Wednesday, May 7

Hanya PadaMu

Penasyid: Mohd Suhaimi El-Fardie

Allahu Allah ampunilah kami
Pimpinlah kami ke jalan yang Engkau redhai
Hamba yang lemah dengan dunia
Kurniakanlah taufiq hidayah menghadapinya

Hanya pada-Mu kami serahkan
Tiap sesuatu Tuhan kuasa menentukan
Dengan ucapan Alhamdulillah
Kami bersyukur kerana beriman
Kehidupan ini penuh ujian
Nikmat dunia yang mengasyikkan melalaikan
Selamatkanlah agama kami
Peliharalah amalan kami iman kami
Dari duniawi
Allahu Allah

***************************************************************************

Sesungguhnya, manusia memang tidak lari daripada kesilapan. Janganlah putus daripada memohon taubat daripada Allah Taala, memberi maaf kepada yang lain tanpa meminta tebusan, dan meminta maaf daripada yang lain, tanpa mengambil ringan kesilapan yang kita lakukan.

Seterusnya, marilah kita memohon kepada Allah Taala agar kita dipimpin ke jalan yang Dia redhai. Sebagai makhluk, kita tidak tahu, apa-apa yang terbaik untuk kita. Kita hanya wajib membuat keputusan hidup berdasarkan petunjuk daripadaNya (Al-Quran dan As-Sunah). Namun, ingatlah perkara yang kita rasa baik untuk diri kita, tidak semestinya baik untuk kita dan perkara yang buruk pada pandangan kita, mungkin pula baik untuk kita.

Lagi, ingatlah dunia ini adalah salah satu daripada musuh-musuh yang perlu kita hadapi dalam mendekatkan diri kepada Allah. Oleh itu, mohonlah bantuan daripada Allah untuk menghadapi musuh ini. Kekuatan hanya datang daripada Allah. Kemenangan hanya datang daripada Allah, bukan daripada kerasnya usaha kita, banyaknya doa kita atau bersihnya tawakal kita. Usaha, doa, dan tawakal kita lakukan kerana itu ibadah kepada Allah.

Yang paling penting, hendaklah kita bersyukur dilahirkan dalam keluarga yang muslim. Itulah nikmat terbesar untuk kita. Dengan nikmat itu, kita dididik dengan Islam. Kita membesar dengan mengenal Islam dahulu daripada agama-agama dan cara hidup yang lain. Sebagai tanda menghargai nikmat itu, kita sebarkan agama ini kepada semua orang. Mulakan daripada yang kita mampu untuk capai. Bagi yang sudah berkeluarga, sedaya upaya usahakan agar anak-anak dapat menghayati Islam lebih daripada apa-apa yang pernah kita rasai dahulu.

Ringkasnya, sentiasalah bertaubat dan sentiasalah memohon perlindungan Allah daripada dunia yang sentiasa melalaikan kita daripada akhirat. Marilah berusaha agar semua orang dapat menikmati iman dan Islam.

Moga diberi kekuatan. InsyaAllah.

No comments: