Thursday, January 25

Tentera & Muslim

Setelah meluangkan masa lebih kurang 10 minit dengan Christ, seorang kadet daripada Army Reserve, saya rasa tertarik pula dengan modul yang diperkenalkan oleh Australian Defence. Semua orang boleh menyertai tentera tanpa mengganggu kehidupan seharian.

Bukan saya hendak meng'offer' kawan-kawan yang berada di Australia untuk menyertai Army Reserve, tetapi terdetik dalam hati betapa ketenteraan dianggap lekeh oleh sesetengah orang dan ada juga Muslim yang tidak mahu melibatkan diri dengan aktiviti ini.

"Maleh aku masuk hutan. Baik duduk rumah dengan anak isteri."

"Surau pun jarang pegi, nak pegi latihan tentera, penatlah."

"Saya cintakan keamanaan, sebab tu saya tak join tentera."

Otak manusia memang boleh dikatakan sebagai kilang alasan. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Kalau dah banyak dalihnya, faham-fahamlah. Tak nak la maksudnya.

Idea yang diperkenalkan oleh Army Reserve ni ialah tiap-tiap orang boleh memberi sumbangan kepada pertahanan negara. Mereka memecahkan jenis penyertaan kepada 2: Pegawai dan Kadet. Pegawai dipecahkan kepada 2 bahagian, General Service Officer ( tugas pentadbiran) dan Specialist Service Officer ( tugas-tugas khas). Bahagian kedua itu meliputi tugas-tugas sebagai doktor, jurutera, peguam dan perhubungan. Kadet pula, kadetlah. Tak perlu dihuraikan.

Pada zaman Rasulullah dahulu, tiada organisasi khas untuk melatih para sahabat sebagai tentera. Merekalah peniaga, mereka juga tentera Islam. Merekalah pendakwah, mereka juga tentera Islam. Mungkin ada yang berkata,

"Mereka dilatih sejak kecil untuk menunggang kuda dan bermain pedang. Sebab tu tak payah kem tentera."

Ingat, tidak semestinya kena tunggang kuda dan main pedang. Cuba luaskan skop pemikiran. Fikir bahawa tunggang kuda itu sebagai keupayaan mobiliti dan bermain pedang sebagai 'martial art'. Dengan itu, latihlah diri dengan kemahiran navigasi dan membaca peta serta seni mempertahankan diri.

Lagi, kalau hendak menyumbang kepada ketenteraan bukan dengan otot 100%. Gunakan kemahiran lain. Sepertimana yang diterangkan di atas, semua boleh menyumbang kepada kekuatan Islam.

Seperkara lagi, 'fitness' amat penting sebagai seorang Islam. Jangan malas-malas nak beriadah. Mukmin yang kuat adalah lebih disukai daripada Mukmin yang lemah. Kalau asyik dalam bilik sahaja, memanglah lemah sebab temannya tilam dan bantal. Pegilah 'gym', beradu kekuatan dengan besi. Tak pun, pegi padang, berkawan dengan angin dan terik mentari.

Kesimpulan

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Di mana ada ketidakmahuan, di situ ada alasan.

Latih diri menjadi kuat.



P.s: Kat Malaysia popular tak tentera simpanan ni? Rasa-rasanya?

Monday, January 22

Islam untuk Semua

Intro

"Puak-puak agama ni , hidup di kalangan mereka je. Kita yang biasa-biasa ni tak 'ngam' dengan 'diorang'," komen seorang mat motor.

"Kitorang ni kaki bola. Diorang tu kaki surau. Kami pakai jersi dengan jeans saja, diorang kopiah ngan jubah tak pernah lekang. Nampak sangat diorang tu memang baik-baik. Memang tak leh duduk sekali lah," keluh seorang penyokong Manchester United.

Bermacam-macam keluhan lagi yang selalu pendakwah-pendakwah hadapi tatkala berdepan dengan 'mad'u'.

Pendakwah menganggap ini sebagai cabaran. Mereka yang menyertai 'jalan dakwah' pasti ada ujian. Mesti ada musibah. Mesti ada tentangan. Itu biasa.

Tapi, adakah keluhan-keluhan itu cabaran semata-mata? Nampak ada benarnya keluhan-keluhan kaki bola dan mat motor tadi. Kalau mereka benar, siapa yang salah? Pendakwah?

Isi

Rasulallah diutuskan untuk kesejahteraan seluruh alam. Segenap golongan manusia yang membuka hati mereka akan mendapat rahmat daripada Islam. Akan tetapi, manfaat dan rahmat itu tidak sampai kepada segenap manusia kerana yang membawa Islam itu tidak kena caranya.

Jangan melenting dahulu. Perlu diingat, pendakwah itu makhluk. Pendakwah itu manusia. Pasti ada silapnya. Cacatnya mesti ada.

Masalah-masalah di atas timbul kerana wujudnya golongan pendakwah yang kurang berilmu. Oleh sebab kurangnya ilmu mereka, mereka memilih mad'u mereka.

"Alah, mat-mat motor ni malas 'ana' nak pegi kat diorang lah. Lebih baik 'ana' dekati pelajar-pelajar pengajian Islam."

"Diorang tu tengok bola, main bola. Tengok bola, main bola. 'Ana' xda masa untuk semua tu. 'Ana' nak pegi surau ni."

Lantas, golongan-golongan yang hati nurani mereka dahagakan Islam, ditinggalkan begitu sahaja, lantaran ada segelintir golongan pendakwah yang memilih mad'u mereka. Selain itu, ada juga pendakwah yang kurang dinamik. Bagi mereka, dakwah itu adalah ceramah. Kalau bukan pun, dakwah itu adalah ajak pegi surau semata-mata.

Dahulu, Abu Zar terdengar berita ada seorang lelaki bani Hasyim yang mengaku dirinya nabi. Kerana, ingin tahu, Abu Zar keluar daripada Ghiffar dan pergi ke Mekah. Di pintu masuk Kota Mekah, konco-konco Abu Jahal memberitahu kepada setiap orang baru yang datang supaya berhati-hati dengan lelaki yang mengaku dirinya nabi. Abu Zar tidak tahu perkara yang harus dilakukannya. Lantas, dia pergi berehat di tepi Kaabah.

Ali yang ketika itu masih remaja, menyedari kehadiran 'orang baru' itu. Lantas, Ali menawarkan penginapan kepada Abu Zar. Ali tidak bertanya kepada Abu Zar tentang tujuan kedatangannya, dan Abu Zar pula tidak memberitahu tujuan kehadirannya, kerana teringat pesan konco Abu Jahal.

Tidak sekalipun Ali menyebut tentang Rasulallah dan ajarannya kepada pendatang baru itu. Ali hanya menjalankan rutin kehidupan sehariannya. Ali tidak berceramah setiap hari kepada pendatang baru itu. Daripada cara Ali menjalani kehidupan seharian, dia menunjukkan ada cara lain untuk mengurus hidup. Melalui peribadinya, Ali berjaya menunjukkan ada 'pilihan' lain selain hidup dengan cara Jahiliah.

Selepas tiga hari, Abu Zar tertarik dengan perangai Ali dan timbul rasa percaya padanya. Lantas, Abu Zar bertanya kepada Ali tentang orang yang mengaku nabi. Ali dengan gembira membawa Abu Zar kepada Rasulallah. Akhirnya, Abu Zar serta Kabilahnya masuk Islam. Semuanya bermula dengan peribadi Ali. "Action speaks louder than words".

Kesimpulan

Pendakwah harus menunjukkan peribadi yang baik kepada orang lain. Dalam kes Ali, dia menunjukkan peribadi yang baik kepada orang bukan Islam. Peribadinya mencerminkan ilmu yang dipelajari daripada Rasulallah. Dia tidak berfikir untuk meningkatkan amalan dirinya sahaja lantaran tidak bercampur dengan orang bukan Islam. Islam adalah agama yang sejahtera. Islam untuk semua.

Resolusi

Pendakwah harus terus mendalami segala jenis ilmu dalam Islam contohnya, Fekah, Tajwid, Bahasa Arab, Matematik, Sains, Kemahiran Berkomunikasi, bola sepak dan sebagainya.

Amalkan ilmu yang dipelajari.

Dekati dan berkawanlah dengan semua orang.

Pendakwah adalah orang yang menunjuk jalan dan memberi pilihan. Bukan orang yang memaksa dan mendesak.



Semoga diberi kekuatan.

Friday, January 19

Hijrah

Intro

"Setahun berlalu, bermaksud setahun lebih dekat dengan kematian," terang Imam dalam khutbah Jumaat tadi.

"Kita menyambut tahun baru bukan seperti 'orang lain' menyambut tahun baru. Bukan dengan parti. Bukan dengan bersuka-suka yang sia-sia."

Isi

Kalendar Hijrah diasaskan oleh Saidina Umar Al-Khattab setelah berbincang dengan para sahabat. Langkah ini diambil untuk menggantikan penggunaan Kalendar Rom. Kiraan tahun pula bermula dengan tahun penghijrahan Rasulallah P.b.u.h. dan para sahabat dari Mekah ke Madinah.

Saidina Umar juga memutuskan untuk memulakan Tahun Hijrah dengan bulan Muharam, walhal, sebenarnya peristiwa Hijrah berlaku dalam bulan Rabiul Awal. Apa rasionalnya?

Dalam satu hadis Rasulallah, Baginda memberitahu, "Dalam umat-umat terdahulu, terdapat golongan yang diberi ilham (walupun mereka bukan nabi). Jika ada orang sebegitu di kalangan pengikutku, Umar adalah orangnya."

Hadis ini menunjukkan idea Umar dipandu oleh Allah. Dan itulah keistimewaan Umar. Dalam penentuan permulaan Tahun Hijrah, Umar telah mengemukakan satu pandangan yang bernas.

Bulan Muharam dipilih sebagai bulan yang pertama kerana bulan sebelumnya ialah Zulhijjah yang dalamnya terdapat Rukun Islam yang ke-5, menunaikan haji. Haji yang mabrur mengembalikan rohani pelakunya kepada keadaan yang suci dan bersih, seperti bayi yang baru lahir. Dengan itu, pelaku akan mendapat motivasi untuk memulakan tahun baru dengan keadaan yang suci daripada sebarang dosa.

