Sunday, March 23

Aku Cintakan Kau [Bahagian 1]


Daripada Abu Hamzah Anas bin Malik, khadam Rasulallah s.a.w., daripada Nabi s.a.w., baginda berkata, " Tidak beriman di kalangan kamu sehingga dia mencintai saudaranya apa-apa yang dicintainya untuk dirinya sendiri." (Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim).



Hadis ini adalah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim. Hadis ini menunjukkan kaitan akhlak dengan iman serta memberi garis panduan kasar bagaimana cara mencintai orang lain.

Tentang Anas bin Malik

Anas bin Malik lahir 10 tahun sebelum Hijrah dan memeluk Islam ketika masih muda. Ibunya membawanya kepada Rasulallah s.a.w. supaya dapat dijadikan budak suruhan oleh baginda.

Rasulallah s.a.w. mendoakan Anas bin Malik supaya dirahmati, diberi kekayaan, umur yang panjang, anak-anak yang ramai dan dimasukkan ke syurga. Berkat doa Rasulallah s.a.w. Anas bin Malik meninggal dunia ketika berumur 100 tahun dan mempunyai 300 anak dan cucu ketika dia meninggal dunia.

Potongan pertama daripada hadis: "Tidak beriman di kalangan kamu sehingga..."

Untuk menerangkan potongan hadis ini, satu lagi hadis sahih daripada Musnad Ahmad diperlukan.

"Tidak sampai kesempurnaan iman sehingga seseorang itu menyintai manusia apa-apa yang dia cintakan untuk dirinya dalam perkara kebaikan."

Dengan kata lain, maksud yang cuba disampaikan dalam potongan hadis itu ialah tidak sempurna keimanan jika tidak mencintai saudara, bukannya gugur iman atau tidak beriman.

Seperkara lagi, iman manusia ini terdedah kepada naik dan turun. Ada ketikanya, iman itu di tahap paling tinggi sekali. Puasa sunat rajin, solat sunat rajin. Amar ma'ruf nahi mungkar tak pernah tinggal. Tapi, ada juga ketikanya, malas-malas, banyak berehat, meninggalkan amalan-amalan sunat, dan sebagainya.

Ibn Rajab dalam kitabnya Jamii Al-Ulum wa Al-Hikam, menyatakan bahawa Abu Darda dan Abdullah ibn Rawahah menyatakan, "Iman itu ibarat pakaian. Kadangkala seseorang itu memakainya dan kadangkala seseorang itu menanggalkannya.

Dengan kata lain, adanya iman itu mempunyai peringkat-peringkatnya, dan iman itu kadangkala boleh tercabut juga dan boleh kembali.

Seterusnya, hendaklah difahami bahawa, tidak semestinya iman itu telah sempurna dengan hanya menuruti tuntutan menyintai saudara seislam. Tuntutan-tuntutan lain mestilah dipenuhi juga. Contoh mudah, seseorang yang baik terhadap saudara seislam, tetapi tidak meyakini bahawa wujudnya hari kiamat, maka bukan sahaja tidak sempurna imannya, malah tertolak secara total.

Analogi yang dibawa oleh al-Mudaabaghi sangat-sangat membantu dalam memahami hal ini. Dia berkata, "Tidak ada sembahyang tanpa bersuci (taharah). Tetapi, sembahyang lebih daripada bersuci sahaja. Dengan kata lain, iman adalah lebih daripada sekadar mencintai saudara apa-apa yang dicintai oleh diri sendiri. "

Bersambung....

No comments: