Showing posts with label Kritikal. Show all posts
Showing posts with label Kritikal. Show all posts

Wednesday, April 24

Bosan Bekerja

Pendahuluan


Beberapa minggu yang lalu, saya berborak dengan kawan berkenaan dengan kerja.

Ya, berkenaan kerja. Kenapa? Terlalu umum?

Baiklah. Secara khususnya, kami berborak berkenaan dengan kesan terlalu lama membuat kerja/tugas yang sama. Dia berpandangan, jika terlalu lama membuat tugas yang sama, dalam jabatan yang sama, di bawah bos yang sama, seseorang pekerja boleh saja merasa bosan dan 'tepu'.

Hari-hari yang dilalui di tempat kerja rasa serba tak kena.

Saya pula, ada pandangan saya sendiri.

Mencari punca sebenar dan penyelesaian masalah


Kalau berborak berkenaan dengan kesan dan merungut sahaja, rasanya, tiada nilai tambah dalam kehidupan. Saya berpendapat lebih elok kiranya kita cari punca sebenar sesuatu masalah. Seterusnya, kita bincangkan pula bagaimana cara mengatasinya.

Persoalan utama ialah mengapa bekerja terlalu lama di suatu tempat boleh mengakibatkan rasa bosan?

Seterusnya, bagaimana hendak selesaikan masalah ini?

Punca 1: Terlupa matlamat bekerja

Ingat kembali.

Apa matlamat kita bekerja? Pahala? Gaji? Kaya?

Matlamat kita adalah salah satu inspirasi yang sangat penting untuk memastikan kita terus melakukan sesuatu.

Janganlah terlalu fokus melakukan sesuatu kerja itu menyebabkan kita terlupa pada matlamat kita.

Untuk lebih faham, cuba jawab soalan ini.

Apa yang anda harapkan pada setiap hujung bulan? Gaji atau kerja?

Bagi yang bekerja sebab nak gaji, sudah tentu gaji yang anda nanti-nantikan.

Kalau dah tahu dapat gaji, harungilah kerja tu.

Kerja cuma perjalanan, asalkan dapat gaji pada hujung bulan, tak kisahlah apa-apa pun dugaan, anda akan terus maju dalam perjalanan itu.

Ingat, bukan kerja yang buat kita maju ke hadapan, tapi matlamatlah pendorongnya.

Punca 2: Tak tahu kesan positif kerja


"Bagi setiap aksi, ada reaksi."

Setiap kerja yang kita lakukan akan memberi kesan positif kepada orang lain.

Carilah kesan positif kerja anda kepada orang lain.

Mungkin, tugas yang anda lakukan secara tidak langsung menyelamatkan nyawa orang lain.

Sebagai contoh, jurutera yang bertugas memastikan mesin dalam keadaan baik.

Jika mesin tersebut tidak diselenggara dengan baik, mungkin boleh meletup dan mencederakan orang lain.

Punca 3: Bosan ialah fasa

"Cara terbaik menempuh kesukaran ialah dengan mengharunginya."

Kita perlu akui, kita adalah manusia yang tidak sempurna.

Tidak mungkin kita akan sentiasa positif, bermotivasi, bersemangat, dan bertenaga.

Bosan ketika bekerja mungkin hanya fasa yang tidak dapat dielakkan.

Harungilah ia. Mungkin anda akan jumpa semangat anda di penghujung jalan.

Penyelesaian

Tiada satu penyelesaian yang sesuai untuk semua masalah.

Situasi tempat kerja kita berbeza antara satu sama lain.

Dengan mengenalpasti punca sebenar, andalah penyelesai terbaik untuk masalah anda.

Cuma, saya ada beberapa cadangan:

  • Tukar kerja (boleh tukar jabatan, bidang tugas, atau berhenti kerja dan cari kerja lain)
  • Cari perkara baru untuk belajar (kalau dah tahu semua benda tentang kerja, belajar skill-skill yang ada pada bos pula)
  • Mohon kenaikan pangkat (seterusnya, kenaikan gaji)

Semoga terus sukses dalam kehidupan.

