Showing posts with label Semasa. Show all posts
Showing posts with label Semasa. Show all posts

Tuesday, June 16

Mesir vs Brazil: Malulah Sikit

Menyaksikan perlawanan antara Brazil dan Mesir sambil mengulangkaji Solid Mechanics bukanlah idea terbaik tetapi masa yang diluangkan untuk kedua-duanya boleh dikatakan agak berbaloi juga.

Saya tak bertujuan hendak menulis rumusan perlawanan malam semalam. Saya cuma hendak menyentuh satu dua perkara yang menarik (pada pandangan saya).


2 Gol Dalam Masa Kurang 2 Minit

Mesir bangkit dan menyamakan kedudukan setelah ketinggalan 3-1 dalam masa 2 minit! Gol jaringan 'ustaz jambang' no.11 dan Zidan memang di luar jangkaan penonton. Seperti kata Hasbullah Awang, "Bola itu bulat, tiada yang mustahil". Mesir yang dikatakan kurang menyerlah di pentas dunia mampu berbuat demikian ketika menentang salah satu daripada gergasi bola sepak. Hebat!

Selepas itu, Mesir mula meningkatkan penguasaan terhadap permainan. Sudden burst of spirit!

Situasi itu membuatkan saya teringat satu perlawanan persahabatan dengan geng anak-anak Arab. Ketika itu saya menjadi penjaga gol. Mereka ketinggalan 3-1 juga (seingat sayalah). Kemudian, mereka menjaringkan gol ke-2 dengan meng'ole' penjaga gol pasukan Melayu.

**Selingan: Entri ini tidak bertujuan menggalakan pertembungan antara kaum. (Arab lwn Melayu)**

Lalu, tiba-tiba anak-anak Arab tu terus bersemangat! Tapi, akhirnya mereka kalah juga.

Saya juga terfikir. Pengajaran yang boleh diambil oleh mat-mat bola yang dakwah atau mat-mat dakwah yang bola, semangat dalam perjuangan Islam bukan seperti semangat dalam perlawanan bola. Kalau dapat gol baru nak semangat. Pejuang kena terus bersemangat sepanjang masa.

Dalam sirah Rasulallah s.a.w., jemaah Islam menang dalam Badar tetapi dipukul kembali dengan teruk dalam Uhud. Tapi, perjuangan belum berakhir. Hingga kini. Kemenangan dan kekalahan digilirkan oleh Allah Taala untuk menguji siapa yang ikhlas berjuang dan ingin menjadikan sebahagian daripada umat Islam mati sebagai syuhada.

Sekarang, Islam dipukul teruk daripada pelbagai sudut dan kadang-kala, kita mendengar berita kemenangan umat Islam dari Palestin, Lebanon, Indonesia atau Malaysia. Lalu, dengan suntikan semangat yang sekejap itu, semangat pun naik sekejap sahaja... Kamon, u can do better than that!

Lagi, jangan terlalu bangga dengan kemenangan itu dan terlebih yakin. Kelak, kau akan rasai kekalahan juga, jangan risau.

Bukti Video dan Peraturan

Satu lagi, pasukan Mesir ingin mencabar keputusan pengadil yang menggunakan rakaman video untuk membuat keputusan. Dalam peraturan FIFA, pengadil tidak boleh menggunakan alat bantuan video. Tidak seperti ragbi, pengadil boleh sahaja merujuk rakaman untuk membuat keputusan yang lebih tepat.

Sebelum mengulas lebih lanjut, tidak dinafikan kadang-kadang pemain bola sepak tergunakan tangan. 'Ter'guna maksudnya tidak sengaja guna. Tindakan tersebut kadang-kala ialah refleks semata-mata dan bukannya hasil pemikiran yang teliti dan daya kognitif yang waras.

Tapi, tindakan mencabar keputusan pengadil setelah terang-terangan ada bukti, menunjukan keberanian memanipulasi peraturan untuk menegakkan benang yang basah.

