemudahan kepada pelajar-pelajarnya untuk berbahasa selain daripada bahasa Inggeris jika mereka mahu berbuat demikian.

Saya lebih suka menggunakan bahasa Melayu. (Mungkin sesetengah orang akan mengatakan saya kurang bijak berbanding orang yang suka menggunakan bahasa Inggeris)

Orang Jawa yang tidak pandai berbahasa Jawa, dipandang oleh orang Jawa lain sebagai Jawa 'murtad' (kasar bunyinya...).

Orang Jawa di Malaysia, kalau fasih berbahasa Melayu dia jadi orang Melayu. Ada seorang mamak yang saya kenal, dia juga fasih berbahasa Melayu. Maka dia adalah dikira orang Melayu (menurut perlembagaan Malaysia). Tetapi, orang Melayu yang pandai berbahasa Tamil, Malayalam atau sebagainya tidak dikira sebagai mamak. Tak pelik, kan?

Orang Melayu yang pandai berbahasa Inggeris tak menjadikan dia seorang Inggeris. Itu juga tak menjanjikan dia mahir dalam ilmu yang orang Inggeris kuasai.

Dalam tulisan ini, saya cuma nak beritahu yang email University of Adelaide ada pilihan bahasa Melayu. Cubalah...

Sunday, January 11

TNB Generation: Generating Ummah?

Pada Jumaat yang lepas, TNB Generation meneruskan program 'tarbiah' mingguan. Kali ini, Kuliah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Luh al-hafiz. Kuliah pada minggu ini ialah kuliah hadis, "Tidak ada hijrah lagi..." yang diriwayatkan daripada Aishah R.A.

Daripada Aishah radiallahu anha, dia berkata, Rasulallah s.a.w. telah bersabda, "Tidak ada hijrah lagi selepas pembukaan (Mekah), yang ada hanyalah jihad dan niat (tulus) ikhlas..." (Muttafaqun Alaih)

Pengertian 'Tidak ada hijrah lagi selepas pembukaan (Mekah)'
Untuk memahami ayat ini, pemahaman yang betul terhadap hijrah adalah penting. Hijrah di sini bukanlah hijrah yang difahami dari sudut bahasa. Tapi, hijrah dalam ayat ini perlu difahami dan diukur dalam konteks masa Rasulallah s.a.w.

Hijrah yang dimaksudkan ialah keluar beramai-ramai dari tanah air sendiri untuk menyelamatkan usaha dakwah. Hijrah yang dilakukan pada zaman Rasulallah s.a.w. bukanlah bermaksud melarikan/menyelamatkan nyawa. Hijrah itu juga bukan bermaksud meninggalkan saudara atau darah daging sendiri dalam kekufuran setelah mereka tak menerima dakwah. Hijrah itu bermaksud mencari tapak baru untuk berdakwah setelah bertahun-tahun diseksa dan diuji di tanah air.

Setelah mereka mendapat kekuatan di Madinah mereka kembali ke Mekah untuk menyelamatkan bumi yang mereka cintai daripada terus bergelumang dengan kesyirikan. Mekah yang dimuliakan Allah dengan Kaabah dan wahyu perlu diselamatkan daripada kehinaan syirik. Bumi Allah ini mestilah patuh pada hukum-hakam Allah. Itulah salah satu sebab mengapa Mekah mesti dibuka.

Pengertian 'Yang ada hanyalah jihad dan niat (tulus ikhlas)...'
Jihad secara umum ialah usaha yang bersungguh-sungguh. Belajar bersungguh-sungguh ialah jihad. Suami yang berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi hati isteri dan ayah yang bersungguh-sungguh mencari nafkah untuk anak-anak juga jihad. Berperang (Qital) untuk mempertahankan Islam dengan bersungguh-sungguh juga jihad. Dengan kata lain, semua perkara-perkara yang harus di sisi syariat Islam, jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh termasuk dalam jihad.

Andaikata mesej yang hendak disampaikan di sini hanya berperang pada jalan Allah, maka perkataan 'qital' mungkin lebih sesuai.

Niat tulus ikhlas bermaksud rasa hati yang tidak mengharapkan balasan terhadap usaha yang dilakukan. Seorang Rasul sanggup dikeji, dihina dan terseksa zahir dan batinnya kerana ikhlas menyampaikan risalah Allah. Seorang ayah yang berusaha mencari nafkah tidak berharap balasan sesen, sekupang atau 'samah' pun daripada anak isterinya. Begitu juga seorang isteri yang tabah rajin mengurus rumah tangga untuk meringankan beban suami yang tercinta. Begitu juga seorang ibu yang melahirkan anaknya.

Kaitan Dengan Palestin dan Tanah Air Umat Islam yang Lain
Seperti Mekah, Palestin juga dimuliakan Allah dengan Masjidil Aqsa. Akan tetapi, tindakan yang perlu dilakukan pada masa kini ialah mempertahankan tanah mulia itu dengan sepenuh tenaga, harta dan darah. Tidak ada hijrah lagi selepas pembukaan Mekah. Mempertahankan bumi mulia itu daripada dipijak (dinodai) dengan kaki-kaki 'sang' zalim yang lebih buruk daripada binatang adalah tindakan yang tinggi nilainya di sisi Allah, andaikata jihad ini dilakukan dengan niat tulus ikhlas.

Inilah mesej yang boleh diambil daripada hadis ini. Andaikata Malaysia ini dimasuki oleh mereka yang berniat zalim dengan cara peperangan, maka tindakan umat Islam bukan hijrah (baca: lari) mencari kekuatan. Tapi, umat Islam mestilah seluruhnya berdiri menentang kezaliman dengan jihad (sungguh-sungguh) dan tulus ikhlas.

Umat Islam di Malaysia dan tempat-tempat lain harus mengambil inisiatif membantu sahabat-sahabat di Palestin dengan apa-apa yang termampu. Memboikot produk-produk Israel satu permulaan yang baik. Berdoa kepada Allah setiap kali selepas solat fardhu juga usaha yang baik.

Wahai rakan-rakan pembaca sekalian, moga kita diberi kekuatan oleh Allah Taala. Amin.

Wednesday, May 7

Hanya PadaMu

Penasyid: Mohd Suhaimi El-Fardie

Allahu Allah ampunilah kami
Pimpinlah kami ke jalan yang Engkau redhai
Hamba yang lemah dengan dunia
Kurniakanlah taufiq hidayah menghadapinya

Hanya pada-Mu kami serahkan
Tiap sesuatu Tuhan kuasa menentukan
Dengan ucapan Alhamdulillah
Kami bersyukur kerana beriman
Kehidupan ini penuh ujian
Nikmat dunia yang mengasyikkan melalaikan
Selamatkanlah agama kami
Peliharalah amalan kami iman kami
Dari duniawi
Allahu Allah

***************************************************************************

Sesungguhnya, manusia memang tidak lari daripada kesilapan. Janganlah putus daripada memohon taubat daripada Allah Taala, memberi maaf kepada yang lain tanpa meminta tebusan, dan meminta maaf daripada yang lain, tanpa mengambil ringan kesilapan yang kita lakukan.

Seterusnya, marilah kita memohon kepada Allah Taala agar kita dipimpin ke jalan yang Dia redhai. Sebagai makhluk, kita tidak tahu, apa-apa yang terbaik untuk kita. Kita hanya wajib membuat keputusan hidup berdasarkan petunjuk daripadaNya (Al-Quran dan As-Sunah). Namun, ingatlah perkara yang kita rasa baik untuk diri kita, tidak semestinya baik untuk kita dan perkara yang buruk pada pandangan kita, mungkin pula baik untuk kita.

Lagi, ingatlah dunia ini adalah salah satu daripada musuh-musuh yang perlu kita hadapi dalam mendekatkan diri kepada Allah. Oleh itu, mohonlah bantuan daripada Allah untuk menghadapi musuh ini. Kekuatan hanya datang daripada Allah. Kemenangan hanya datang daripada Allah, bukan daripada kerasnya usaha kita, banyaknya doa kita atau bersihnya tawakal kita. Usaha, doa, dan tawakal kita lakukan kerana itu ibadah kepada Allah.

Yang paling penting, hendaklah kita bersyukur dilahirkan dalam keluarga yang muslim. Itulah nikmat terbesar untuk kita. Dengan nikmat itu, kita dididik dengan Islam. Kita membesar dengan mengenal Islam dahulu daripada agama-agama dan cara hidup yang lain. Sebagai tanda menghargai nikmat itu, kita sebarkan agama ini kepada semua orang. Mulakan daripada yang kita mampu untuk capai. Bagi yang sudah berkeluarga, sedaya upaya usahakan agar anak-anak dapat menghayati Islam lebih daripada apa-apa yang pernah kita rasai dahulu.

Ringkasnya, sentiasalah bertaubat dan sentiasalah memohon perlindungan Allah daripada dunia yang sentiasa melalaikan kita daripada akhirat. Marilah berusaha agar semua orang dapat menikmati iman dan Islam.

Moga diberi kekuatan. InsyaAllah.

Sunday, March 9

Ukhwah Sejati

Terimalah, daripada Al-Falah, Adelaide, untuk anda.