Bagi yang tidak dapat menunaikan haji (kerana uzur dan sebagainya), mulakanlah tahun baru dengan azam yang baru, azam yang berpandu kepada syarak.

Penutup

Tuntutlah lebih banyak ilmu tentang Islam, tambah ayat hafazan dan aplikasikan ayat yang dihafaz dalam kehidupan seharian. Jadilah pendakwah yang lebih rajin. Maafkan kesalahan orang lain dan hubungkanlah silaturahim. Eratkan hubungan kekeluargaan. Jangan mengumpat dan berbual kosong. Banyakkan menolong orang yang kurang upaya dan yang kurang bernasib baik.

Semoga diberi kekuatan.

Rujukan.

Mimbar Jumaat Adelaide Mosque

Wednesday, January 17

Antara Istikharah dan Istisyarah

Seorang sahabat saya bertanya,

"Kalau kita dapat petunjuk dalam mimpi selepas solat Istikharah, tapi mimpi tu bertentangan dengan keputusan kita, wajib ke kita ikut apa-apa yang kita dapat dalam mimpi tu?"

Persoalan di sini ialah hukum ikut petunjuk dalam mimpi yang kita dapat selepas solat Istikharah.

Sebelum dihurai lebih lanjut, berikut adalah definisi Istikharah & Istisyarah. 'Istisyarah' bermaksud 'meminta pandangan', contohnya meminta pandangan daripada rakan, ibu bapa atau guru.

Istikharah pula bermaksud 'meminta petunjuk'. Akan tetapi Solat Istikharah bukan dilakukan untuk mendapat mimpi atau sebagainya. Menurut An-Nawawi,

"...selepas Solat Istikharah, dia mesti lakukan perkara yang dia rasa sepenuh hati ingin lakukan, rasa selesa dengan keputusan itu, dan mestilah tidak berkeras untuk melakukan perkara yang dia hajatkan sebelum Solat dilaksanakan. Jika perasaannya berubah, dia mesti tinggalkan perkara yang dia inginkan sebelum Solat, jika tidak dia tidak bertawakal kepada Allah, dan tidak ikhlas dalam meminta bantuan daripada Allah. Keikhlasan dalam meminta petunjuk daripada Allah bermaksud meninggalkan sepenuhnya kehendak diri sendiri."

Daripada huraian Imam Nawawi, dapat kita simpulkan bahawa Solat Istikharah dilakukan untuk menetapkan hati dan menguatkan tawakal kepada Allah.

Tambahan pula, Solat Istikharah bukan dilakukan dengan tidak semena-mena atau tanpa langkah-langkah awal. Selepas analisis, berpandukan Al-Quran dan As-Sunah, serta proses Istisyarah, barulah solat tersebut dilakukan dan keputusan diambil selepas itu. Akhir sekali, bertawakalah!

Berkaitan dengan mimpi pula, perlu dilihat adab-adab orang yang bersolat sebelum tidur. Mungkin mimpi itu petunjuk. Boleh jadi mimpi akan menyesatkan. Nauzubillah.

Kesimpulannya, soalan wajib atau tidak mengikut petunjuk dalam mimpi itu sudah menyalahi konsep. Hukum perbuatan tidak bergantung kepada mimpi, tapi, adalah bergantung kepada analisis daripada Al-Quran dan As-Sunah serta proses Istisyarah.

Jadi, betulkan konsep pemahaman kita terhadap Solat Istikharah. Mungkin solat ini sekadar solat sunat, tetapi kaitan dengan akidah umat Islam itu sendiri amat rapat seperti tawakal, keikhlasan dalam memohon pertolongan Allah, dan lain-lain.

Sampai sini dahulu. Sehingga berjumpa lagi.

References.

Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dan sahabat.
www.muttaqun.com

Monday, January 15

Setelah lama menyepi...

Kini, pena ini basah semula. Lembaran yang kosong mesti diisi. Segenap peluang yang ada perlu dimanfaatkan untuk memperingat umat.

Biarlah sedikit ilmu dalam berdakwah, sedikit itu jugalah yang diamalkan dan disampaikan. Biarlah tidak pandai sangat menulis, tulislah apa-apa yang terdaya demi umat. Biarlah tidak pandai berkata-kata, ucapkanlah apa-apa yang termampu demi ummat.

Sebagai muslim, sentiasa ingat, Islam itu untuk seluruh umat. Hanya dengan Islam umat akan selamat. Dunia dan akhirat. Tiada cara lain. Hanya Islam.

Muslim mesti menyampaikan walau satu kalimat. Muslim mesti mendukung Islam walau hanya dengan satu jari.

Dan ingat, jangan selama-lamanya satu kalimat. Jangan selama-lamanya satu jari. Jangan terus melihat sahabat-sahabat bekerja dari jauh sahaja. Muslim mesti meningkat. Tazkiyatun nafs. Muhasabah. Hari ini mesti lebih baik daripada semalam.

Moga mendapat kekuatan.