Pada Jumaat yang lepas, TNB Generation meneruskan program 'tarbiah' mingguan. Kali ini, Kuliah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Luh al-hafiz. Kuliah pada minggu ini ialah kuliah hadis, "Tidak ada hijrah lagi..." yang diriwayatkan daripada Aishah R.A.
Daripada Aishah radiallahu anha, dia berkata, Rasulallah s.a.w. telah bersabda, "Tidak ada hijrah lagi selepas pembukaan (Mekah), yang ada hanyalah jihad dan niat (tulus) ikhlas..." (Muttafaqun Alaih)
Pengertian 'Tidak ada hijrah lagi selepas pembukaan (Mekah)'
Untuk memahami ayat ini, pemahaman yang betul terhadap hijrah adalah penting. Hijrah di sini bukanlah hijrah yang difahami dari sudut bahasa. Tapi, hijrah dalam ayat ini perlu difahami dan diukur dalam konteks masa Rasulallah s.a.w.
Hijrah yang dimaksudkan ialah keluar beramai-ramai dari tanah air sendiri untuk menyelamatkan usaha dakwah. Hijrah yang dilakukan pada zaman Rasulallah s.a.w. bukanlah bermaksud melarikan/menyelamatkan nyawa. Hijrah itu juga bukan bermaksud meninggalkan saudara atau darah daging sendiri dalam kekufuran setelah mereka tak menerima dakwah. Hijrah itu bermaksud mencari tapak baru untuk berdakwah setelah bertahun-tahun diseksa dan diuji di tanah air.
Setelah mereka mendapat kekuatan di Madinah mereka kembali ke Mekah untuk menyelamatkan bumi yang mereka cintai daripada terus bergelumang dengan kesyirikan. Mekah yang dimuliakan Allah dengan Kaabah dan wahyu perlu diselamatkan daripada kehinaan syirik. Bumi Allah ini mestilah patuh pada hukum-hakam Allah. Itulah salah satu sebab mengapa Mekah mesti dibuka.
Pengertian 'Yang ada hanyalah jihad dan niat (tulus ikhlas)...'
Jihad secara umum ialah usaha yang bersungguh-sungguh. Belajar bersungguh-sungguh ialah jihad. Suami yang berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi hati isteri dan ayah yang bersungguh-sungguh mencari nafkah untuk anak-anak juga jihad. Berperang (Qital) untuk mempertahankan Islam dengan bersungguh-sungguh juga jihad. Dengan kata lain, semua perkara-perkara yang harus di sisi syariat Islam, jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh termasuk dalam jihad.
Andaikata mesej yang hendak disampaikan di sini hanya berperang pada jalan Allah, maka perkataan 'qital' mungkin lebih sesuai.
Niat tulus ikhlas bermaksud rasa hati yang tidak mengharapkan balasan terhadap usaha yang dilakukan. Seorang Rasul sanggup dikeji, dihina dan terseksa zahir dan batinnya kerana ikhlas menyampaikan risalah Allah. Seorang ayah yang berusaha mencari nafkah tidak berharap balasan sesen, sekupang atau 'samah' pun daripada anak isterinya. Begitu juga seorang isteri yang tabah rajin mengurus rumah tangga untuk meringankan beban suami yang tercinta. Begitu juga seorang ibu yang melahirkan anaknya.
Kaitan Dengan Palestin dan Tanah Air Umat Islam yang Lain
Seperti Mekah, Palestin juga dimuliakan Allah dengan Masjidil Aqsa. Akan tetapi, tindakan yang perlu dilakukan pada masa kini ialah mempertahankan tanah mulia itu dengan sepenuh tenaga, harta dan darah. Tidak ada hijrah lagi selepas pembukaan Mekah. Mempertahankan bumi mulia itu daripada dipijak (dinodai) dengan kaki-kaki 'sang' zalim yang lebih buruk daripada binatang adalah tindakan yang tinggi nilainya di sisi Allah, andaikata jihad ini dilakukan dengan niat tulus ikhlas.
Inilah mesej yang boleh diambil daripada hadis ini. Andaikata Malaysia ini dimasuki oleh mereka yang berniat zalim dengan cara peperangan, maka tindakan umat Islam bukan hijrah (baca: lari) mencari kekuatan. Tapi, umat Islam mestilah seluruhnya berdiri menentang kezaliman dengan jihad (sungguh-sungguh) dan tulus ikhlas.
Umat Islam di Malaysia dan tempat-tempat lain harus mengambil inisiatif membantu sahabat-sahabat di Palestin dengan apa-apa yang termampu. Memboikot produk-produk Israel satu permulaan yang baik. Berdoa kepada Allah setiap kali selepas solat fardhu juga usaha yang baik.
Wahai rakan-rakan pembaca sekalian, moga kita diberi kekuatan oleh Allah Taala. Amin.
No comments:
Post a Comment