Thursday, November 7

Pasangan yang Sesuai

Waktu Makan Tengahari


Beberapa minggu yang lalu, saya dan rakan-rakan sekerja berborak tentang pandangan masing-masing tentang kehidupan berumah tangga. 

Dari kalangan kami, ada yang sudah berkahwin, tidak sampai sebulan berkahwin dan yang menghitung hari. 

Apabila ditanya kepada yang baru berkahwin tentang kehidupan berumah tangga, jawabannya sentiasa baik-baik sahaja. 

Barangkali dia baru mendapat madunya. 

Tunggulah. Asam garamnya, pahit manisnya akan datang kemudian. Sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula suami isteri. 

Yang sudah berkahwin pula berasa sangat bahagia, walaupun kadangkala ada salah faham juga. Konflik, jika ditangani dengan baik, akan mengerat (merapatkan, bukan memutuskan) hubungan antara dua pihak. 

Yang masih menghitung hari hanya mencelah sekali sekala. Bertanyakan panduan dan berjenaka. Sesekali nampak bimbang, mungkin kerana membayangkan apa-apa yang akan berlaku kepadanya sesudah berkahwin kelak. 

Borak-borak kami itu bersifat umum, bukan peribadi dan bertujuan untuk mengambil pengajaran supaya yang belum berkahwin akan lebih bersedia. 

Kemudian, timbul pula topik pengalaman masing-masing berkenalan dengan pasangan. 

Ada yang sudah kenal daripada sekolah. Sesudah lebih 5 tahun berkenalan, baru berkahwin. 

Ada yang sebulan berkenalan, terus berjumpa penjaga si gadis dan menyatakan hasrat. Katanya, niat yang baik usah ditangguh. 

Tidak semena-mena ada pula yang bertanya, bagaimana nak tahu pasangan itu pasangan yang sesuai. 

Mencari Pasangan yang Sesuai 


Ada yang berpendapat kena kenal hati budi si gadis dan keluarganya dahulu, barulah boleh berkahwin setelah semuanya diketahui dan difahami. Latar belakangnya perlu diselidiki. Sifat dan perwatakannya perlu diketahui. 

Lalu diperhatikan bagaimana pergaulan gadis itu dengan orang lain. Budi bicaranya dengan orang yang lebih tua, gaya bahasanya dengan yang lebih muda serta stail berpakaian dan penampilan di khalayak ramai. 

Ada juga yang berpandangan, sudah cukup jika hanya bertanya ibadah fardhunya sahaja. Adakah si gadis orang yang bersolat, berpuasa dan menghormati orang tua. 

Yang paling mudah, serahkan sahaja pada orang tua. Sesuai pada mereka, sesuai juga pada kita. 

Walau apapun yang berlaku sebelum berkahwin, kita hanya akan tahu adakah pasangan itu betul-betul sesuai setelah dipasangkan (diijab kabul). 

Memadankan manusia bukan seperti memadankan tayar dan rim kereta. Tayar dan rim ada saiz standardnya. 

Memadankan manusia jauh lebih rumit kerana fitrahnya setiap manusia punya hati yang sifatnya berubah-ubah. 

Menjadi Pasangan yang Sesuai 


Ada yang lebih mudah daripada mencari pasangan yang sesuai. Kita berusaha menjadi pasangan yang sesuai. 

Langkah pertama ialah menyedari yang kita mungkin mempunyai sifat, perangai, tabiat, kelakuan, atau fi'il yang menjadikan kita tidak sesuai dengan orang lain.

Mengakui kelemahan tidak bermaksud lemah. Pengakuan ini bermaksud kita menerima diri kita ini adalah manusia

Sekarang, barulah kita sesuai dengan manusia lain. 

Sesudah menjadi manusia, maka letakkan jangkaan (expectation) anda kepada pasangan, jangkaan yang sesuai bagi manusia juga. 

Pasangan anda juga mempunyai kelemahan seperti anda. Tapi, tidak bermaksud pasangan anda lemah. 

Tegurlah dia, terimalah teguran, dan berusahalah menjadi manusia yang sesuai untuk pasangan anda. 

Friday, April 26

Vision 1: Belon Udara

Larut malam


Terjaga lagi daripada tidur. Tak tahu pukul berapa, tapi rasanya seperti sudah larut malam.

Azzam bangun dari katil dengan perlahan. Kemudian, dia terus berjalan dan memeriksa setiap pintu dan tingkap rumah.

"Semua terkunci rapat," bisik hatinya.

Dia berjalan kembali ke bilik tidur dengan berhati-hati.

Dalam keadaan kelam, mungkin sahaja untuk dia terlanggar perabot dan terbuat bising.

Mengejutkan orang lain daripada tidur adalah perkara yang terakhir dia mahu lakukan pada malam itu.

Setelah berbaring semula di katilnya, Azzam menarik selimut dan terus terlena.

Vision 1: Belon Udara

Azzam bersiap-siap untuk keluar pada pagi itu.

Di hadapan cermin, dia membetulkan tali lehernya.

"Pelik juga mimpi semalam. Terasa macam bukan mimpi. Macam betul."

Semalam, setelah tidur semula, Azzam bermimpi.

Mimpinya tidak seperti filem Tamil atau Hindustan yang berterus-terusan selama 3 jam.

Mimpinya seperti cantuman klip-klip video.

Atau seperti trailer movie. Singkat, mudah diingat dan memberi gambaran seluruh cerita.

Dia ingat babak-babak dalam mimpinya itu.

Babak pertama, dia berada di lorong yang sesak dengan orang ramai.

Tetapi, tidak terlalu sesak sehingga sukar untuk bergerak.

Lorong itu terletak antara dua deretan rumah kedai. Lorong itu dilimpahi sinaran mentari kerana tiada atap yang memayunginya.

Babak kedua, Azzam mendongak ke langit dan dia terlihat satu belon udara melintas antara bumbung deretan rumah kedai itu.

Pada belon udara itu tertulis:

'IKUT SAYA. MASA DEPAN ANDA DI SINI.'

Babak ketiga, Azzam sudah berada di hujung lorong.

Di hujung lorong itu, ada pagar separas pinggang yang menghalang pejalan kaki masuk ke kawasan di belakangnya.

Di situ, ada ramai orang bersama Azzam, mendongak ke langit, memerhatikan belon udara itu.

Hari yang baru

Azzam mengunci pintu di belakangnya.

"Hari yang baru!"

Semasa melangkah pergi, Azzam tersedar baju yang dipakainya sama dengan baju yang dipakainya dalam mimpi semalam.

Suratan atau kebetulan?

Wednesday, April 24

Bosan Bekerja

Pendahuluan


Beberapa minggu yang lalu, saya berborak dengan kawan berkenaan dengan kerja.

Ya, berkenaan kerja. Kenapa? Terlalu umum?

Baiklah. Secara khususnya, kami berborak berkenaan dengan kesan terlalu lama membuat kerja/tugas yang sama. Dia berpandangan, jika terlalu lama membuat tugas yang sama, dalam jabatan yang sama, di bawah bos yang sama, seseorang pekerja boleh saja merasa bosan dan 'tepu'.

Hari-hari yang dilalui di tempat kerja rasa serba tak kena.

Saya pula, ada pandangan saya sendiri.

Mencari punca sebenar dan penyelesaian masalah


Kalau berborak berkenaan dengan kesan dan merungut sahaja, rasanya, tiada nilai tambah dalam kehidupan. Saya berpendapat lebih elok kiranya kita cari punca sebenar sesuatu masalah. Seterusnya, kita bincangkan pula bagaimana cara mengatasinya.

Persoalan utama ialah mengapa bekerja terlalu lama di suatu tempat boleh mengakibatkan rasa bosan?