Kalau di akhirat nanti, dahlah ada bukti bertulis, ada bukti video, peraturan pun tak menyebelahi pesalah. Walaupun begitu, lidah akan 'dikunci' jua. Adat manusia ingin menutup salah sendiri.

Peraturan rekaan manusia hampir semuanya memang tak lengkap, lemah, kolot, dan yang menggunakannya dan mempertahankannya untuk menghalang penggunaan peraturan Allah ialah orang yang sombong, degil, kolot dan syok sendiri.

Kalau dalam bola sepak pun orang boleh manipulasi, peraturan manusia memang tak sesuai untuk ekonomi, kemasyarakatan, jenayah dan mengurus dunia.

Untuk maklumat lanjut berkenaan bantahan tu boleh rujuk link berikut:

http://soccernet.espn.go.com/news/story?id=655031&sec=global&cc=3436


P/s: Dalam kedudukan bolasepak dunia, Brazil berada di tangga ke-5, Mesir berada di tangga ke-40 dan Malaysia di tangga ke-159 mengikut FIFA.

Sunday, January 11

TNB Generation: Generating Ummah?

Pada Jumaat yang lepas, TNB Generation meneruskan program 'tarbiah' mingguan. Kali ini, Kuliah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Luh al-hafiz. Kuliah pada minggu ini ialah kuliah hadis, "Tidak ada hijrah lagi..." yang diriwayatkan daripada Aishah R.A.

Daripada Aishah radiallahu anha, dia berkata, Rasulallah s.a.w. telah bersabda, "Tidak ada hijrah lagi selepas pembukaan (Mekah), yang ada hanyalah jihad dan niat (tulus) ikhlas..." (Muttafaqun Alaih)

Pengertian 'Tidak ada hijrah lagi selepas pembukaan (Mekah)'
Untuk memahami ayat ini, pemahaman yang betul terhadap hijrah adalah penting. Hijrah di sini bukanlah hijrah yang difahami dari sudut bahasa. Tapi, hijrah dalam ayat ini perlu difahami dan diukur dalam konteks masa Rasulallah s.a.w.

Hijrah yang dimaksudkan ialah keluar beramai-ramai dari tanah air sendiri untuk menyelamatkan usaha dakwah. Hijrah yang dilakukan pada zaman Rasulallah s.a.w. bukanlah bermaksud melarikan/menyelamatkan nyawa. Hijrah itu juga bukan bermaksud meninggalkan saudara atau darah daging sendiri dalam kekufuran setelah mereka tak menerima dakwah. Hijrah itu bermaksud mencari tapak baru untuk berdakwah setelah bertahun-tahun diseksa dan diuji di tanah air.

Setelah mereka mendapat kekuatan di Madinah mereka kembali ke Mekah untuk menyelamatkan bumi yang mereka cintai daripada terus bergelumang dengan kesyirikan. Mekah yang dimuliakan Allah dengan Kaabah dan wahyu perlu diselamatkan daripada kehinaan syirik. Bumi Allah ini mestilah patuh pada hukum-hakam Allah. Itulah salah satu sebab mengapa Mekah mesti dibuka.

Pengertian 'Yang ada hanyalah jihad dan niat (tulus ikhlas)...'
Jihad secara umum ialah usaha yang bersungguh-sungguh. Belajar bersungguh-sungguh ialah jihad. Suami yang berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi hati isteri dan ayah yang bersungguh-sungguh mencari nafkah untuk anak-anak juga jihad. Berperang (Qital) untuk mempertahankan Islam dengan bersungguh-sungguh juga jihad. Dengan kata lain, semua perkara-perkara yang harus di sisi syariat Islam, jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh termasuk dalam jihad.

Andaikata mesej yang hendak disampaikan di sini hanya berperang pada jalan Allah, maka perkataan 'qital' mungkin lebih sesuai.