Monday, December 29

Why so serious, son?

Minggu lepas saya menonton satu dokumentari dalam Discovery Channel berkenaan seorang sami yang bertapa selama beberapa bulan. Dalam tempoh pertapaan itu, sami tersebut atau nama singkatannya, Ram, tidak makan dan tidak minum.

Kru Discovery Channel telah datang penyiasat secara saintifik dan cuba membuat kesimpulan; adakah boleh Ram bertapa dalam keadaan berpuasa selama beberapa bulan ataupun semua itu satu penipuan sahaja?

Dalam paparan itu, kru tersebut telah pergi ke kuil di Tibet untuk menyiasat satu aliran amalan yoga. Pengamal amalan yoga jenis ini dapat hidup tanpa makan dan minum selama beberapa bulan. Pengamalnya juga dapat bertahan pada suhu yang sangat sejuk dengan pakaian yang nipis.

Telah terbukti secara saintifik, dengan bermeditasi, kadar pernafasan dapat diturunkan dan seterusnya metabolisma badan dapat dikurangkan. Tapi, boleh ke hidup kalau tak makan & minum sampai 5-6 bulan?

Dalam dokumentari itu juga, dipaparkan seorang sami dari India yang berpuasa sejak umur 12 tahun sampai sekarang. Umur dia sekarang bukan 12 tahun 3 jam. Perhatian, umur dia sekarang ialah 80 tahun!

Puasa sami ni bukan puasa yang boleh minum susu atau boleh makan sayur mayur ( or sayur-sayuran). Tak setitikpun air atau sezarahpun makanan yang masuk dalam badan dia (ini berdasarkan claim dia).

Sami dari India ini dipanggil ke hospital untuk dikaji selama sepuluh hari. Dia ditempatkan dalam bilik khas dan berbagai-bagai sensor dimasukkan dalam tubuh dia. Pegawai yang memerhati keadaan pundi kencing dia melaporkan pada suatu ketika air kelihatan berkumpul di tempat tersebut kemudian air itu diserap kembali ke dalam badan dia.

Ketika ditanya, dari mana dia mendapat tenaga, sami itu menjawab,

"Saya mendapat tenaga daripada matahari. Dengan melihat matahari, saya mendapat tenaga."

Mantap! Sami ni boleh ber'fotosintesis'.

From engineering point of view, boleh saya katakan pak cik sami ni memang '100 % efficient' & 'environmental friendly'. :)

Beberapa orang yang menonton bersama saya memberi komen, ini mungkin ada campur tangan jin atau makhluk halus. Mungkin juga.

Tapi, kru daripada Discovery Channel tu tak puas hati juga. Dia masih ragu-ragu.

Akhirnya, saya tertarik (bersetuju) dengan komen yang diberi oleh abang Ram di akhir dokumentari tu. Dia berkata,

"Sains masih belum cukup maju untuk menjelaskan apa yang terjadi."

Memang betul sains - kajian berdasarkan pemerhatian, belum sampai ke taraf yang dapat menjelaskan perkara yang pelik begini. Sudah tentu juga, sains tak dapat nak jelaskan perkara ghaib sepenuhnya. Betul tak?

Sunday, November 18

Ketenangan Hati dalam Menangani Konflik

Intro

Secara jujurnya, darah muda ini memang mudah mendidih. Hati muda memang senang panas. Oleh sebab itu, tanpa ketenangan, orang muda akan yang tidak terdidik hatinya akan buat keputusan yang merapu. Tatkala hati tengah panas, lain yang diputuskannya. Ketika dah sejuk, eh, lain pulak katanya! Mungkin 'intro' ini tak berapa berkaitan dengan isi yang akan ditulis, tapi masih ada pengajaran yang boleh diambil. "Orang muda! Fikir masak-masak dan tenangkan diri sebelum bertindak!"

Richard Dawkins: Apa yang dia tulis?

Baru-baru ini saya membeli salah satu buku tulisan Richard Dawkins, The God Delusion. Mula-mula, tak ingin nak membeli tulisan seorang yang tidak percaya kewujudan tuhan. Terlintas dalam hati, buku-buku tulisan ilmuan Islam masih banyak yang belum ditelaah. Berbaloikah membeli buku yang ditulis orang yang memusuhi agama ini? Lantas, seorang rakan mengingatkan bahawa semua ilmu itu adalah ilmu Islam. Sama ada ilmu itu bermanfaat atau tidak, itu bergantung kepada bagaimana kita menggunakannya. Lantas, saya pun beli buku itu tanpa ragu-ragu lagi.

Tatkala saya menulis, saya sudah menghabiskan 2 bab pertama buku tersebut - bab pendahuluan dan bab pertama. Dalam bab pendahuluan, Dawkins menuliskan kisah yang berlaku pada isterinya.

Ketika kecil, isterinya bersekolah rendah di sebuah sekolah yang tidak dihuraikan dalam pendahuluan tersebut. Dia tidak suka bersekolah di sekolah tersebut. Akhirnya, berlaku konflik antara dia dengan ibu bapanya. Apabila dewasa, dia ditanya, "Mengapa dia tidak berpindah daripada sekolah tersebut?" Dia menjawab, "Dia tidak tahu dia boleh berbuat demikian!"

Dawkins mengaitkan perkara ini dengan mereka yang telah diasuh dalam keluarga yang beragama dan tidak tahu bahawa mereka boleh keluar daripada agama mereka jika mereka rasa tidak selesa beragama. Dia menulis, jangan risau jika takut tidak bahagia menjadi orang yang tidak beragama. Dia kata dia bahagia dengan tidak beragama. Dia boleh jadi orang yang bermoral walaupun tidak menganut apa-apa agama.

Whateverlah Dawkins!

Seterusnya, dalam bab kedua, Dawkins menyatakan idea yang dia akan 'kondem' dan idea yang dia 'promote' sepanjang tulisannya dalam buku tersebut. Dia tidak percaya bahawa wujudnya satu kuasa yang lebih hebat daripada kuasa manusia yang mencipta alam yang serba kompleks ini manakala dia percaya sungguh-sungguh bahawa sesuatu yang kompleks dan 'superhuman' akan wujud di penghujung evolusi.

Teori Evolusi lagi!

Apa yang perlu kita faham?

Pertama sekali, berhati-hati ketika membaca buku-buku yang 'menyerang' akidah dan hati. Takut-takut kita mudah percaya dan tidak rajin menyelidik. Saya teringat cerita yang kawan saya kongsi berkenaan dengan pengharaman kerajaan Malaysia terhadap beberapa buku. Dia berkata, memang patut kerajaan buat begitu. Tengok saja mesej yang mengatakan friendster akan tutup, berapa ramai yang gelabah dan 'forward' mesej itu tak tentu hala. Cuba bayangkan kalau buku yang menyebarkan idea yang lebih 'gelabah' daripada itu seperti 'Umat Islam tidak patut menjadikan al-Quran sumber dominan tanpa kompromi' disebarkan? Huru-hara umat Malaysia jadinya!

Paling mudah, kalau nak baca buku-buku tersebut, cari seorang mentor yang mampu menerangkan andaikata keraguan muncul dalam hati. Kalau yang berusrah tu, bincang-bincanglah dengan naqib. Tapi, hati-hati juga! Takut-takut naqib itu pun jadi ragu-ragu macam kita juga! Parah!

Ketika membaca buku tersebut, kita akan dapat rasa banyak konflik akan timbul dalam diri. Banyak kutukan-kutukan yang dilemparkan terhadap agama. Saya sendiri rasa marah apabila Islam disamakan dengan pertumpahan darah dan keganasan. Darah muda mendidih! Tapi, saya tenangkan hati. Marah itu fitrah. Tindakan berdasarkan marah itu syaitan. Inilah perkara terakhir yang saya nak kongsi. Jangan bertindak berdasarkan marah.

Lihat saja tindakan Rasulallah yang menghalang Umar r.a. mengambil tindakan terhadap orang Yahudi yang menuntut hutang lebih awal daripada waktu yang ditetapkan dan bertindak kasar terhadap Rasulallah. Dengan kata lain, marahlah kalau nak marah jika Islam itu dicela. Tapi, kalau nak bertindak, fikir dulu.