Seterusnya, bagaimana hendak selesaikan masalah ini?

Punca 1: Terlupa matlamat bekerja

Ingat kembali.

Apa matlamat kita bekerja? Pahala? Gaji? Kaya?

Matlamat kita adalah salah satu inspirasi yang sangat penting untuk memastikan kita terus melakukan sesuatu.

Janganlah terlalu fokus melakukan sesuatu kerja itu menyebabkan kita terlupa pada matlamat kita.

Untuk lebih faham, cuba jawab soalan ini.

Apa yang anda harapkan pada setiap hujung bulan? Gaji atau kerja?

Bagi yang bekerja sebab nak gaji, sudah tentu gaji yang anda nanti-nantikan.

Kalau dah tahu dapat gaji, harungilah kerja tu.

Kerja cuma perjalanan, asalkan dapat gaji pada hujung bulan, tak kisahlah apa-apa pun dugaan, anda akan terus maju dalam perjalanan itu.

Ingat, bukan kerja yang buat kita maju ke hadapan, tapi matlamatlah pendorongnya.

Punca 2: Tak tahu kesan positif kerja


"Bagi setiap aksi, ada reaksi."

Setiap kerja yang kita lakukan akan memberi kesan positif kepada orang lain.

Carilah kesan positif kerja anda kepada orang lain.

Mungkin, tugas yang anda lakukan secara tidak langsung menyelamatkan nyawa orang lain.

Sebagai contoh, jurutera yang bertugas memastikan mesin dalam keadaan baik.

Jika mesin tersebut tidak diselenggara dengan baik, mungkin boleh meletup dan mencederakan orang lain.

Punca 3: Bosan ialah fasa

"Cara terbaik menempuh kesukaran ialah dengan mengharunginya."

Kita perlu akui, kita adalah manusia yang tidak sempurna.

Tidak mungkin kita akan sentiasa positif, bermotivasi, bersemangat, dan bertenaga.

Bosan ketika bekerja mungkin hanya fasa yang tidak dapat dielakkan.

Harungilah ia. Mungkin anda akan jumpa semangat anda di penghujung jalan.

Penyelesaian

Tiada satu penyelesaian yang sesuai untuk semua masalah.

Situasi tempat kerja kita berbeza antara satu sama lain.

Dengan mengenalpasti punca sebenar, andalah penyelesai terbaik untuk masalah anda.

Cuma, saya ada beberapa cadangan:

  • Tukar kerja (boleh tukar jabatan, bidang tugas, atau berhenti kerja dan cari kerja lain)
  • Cari perkara baru untuk belajar (kalau dah tahu semua benda tentang kerja, belajar skill-skill yang ada pada bos pula)
  • Mohon kenaikan pangkat (seterusnya, kenaikan gaji)

Semoga terus sukses dalam kehidupan.

Wednesday, November 18

Hati Seorang Ibu

Seorang ibu menyuruh anaknya membasuh kawah dan periuk besar kerana si ibu hendak menggunakan perkakas tersebut untuk majlis jamuan kecil-kecilan.

Si anak tadi menjawab, "Uda nak simpan tenaga, ada lawan bola petang ni dengan kesebelasan utama Majlis Daerah Simpang Rengam. Harap maaf, ya?"

Si ibu hanya berdiam diri dengan jawapan anaknya. "Mungkin ada betulnya," detik ibu dalam hati.

Kemudian, ketika keluar daripada rumah ada motosikal yang menghalang laluan kereta si anak tadi. Lalu, dia mengalihkan motosikal tersebut ke belakang kereta pria terhebat, si ayah.

Si ibu yang melihat tindakan itu berkata, "Alihkan semula motor tu. Nanti susah ayah kau nak keluar."

Si anak menjawab, "Tak sempat ni... Nak pergi main bola ni."

Lantas, si anak menaiki kereta dan dalam perjalanannya untuk pergi si ibu yang tidak dapat menahan geramnya berkata, "Kalah kau main bola nanti..."

Ketika si anak pulang selepas perlawanan bola, si ibu sudah sejuk hatinya. Si ibu dengan niat mengambil berat keberadaan anaknya bertanya, "Kalah ke menang tadi?"

"Kalah," balas si anak. Ringkas.

"Macamana boleh kalah?" Soal pula si ayah.

"Ketika itu kedudukan terikat 1-1. Uda tergolkan sendiri pula pada masa kecederaan."

Lantas, ruang dapur bergema dengan gelak tawa. Sudah tentu perkara ini menggelikan hati si ibu. Si ibu berpesan,

"Mulut umi tak ada apa-apa kuasa. Mudah-mudahan ini jadi pengajaran untuk kau supaya dengar kata umi ayah."

Friday, October 16

Si Buta yang Pekak Menjaga Si Lumpuh yang Bisu

Setelah 2 tahun berhari Raya Aidilfitri di Adelaide dengan kawan-kawan, saya berpeluang pulang ke Malaysia pada tahun 2009. Selain daripada kegembiraan berganda kerana beraya dengan keluarga, banyak perkara yang telah saya pelajari.

Namun begitu, saya melihat daripada kacamata seorang pemuda berumur 22 tahun. Pandangan saya mungkin masih belum cukup matang, tetapi pendapat orang muda tidak boleh diabaikan juga.

Gigitan semut kecil pun berbisa juga.

Petang hari raya pertama, saya melawat seorang pak cik yang sudah tua. Dia menghidap penyakit Parkinson. Dan dia lumpuh separuh badan daripada pinggang ke bawah. Dia juga bisu. Dia menepuk-nepuk tangannya ke lantai jika dia inginkan perhatian. Isteri yang menjaganya pula rabun dekat dan jauh serta pekak pula.

Seribu satu kepayahan mereka alami setiap hari. Andaikata pak cik tadi perlukan bantuan, dia hanya menepuk-nepuk lantai dengan penuh harapan isterinya akan datang ke sampingnya. Namun begitu, bantuan yang diharapkan tidak tiba kerana isterinya tidak dapat mendengar panggilannya.

Si isteri yang sudah tua tadi selalu saja terjatuh dan tercedera ketika mengurus hal-hal rumah tangga kerana rabunnya sangat teruk sekali.

Memikirkan kehidupan mereka yang penuh dengan kesukaran dan penderitaan, saya merasakan tiada apa pun yang dapat membahagiakan mereka melainkan dilepaskan semua penderitaan itu.

Namun begitu, si isteri tua yang setia menjaga suaminya yang lumpuh itu berkata kepada saya,

"Atuk tak kisah hidup begini. Tapi, kalau anak-anak datang melawat sekali sebulan pun, atuk dah rasa bahagia dah..."

Tatkala mendengar ucapan itu, mata saya digenangi air. Saya mula menilai, apa pula erti bahagia bagi saya?

Adakah jika saya sudah kaya saya akan merasa bahagia?

Atau, apabila saya terkenal dan disanjung, saya akan bahagia?

Atau, jika saya susah payah untuk kehidupan dunia dan akhirat, saya tetap akan bahagia andai ada insan tersayang yang tabah bersama saya?

Sunday, October 4

Pulanglah di Hari Raya

Ketika dalam keretapi menuju ke Singapura, meninggalkan umi dan pria terhebat di Stesen Keretapi Kluang, lagu Dato' M. Daud Kilau berkumandang di radio.

"Ohooo~~~~ Hoi~~~~"
"Bila dah mata bertentang maataaa~~~"

"Tak kena betul lagu ni dengan mood aku," bisik hati kecil ini...

Setelah 2 tahun berhari raya di perantauan, tahun ini saya diberi peluang untuk menyambut hari itu bersama keluarga di Johor. Yang pasti, kepulangan kali ini memang berbaloi. Banyak perkara baru yang saya pelajari dan fahami.