Niat tulus ikhlas bermaksud rasa hati yang tidak mengharapkan balasan terhadap usaha yang dilakukan. Seorang Rasul sanggup dikeji, dihina dan terseksa zahir dan batinnya kerana ikhlas menyampaikan risalah Allah. Seorang ayah yang berusaha mencari nafkah tidak berharap balasan sesen, sekupang atau 'samah' pun daripada anak isterinya. Begitu juga seorang isteri yang tabah rajin mengurus rumah tangga untuk meringankan beban suami yang tercinta. Begitu juga seorang ibu yang melahirkan anaknya.

Kaitan Dengan Palestin dan Tanah Air Umat Islam yang Lain
Seperti Mekah, Palestin juga dimuliakan Allah dengan Masjidil Aqsa. Akan tetapi, tindakan yang perlu dilakukan pada masa kini ialah mempertahankan tanah mulia itu dengan sepenuh tenaga, harta dan darah. Tidak ada hijrah lagi selepas pembukaan Mekah. Mempertahankan bumi mulia itu daripada dipijak (dinodai) dengan kaki-kaki 'sang' zalim yang lebih buruk daripada binatang adalah tindakan yang tinggi nilainya di sisi Allah, andaikata jihad ini dilakukan dengan niat tulus ikhlas.

Inilah mesej yang boleh diambil daripada hadis ini. Andaikata Malaysia ini dimasuki oleh mereka yang berniat zalim dengan cara peperangan, maka tindakan umat Islam bukan hijrah (baca: lari) mencari kekuatan. Tapi, umat Islam mestilah seluruhnya berdiri menentang kezaliman dengan jihad (sungguh-sungguh) dan tulus ikhlas.

Umat Islam di Malaysia dan tempat-tempat lain harus mengambil inisiatif membantu sahabat-sahabat di Palestin dengan apa-apa yang termampu. Memboikot produk-produk Israel satu permulaan yang baik. Berdoa kepada Allah setiap kali selepas solat fardhu juga usaha yang baik.

Wahai rakan-rakan pembaca sekalian, moga kita diberi kekuatan oleh Allah Taala. Amin.

Friday, January 19

Hijrah

Intro

"Setahun berlalu, bermaksud setahun lebih dekat dengan kematian," terang Imam dalam khutbah Jumaat tadi.

"Kita menyambut tahun baru bukan seperti 'orang lain' menyambut tahun baru. Bukan dengan parti. Bukan dengan bersuka-suka yang sia-sia."

Isi

Kalendar Hijrah diasaskan oleh Saidina Umar Al-Khattab setelah berbincang dengan para sahabat. Langkah ini diambil untuk menggantikan penggunaan Kalendar Rom. Kiraan tahun pula bermula dengan tahun penghijrahan Rasulallah P.b.u.h. dan para sahabat dari Mekah ke Madinah.

Saidina Umar juga memutuskan untuk memulakan Tahun Hijrah dengan bulan Muharam, walhal, sebenarnya peristiwa Hijrah berlaku dalam bulan Rabiul Awal. Apa rasionalnya?

Dalam satu hadis Rasulallah, Baginda memberitahu, "Dalam umat-umat terdahulu, terdapat golongan yang diberi ilham (walupun mereka bukan nabi). Jika ada orang sebegitu di kalangan pengikutku, Umar adalah orangnya."

Hadis ini menunjukkan idea Umar dipandu oleh Allah. Dan itulah keistimewaan Umar. Dalam penentuan permulaan Tahun Hijrah, Umar telah mengemukakan satu pandangan yang bernas.

Bulan Muharam dipilih sebagai bulan yang pertama kerana bulan sebelumnya ialah Zulhijjah yang dalamnya terdapat Rukun Islam yang ke-5, menunaikan haji. Haji yang mabrur mengembalikan rohani pelakunya kepada keadaan yang suci dan bersih, seperti bayi yang baru lahir. Dengan itu, pelaku akan mendapat motivasi untuk memulakan tahun baru dengan keadaan yang suci daripada sebarang dosa.

Bagi yang tidak dapat menunaikan haji (kerana uzur dan sebagainya), mulakanlah tahun baru dengan azam yang baru, azam yang berpandu kepada syarak.

Penutup

Tuntutlah lebih banyak ilmu tentang Islam, tambah ayat hafazan dan aplikasikan ayat yang dihafaz dalam kehidupan seharian. Jadilah pendakwah yang lebih rajin. Maafkan kesalahan orang lain dan hubungkanlah silaturahim. Eratkan hubungan kekeluargaan. Jangan mengumpat dan berbual kosong. Banyakkan menolong orang yang kurang upaya dan yang kurang bernasib baik.

Semoga diberi kekuatan.

Rujukan.

Mimbar Jumaat Adelaide Mosque

Friday, October 6

Dah separuh Ramadhan berlalu...

First half dah tamat. Sekarang, second half pulak. Macam mana dengan perkembangan iman? Yazid au yanqus? ( Bertambah atau berkurang? )

Prinsip seorang sniper (penembak hendap), satu peluru untuk seorang musuh. Dengan kata lain, setiap aset mesti digunakan semaksima mungkin untuk mencapai matlamat. Kita cemane?

Kalau yang rajin baca quran, mungkin satu hari satu juzuk. Kalau yang rajin qiyamullail, satu malam satu sesi qiyamullail. Mudah-mudahan mereka yang rajin berjaga malam tu dapat kelebihan daripadanya, seperti yang dijelaskan dalam Surah Muzammil, Ayat 6 & 7:

"Sungguh bangun malam itu lebih kuat (mengisi jiwa); dan (bacaan pada waktu itu ) lebih berkesan. [6] Sesungguhnya pada siang hari engkau sangat sibuk dengan urusan-urusan yang panjang. [7]"

Jangan lupa pulak pada sepuluh malam terakhir. Masa itu ada kurnia besar untuk hambanya iaitu Malam Lailatul Qadar. Malam yang lebih baik daripada seribu bulan. ( Surah Al-Qadr)

Ambillah peringatan. Gunakan bulan ramadhan yang masih tinggal separuh ni sepenuhnya. :)

Wednesday, August 30

Sempena Hari Merdeka...

Kata seorang penyair arab,

Kemerdekaan itu ada di sebalik pintu merah,
Kerana diketuk oleh tangan-tangan yang penuh darah.


Renungi kata-kata penyair tu. Fikir-fikirkan, susah sebenarnya nak 'bersemuka' dengan Kemerdekaan. Betapa susahnya pejuang-pejuang tanah air dahulu berkorban kerana mahu bumi mereka merdeka, begitu juga susahnya mereka yang mewarisi bumi yang telah merdeka untuk mengekalkannya.

Selalu sahaja kita dengar, orang biasa mengulang-ulang, mempertahankan kemerdekaan lebih sukar daripada memperolehinya. Persoalannya, adakah kita sudah memperoleh kemerdekaan untuk kita pertahankan?

Tanah air memang telah lama merdeka. Bagaimana pula dengan pemikiran? Masih menjadi hamba hamba manusia? Masih bertuankan harta dan material?

Berapa ramai yang 'berjuang' untuk menambah harta sedangkan apa yang ada sudah lebih daripada keperluan hidup mereka dan tanggungan mereka? Mereka ini masih belum merdeka daripada cinta dunia... Berapa ramai pula yang takut menyuarakan perkara yang hak sedangkan mereka mampu untuk melakukannya? Mereka ini masih lagi dibelenggu dengan rantai-rantai rasa takut kepada manusia.

Fikir-fikirkan. Apa lagi yang membelenggu kita hingga kita tidak merdeka melaksanakan tugas sebagai hamba Tuhan yang Maha Pencipta? Berjuanglah untuk kemerdekaan yang hakiki dan abadi. Ingatlah, dunia ini sementara, kehidupan akhirat jugalah yang kekal selama-lamanya.