Saya juga hendak berkongsi nasihat Ali r.a. kepada seorang bukan Islam yang bertanya, "Kau sibuk bersedia untuk akhirat yang kau tak tahu, wujud atau tidak. Lihat aku. Menikmati dunia dengan enaknya." Ali r.a. menjawab, "Andakata akhirat itu wujud, aku dah bersedia dan aku tidak rugi. Kalau akhirat itu tak wujud, aku akan jadi tanah sahaja. Lihatlah engkau, kalau kau tak bersedia, dan akhirat itu wujud, kau akan diseksa. Perhatikan, siapa yang sedang rugi sekarang!"


Kesimpulan

Cari sendiri! :)

P/s: Kepada peminat siri Dua Hati, siri tersebut terpaksa ditangguhkan. Saya tengah 'bercuti' di Melbourne dan draft tertinggal di Adelaide.

Friday, October 19

Pelajar Kejuruteraan dan Stress

Pendahuluan

Ketika pulang daripada kelas Stress Analysis, tiga orang pelajar kejuruteraan berborak-borak tentang subjek yang baru mereka pelajari. Mereka baru sahaja menghabiskan subtopik Fatigue Failure Under Cyclic Stress (Kegagalan Kelesuan Akibat Tekanan yang Berkitaran???).

Terjemahan di atas bukanlah terjemahan yang formal dalam Bahasa Melayu. Mungkin terjemahan tersebut tidak memberikan kefahaman yang tepat tentang apa-apa yang dibincangkan dalam topik tersebut. Boleh jadi, terjemahan tersebut boleh diaplikasikan dalam bidang selain daripada kejuruteraan.

Berikut adalah sinopsis perbincangan mereka.

Perbicangan Lanjutan

"Weh, Apac (bukan nama sebenar atau ringkasnya, b.n.s), masa belajar tadi aku terpikir benda lain le..." kata Amzi (b.n.s).

"Apa dia? Makan? Dah lapaq sangat la tu," jawab Apac.

"Biarla dia abis cakap dulu," tegur Amap (b.n.s).

"Apa dia? Cakaplah," sambung Amap.

"Takda, mengikut apa yang diterangkan oleh Dr. Anidre (b.n.s), kalau satu 'shaft' dikenakan stress secara berulang-ulang, shaft tu akan patah, walaupun kekuatan stress tu jauh di bawah tahap yang boleh mematahkannya. Misalnya, kalau nak patahkan shaft tu dengan sekali pukul kita perlukan 100kg beban. Tapi, kita boleh patahkan shaft tu dengan 10kg kekuatan pukulan, tapi perlu dipukul sebanyak 10,000 kali," terang Amzi panjang lebar. Walaupun panjang lebar sebegitu, mudah saja difahami oleh Apac dan Amap.

"Betul la camtu. Apa masalahnya?" tanya Amap.

"Cuba ko bandingkan besi dengan manusia. Ada manusia yang hatinya berubah dengan sekali 'hentam'. Tapi, ada yang berubah dengan cara yang lebih lembut dari itu, tapi memerlukan usaha yang istiqamah."

"Lagi, dari sudut emosi pula, ada manusia yang gagal bertahan dengan tekanan yang kuat, tetapi dia boleh gagal kalau dikenakan tekanan yang sedikit, tapi berulang-ulang kali. Aku rasa, makhluk ni sifatnya sama. Besi, batang besi, manusia, dan perkara-perkara lain dalam alam ni. Semuanya memiliki persamaan. Semuanya makhluk," jelas Amzi.

"Fuh.... Aku suka cara hang pikiaq," kata Apac sambil memetik jarinya.

"Lagi, ada beza antara emosi manusia yang biasa dengan manusia yang ada ikatan dengan Allah. Hadis nabi, semua perkara yang berlaku kepada orang mukmin adalah baik. Kalau ditimpa musibah dia bersabar, kalau dia mendapat nikmat dia bersyukur. Jadi, aku rasa manusia akan diangkat darjatnya, kalau dia bersabar dengan musibah dan redha dengan cubaan Allah, kecil atau besar cubaan itu, sekali atau berulang-ulang," jelas Amzi lagi. Dia kelihatan puas hati.

"Betul tu.... Oklah, kita dah nak sampai kedai makan ni. Ko nak makan apa, Apac? soal Amap.

"Ntah, Amzi nak blanja aku..." jawab Apac.

"Alamak, aku tak bawak 'cash' la. Takpelah, aku blanja ko, tapi ko bayarkan dulu... Hehe..."

"Hehehe, bijak..." Apac ketawa, menyangka Amzi cuba melawak. TAPI, Amzi tidak melawak!!!

Penutup

Mungkin kisah di atas sukar untuk difahami oleh sesetengah pembaca. Berikut adalah beberapa pengajaran yang boleh diambil:

1. Manusia akan berubah dengan hikmah. Bersabar dalam berdakwah.

2. Makhluk adalah makhluk yang biasa andai tiada ikatan hati dengan Allah.

Moga diberi kekuatan.

Sunday, August 26

Kemerdekaan: Penilaian Semula

Setiap kali berfikir tentang merdeka, saya cuba mencari-cari kaitannya dengan diri saya. Saya tahu kemerdekaan membebaskan Tanah Air nenek moyang saya daripada pemerintahan imperialis. Saya juga tahu, kesukaran dan kesungguhan mereka untuk membebaskan Tanah Air mereka. Tapi, saya masih tidak dapat mencari kaitan yang lebih signifikan selain daripada 'tahu' sedikit sebanyak tentang kemerdekaan. Salahkah saya?

Ditanya tentang merdeka

Saya pernah ditanya, "50 tahun kemerdekaan, apa yang anda faham?". Ketika itu, tiada apa-apa yang terbayang dalam kotak fikiran. Saya menjawab,

"Saya yang 20 tahun ni pun tak terfikir apa-apa makna 20 tahun tu. Macam mana saya nak fikirkan apa makna 50 tahun merdeka?"

Apa yang saya maksudkan ketika itu ialah diri saya yang lagi muda pun saya tak habis kenal dan faham, bagaimana saya nak faham sesuatu yang 30 tahun lebih tua daripada saya?

Semakin jauh

Saya cuma mampu untuk mengatakan, kemerdekaan itu tidak betul-betul bertapak dalam hati orang yang tidak pernah rasa dirinya seorang hamba. Tidak keterlaluan rasanya, untuk saya katakan, kita tidak dapat menghargai nilai kemerdekaan yang sebenarnya kerana kita tidak pernah rasa diri kita diperhambakan orang lain. Ini pandangan saya.

Lagi, melihat keadaan zaman sekarang ini, rata-rata kemerdekaan disambut dengan keseronokan semata-mata. Ini sangat-sangat merugikan. Realiti zaman sekarang ini, bukanlah masa untuk kita berseronok-seronok. Bukan masa untuk berehat-rehat. Bukan masanya untuk tidak buat kerja!

Entahlah, sukar untuk saya memberitahu apa erti sebenar kemerdekaan pada diri saya. Kemerdekaan tidak pernah dekat dalam hati ini. Malah, kemerdekaan sudah semakin jauh dan semakin tua. Lama kelamaan, anak-anak muda generasi saya ini, dan generasi-generasi seterusnya akan terus kabur dengan erti sebenar kemerdekaan.

Kemerdekaan akan semakin tua, dan akhirnya mati.

Friday, June 8

Imbas Kembali: Murtad

Masa dalam kelas persediaan ke oversea dulu (PPOU), Lecturer yang mengajar subjek bahasa Inggeris bertanya tentang isu keluar daripada agama Islam. Dia berfahaman Kristian Katholik dan tahu sedikit sebanyak tentang agama Islam. Persoalan utama yang dia timbulkan ialah, Islam ialah agama tanpa paksaan, tetapi kenapa orang yang keluar daripada Islam perlu dihukum?