Pengajaran yang paling penting sekali ialah erti bahagia.

Dengan izin Allah, saya akan tuliskan pada masa akan datang dan saya tandakan dengan tag 'Aidilfitri'.

Sekian.

Tuesday, July 21

Jimi, Kazama dan Pereka Fesyen

"Jimi, aku ada satu cerita. Ini cerita betul."

"Cerita je. Bukan ada orang lain yang nak dengar cerita kau."

Lalu Kazama pun bercerita.

Kazama mempunyai seorang kawan daripada Timur Tengah yang bernama Hassan (bukan nama sebenar). Ketika bertemu, mereka akan berbincang dan bergurau-gurau. Selepas 2 tahun, mereka menjadi sangat rapat hingga pada suatu hari Hassan mendedahkan kisah silamnya.

"Dahulu, ana sebenarnya seorang pereka fesyen. Ana tidak berbohong. Ana orang pertama yang menerima anugerah sekian-sekian daripada badan fesyen Australia. Anta boleh cari di 'internet' kalau tidak percaya," Hassan memulakan cerita.

"Alamak! Betul ke? Tak pernah pun anta komen tentang cara ana berpakaian. Ana dapat rasa cara ana berpakaian memang teruk!" Kazama terkejut dan malu yang teramat sangat.

Hassan menyerahkan katalog berisi rekaannya yang disediakannya beberapa tahun lalu yang melayakkannya memenangi anugerah tersebut. Selepas membelek tidak sampai 5 minit, Kazama terus jatuh cinta dengan pakaian-pakaian lelaki yang direka oleh Hassan.

"Ana sedih dengan hidup ana yang dahulu. Ana terlalu obses dengan dunia ana sehinggakan ana sanggup melancong ke London, US, dan tempat-tempat lain semata-mata untuk membeli baju. Tapi, walaupun dengan duit yang banyak, kerjaya yang mantap, ana tak dapat ketenangan," sambung Hassan.

Kazama lebih yakin yang Hassan memang berjiwa seni selepas melihat semula ruang tamu rumah Hassan, tempat mereka sedang bersembang. Lukisan abstrak di dinding, pasu-pasu hiasan yang cantik, dan pilihan warna yang harmoni. Bahkan, ada jam dinding yang menunjukkan waktu bagi 5 bandaraya lain: Tokyo, New York, London, Sydney dan .... (Kazama terlupa satu lagi).

"Ana mendapat ketenangan setelah ana tinggalkan hidup yang lalu, cari rezeki melalui jalan yang bebas daripada maksiat, dan melibatkan diri dalam kerja-kerja Islam," ujar Hassan sambil tersenyum.

"Ana musykil Hassan. Anta mampu tapi, kenapa anta tidur atas lantai di ruang tamu?"

"Bilik ana memang ada katil, tapi selain daripada ruang untuk katil, ruang lain penuh dengan kotak-kotak berisi baju-baju yang ana beli. Lagipun, ana lagi selesa tidur di atas lantai," jawab Hassan.

"Alhamdulillah. Tahniah buat diri anta. Moga-moga anda terus dikurniakan kebaikan daripada Allah."

********************************************************

"Itulah cerita yang aku nak kongsi, Jimi."

"Lepas ni, biar aku pula yang bercerita tentang kawan aku. Dia daripada Timur Tengah juga," kata Jimi.

"Aku bukan nak ajak balas-balas cerita... (Sigh)... Apa pengajaran yang boleh kau ambil, Jimi?"

"Siapa yang Allah inginkan kebaikan untuknya, diberi kefahaman dan penghayatan dalam agama Islam. Dengan mengingati Allah, jiwa akan menjadi tenang, dan taubat tidak pernah terlalu lewat."

"Ada banyak lagi yang Hassan ceritakan pada aku sebenarnya. Tapi, lain kali lah. Salam."