Wednesday, May 21

Keikhlasan dalam 'Empathy'

'Empathy'= understanding and entering into another's feelings.

Semalam, saya berjalan melalui depan Elder Hall, The University of Adelaide dalam keadaan terhincut-hincut. Kaki saya tercedera sewaktu bermain bola pada hari Ahad. Cedera itu taklah serius, tapi melayakkan penanggungnya untuk menggunakan tempat meletak kenderaan, tempat duduk dan tandas bertanda 'Disabled'!

Tapi, bukan kecederaan itu isu yang utama.

Sedang saya berjalan, seorang mahasiswa berjalan berhampiran saya. Dia bertongkat. Kaki kanannya bersalut simen. Ketika kami bertentang mata, kami tersenyum serentak. Kemudian, dia mengucapkan 'Good day'.

Dalam senyuman yang dia lontarkan, saya dapat rasakan keikhlasan. Saya dapat rasakan 'empathy'. Saya dapat rasa, kemurnian senyuman daripada orang yang memahami kesukaran, keperitan, dan perasaan kita.

Kehangatan berkali ganda dapat saya rasa daripada seorang ibu, ibu mertua, isteri, ayah, adik-beradik, murabbi dan rakan seperjuangan.

Empathy atau empati ialah memahami dan 'merasai' perasaan orang lain. Sifat ini berbeza dengan simpati. Simpati menurut pemahaman saya ialah kebersamaan perasaan. Contohnya, kalau kita sedih ketika pasangan kita sedih. Kita rasa susah melihat orang miskin susah.

Simpati menyebabkan kita menangis ketika orang lain menangis dan murung ketika orang lain murung. Kita tertekan atas tekanan yang menimpa orang lain.

Simpati dan empati dapat mendorong kebaikan. Jika kita simpati kita akan tergerak hati untuk membantu. Jika kita empati begitu juga. Tapi, pihak yang disimpati atau diempati dapat merasakan perbezaan keduanya.

Menurut pengalaman saya, yang pernah merasai simpati dan empati orang lain, kehangatan yang dirasai daripada simpati kurang daripada yang dirasai daripada empati. Susah untuk saya jelaskan, tapi saya dapat rasa perbezaannya.

Kepada para pendakwah, sifat empati itu penting. Penting untuk memahami dan merasai perasaan mad'u. Mad'u selalu merujuk, meminta pandangan, mengajukan persoalan, dan berkongsi masalah. Jika sifat empati itu tiada atau lemah, maka pandangan yang diberi penuh dengan dalil yang sahih dan pelbagai tapi kurang sesuai untuk individu tersebut. Bukan kerana pendakwah kurang ilmu, tetapi pendakwah kurang memahami dan merasai hati mad'u.

Jika mad'u difahami dan dirasai keperitannya, bukan sahaja masalahnya akan selesai, tambahan pula dia akan rasa kemanisan ditarbiah itu. Ukhwah antara muslim subur mesra.

Suburkan sifat 'empathy'. Sifat itu menyebabkan orang mengasihi kita. Tambahkan dengan keikhlasan. Biar berbunga-bunga, orang yang merasainya.

Moga diberi kekuatan oleh Allah.

Wallahu a'lam.

1 comment:

izzah said...

salam.

empathy,hmm..bagus untuk memahamikeadaan sebelum nak tolong seseorang mad'u.tapi simpathy juga penting untuk memudahkan melakukan kerja,takut2 empathy tu menyebabkan terbawa-bawa sampai xboleh buat kerja.

dalam perubatan,kena abaikan@kurangkan empathy kalau nak tolong selamatkan orang (treatment)..takut2,jarum yang nak dicucuk xmasuk2 pulak..=)