Tiada Paksaan Dalam Islam

"Tiada paksaan dalam agama, sesungguhnya telah jelas antara jalan yang benar dengan jalan yang sesat. Barangsiapa ingkar kepada Taghut dan beriman kepada Allah, maka sungguh, dia telah berpegang pada tali yang sangat kuat yang tidak akan putus. Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui." (Al Baqarah; 256)

Ayat tersebut menyatakan tentang tiada paksaan dalam agama Islam. Tiada paksaan yang dimaksudkan ialah orang Islam tidak boleh memaksa orang bukan Islam untuk memeluk Islam. Apa yang boleh dilakukan oleh orang Islam ialah memberi pendedahan tentang Islam kepada orang bukan Islam di sekeliling mereka melalui kata-kata dan akhlak yang baik.

Jadi, konteks tiada paksaan dalam Islam ialah seperti yang dinyatakan dalam perenggan sebelum ini.

Menjawab Persoalan

Mereka yang masuk Islam terikat dengan undang-undang Islam. Semua perkara diberi panduan dalam undang-undang Islam. Termasuk isu Keluar daripada Islam atau Riddah.

Jadi, dalam kelas tersebut, saya menerangkan skop atau konteks 'tiada paksaan dalam Islam'. Seterusnya, saya menjelaskan, orang yang masuk Islam terikat dengan peraturan yang ditetapkan oleh Islam dan jika dia keluar daripada Islam, ada peruntukan undang-undang Islam untuknya. Saya terangkan kepadanya melalui satu analogi.

Kontrak Islam

Seseorang yang membaca dua kalimah syahadah dengan niat masuk Islam, ibarat
menandatangani kontrak dengan Allah. Antara syarat dalam kontrak ialah, dia melaksanakan 'tanggungjawab syahadah'
dan Allah akan menjaga maruahnya, hartanya, keturunannya dan nyawanya.

Perkara lain yang termasuk dalam perjanjian ialah jika dia keluar daripada kontrak dia tidak ada cara lain melainkan kembali kepada Islam atau dibunuh. Jadi, dia mesti faham tentang kontrak yang dia tandatangani.

Yang paling penting, urusan dia keluar daripada Islam ialah urusan Islam. Bukan urusan undang-undang sivil, undang-undang sekular, atau undang-undang akal manusia.

Akhirnya lecturer saya faham dan menerima penjelasan saya.

Komen Peribadi

Islam menetapkan hukuman bunuh kepada orang yang keluar daripada Islam. Ini menunjukkan seseorang yang meninggalkan Islam, tiada nilai nyawanya dalam hidup ini.

Jangan salah anggap dengan pernyataan di atas. Saya tidak menyatakan yang orang bukan Islam tiada nilai hidup. Orang bukan Islam berbeza dengan orang yang keluar daripada Islam setelah menganutnya. Saya melihat orang bukan Islam sebagai potensi dan peluang. Ada ruang dalam hati mereka yang belum diisi. Ruang tersebut adalah ruang untuk Iman dan Islam.

"Ya Allah aku hambaMu dan aku akan kembali padaMu. Jadikanlah aku hambaMu yang tampil dihadapanMu pada hari kiamat kelak, dengan iman dihatiku, Islam di kananku dan amalanku di kiriku. Ampunkanlah dosaku, dan masukkanlah aku dalam golongan orang yang bertakwa. Amin."

Thursday, January 25

Tentera & Muslim

Setelah meluangkan masa lebih kurang 10 minit dengan Christ, seorang kadet daripada Army Reserve, saya rasa tertarik pula dengan modul yang diperkenalkan oleh Australian Defence. Semua orang boleh menyertai tentera tanpa mengganggu kehidupan seharian.

Bukan saya hendak meng'offer' kawan-kawan yang berada di Australia untuk menyertai Army Reserve, tetapi terdetik dalam hati betapa ketenteraan dianggap lekeh oleh sesetengah orang dan ada juga Muslim yang tidak mahu melibatkan diri dengan aktiviti ini.

"Maleh aku masuk hutan. Baik duduk rumah dengan anak isteri."

"Surau pun jarang pegi, nak pegi latihan tentera, penatlah."

"Saya cintakan keamanaan, sebab tu saya tak join tentera."

Otak manusia memang boleh dikatakan sebagai kilang alasan. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Kalau dah banyak dalihnya, faham-fahamlah. Tak nak la maksudnya.

Idea yang diperkenalkan oleh Army Reserve ni ialah tiap-tiap orang boleh memberi sumbangan kepada pertahanan negara. Mereka memecahkan jenis penyertaan kepada 2: Pegawai dan Kadet. Pegawai dipecahkan kepada 2 bahagian, General Service Officer ( tugas pentadbiran) dan Specialist Service Officer ( tugas-tugas khas). Bahagian kedua itu meliputi tugas-tugas sebagai doktor, jurutera, peguam dan perhubungan. Kadet pula, kadetlah. Tak perlu dihuraikan.

Pada zaman Rasulullah dahulu, tiada organisasi khas untuk melatih para sahabat sebagai tentera. Merekalah peniaga, mereka juga tentera Islam. Merekalah pendakwah, mereka juga tentera Islam. Mungkin ada yang berkata,

"Mereka dilatih sejak kecil untuk menunggang kuda dan bermain pedang. Sebab tu tak payah kem tentera."

Ingat, tidak semestinya kena tunggang kuda dan main pedang. Cuba luaskan skop pemikiran. Fikir bahawa tunggang kuda itu sebagai keupayaan mobiliti dan bermain pedang sebagai 'martial art'. Dengan itu, latihlah diri dengan kemahiran navigasi dan membaca peta serta seni mempertahankan diri.

Lagi, kalau hendak menyumbang kepada ketenteraan bukan dengan otot 100%. Gunakan kemahiran lain. Sepertimana yang diterangkan di atas, semua boleh menyumbang kepada kekuatan Islam.

Seperkara lagi, 'fitness' amat penting sebagai seorang Islam. Jangan malas-malas nak beriadah. Mukmin yang kuat adalah lebih disukai daripada Mukmin yang lemah. Kalau asyik dalam bilik sahaja, memanglah lemah sebab temannya tilam dan bantal. Pegilah 'gym', beradu kekuatan dengan besi. Tak pun, pegi padang, berkawan dengan angin dan terik mentari.

Kesimpulan

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Di mana ada ketidakmahuan, di situ ada alasan.

Latih diri menjadi kuat.



P.s: Kat Malaysia popular tak tentera simpanan ni? Rasa-rasanya?

Wednesday, January 17

Antara Istikharah dan Istisyarah

Seorang sahabat saya bertanya,

"Kalau kita dapat petunjuk dalam mimpi selepas solat Istikharah, tapi mimpi tu bertentangan dengan keputusan kita, wajib ke kita ikut apa-apa yang kita dapat dalam mimpi tu?"

Persoalan di sini ialah hukum ikut petunjuk dalam mimpi yang kita dapat selepas solat Istikharah.

Sebelum dihurai lebih lanjut, berikut adalah definisi Istikharah & Istisyarah. 'Istisyarah' bermaksud 'meminta pandangan', contohnya meminta pandangan daripada rakan, ibu bapa atau guru.

Istikharah pula bermaksud 'meminta petunjuk'. Akan tetapi Solat Istikharah bukan dilakukan untuk mendapat mimpi atau sebagainya. Menurut An-Nawawi,

"...selepas Solat Istikharah, dia mesti lakukan perkara yang dia rasa sepenuh hati ingin lakukan, rasa selesa dengan keputusan itu, dan mestilah tidak berkeras untuk melakukan perkara yang dia hajatkan sebelum Solat dilaksanakan. Jika perasaannya berubah, dia mesti tinggalkan perkara yang dia inginkan sebelum Solat, jika tidak dia tidak bertawakal kepada Allah, dan tidak ikhlas dalam meminta bantuan daripada Allah. Keikhlasan dalam meminta petunjuk daripada Allah bermaksud meninggalkan sepenuhnya kehendak diri sendiri."

Daripada huraian Imam Nawawi, dapat kita simpulkan bahawa Solat Istikharah dilakukan untuk menetapkan hati dan menguatkan tawakal kepada Allah.

Tambahan pula, Solat Istikharah bukan dilakukan dengan tidak semena-mena atau tanpa langkah-langkah awal. Selepas analisis, berpandukan Al-Quran dan As-Sunah, serta proses Istisyarah, barulah solat tersebut dilakukan dan keputusan diambil selepas itu. Akhir sekali, bertawakalah!

Berkaitan dengan mimpi pula, perlu dilihat adab-adab orang yang bersolat sebelum tidur. Mungkin mimpi itu petunjuk. Boleh jadi mimpi akan menyesatkan. Nauzubillah.

Kesimpulannya, soalan wajib atau tidak mengikut petunjuk dalam mimpi itu sudah menyalahi konsep. Hukum perbuatan tidak bergantung kepada mimpi, tapi, adalah bergantung kepada analisis daripada Al-Quran dan As-Sunah serta proses Istisyarah.

Jadi, betulkan konsep pemahaman kita terhadap Solat Istikharah. Mungkin solat ini sekadar solat sunat, tetapi kaitan dengan akidah umat Islam itu sendiri amat rapat seperti tawakal, keikhlasan dalam memohon pertolongan Allah, dan lain-lain.

Sampai sini dahulu. Sehingga berjumpa lagi.

References.

Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dan sahabat.
www.muttaqun.com

Saturday, November 18

Aiyuhas Syabab... ( Wahai pemuda...)

"Sesungguhnya sesuatu fikrah itu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang beriman penuh dengan ajarannya, yang benar-benar jujur dalam usaha menegakkan hukum-hukumnya, yang mempunyai semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan disamping itu terdapat pula kemudahan persiapan yang boleh mendorong manusia ke arah berkorban (bertindak) serta terus bertindak menjayakannya." ( Al-Banna)

Dalam setiap perjuangan, kemenangan adalah sasaran pejuang. Kemenangan yang hakiki hanya pada mereka yang berjuang beserta bantuan Allah dan Bantuan Allah akan turun kepada mereka yang layak mendapat bantuan Allah.

Dalam peristiwa Badar, bilangan bukan penentu kejayaan. Kecanggihan senjata dan kenderaan perang bukan juga penjamin kejayaan ada dalam genggaman. Pejuang Islam menang ketika itu kerana Allah beri kemenangan kepada mereka. Pejuang Islam ketika itu layak mendapat bantuan Allah.

Merujuk kepada kenyataan Al-Banna dalam risalah 'Wahai Pemuda' dia atas, itulah sifat yang perlu ada dalam ahli sesebuah pergerakan fikrah. Penekanan diberi kepada pemuda pergerakan fikrah. Mereka mestilah mempunyai keimanan yang benar-benar tulen atas ajaran pergerakan. Mereka juga mestilah mempunyai kejujuran ( sadiq ). Kejujuran ini ialah hati mereka dengan tulus mahu kepada pergerakan itu dan sentiasa bersama dengan ajaran pergerakan dalam ramai mahupun ketika sendirian.

Pemuda juga mestilah mempunyai semangat untuk berjuang kerana semangat itulah minyak yang akan membakar api tindakan. Akhir sekali, pemuda mestilah bersifat dinamik; sentiasa bergerak dan beramal dengan fikrah jemaah, bukan hanya pandai bersyarah dan berfikir. Mesti ada aplikasi dan tindakan.

Perlu diingat, semua ciri-ciri itu bukan sesuatu yang ada dengan sekelip mata, atau diperolehi dengan mudah. Perlu ada tarbiah yang terancang dan tersusun, serta latihan-latihan, perlu diwujudkan untuk membentuk pemuda yang bersifat seperti sifat yang telah disebut.

Antara medium latihan yang mudah ialah usrah. Rasulallah memberi pendedahan kepada sahabat dengan perjumpaan-perjumpaan dan perbincangan-perbincangan mengenai Islam. Inilah cara Rasulallah, dan inilah juga cara kita, jika kita mahu berjaya di dunia dan di akhirat.

Hingga berjumpa lagi...