Monday, May 14

Tolonglah Tahan Marah

Intro

Pernah satu hari dahulu, rasa gembira sangat-sangat. Waktu mendongak ke langit, terasa langit seolah-olah tersenyum. Waktu berjalan, terasa angin menyapa mesra. Waktu melompat, terasa satu dunia melompat bersama.

Pernah juga satu ketika, rasa marah meluap-luap. Dalam badan panas, luar badan panas, tengok orang lain mata jadi panas, kalau bercakap pula, rasa api yang keluar daripada mulut. Kalau melangkah, rumput yang dipijak terus mati. Semua benda rasa tak kena.

Isi

Menurut kata hukama', lebih baik sebuah kapal dipermainkan gelombang hingga kehilangan pedomannya dari seorang pemarah. Sebab walaupun kapal itu telah rosak, orang melihat masih sayang dan pilu hati. Tetapi, orang yang marah, bertambah ditolong bertambah berang, bertambah dicegah bertambah garang, hingga orang jemu memandangnya. Ruginya kalau kita sentiasa marah. Orang yang melihat kita sentiasa jemu dengan kita. Tak kurang juga yang sakit hati. Tapi, mungkin ada juga yang kasihan dan cuba meredakan kemarahan kita. Siapa tahu?

Imam Ghazali pernah berkata, kemarahan manusia bermacam-macam. Setengahnya lekas marah, lekas tenang dan lekas hilang. Setengahnya lambat marah, lambat pula redanya. Setengahnya lambat akan marahnya dan lekas pula hilangnya. Yang akhir inilah yang terpuji.

Marah memang dicipta ada dalam diri manusia. Mesti ada keperluan dan kepentingannya. Allah tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia. Rasulallah juga pernah marah. Sahabat-sahabat baginda juga pernah marah. Mereka marah apabila sesuatu yang mereka sayangi tercalar maruahnya. Mereka sayang Islam dan saudara dakwah mereka. Mereka pertahankan mereka.

Tidak salah untuk marah, tapi cuba redakan kemarahan itu selepas selesai urusan kita dengannya. Kalau rasa marah, duduk. Kalau tidak tenang juga, berbaringlah. Ambil wudu' juga dapat meredakan kemarahan.

Kesimpulan

1. Marah itu ada dalam diri manusia. Kalau kena pada tempatnya, kesannya mujarab.
2. Sabarlah bila berhadapan dengan orang marah.

Moga diberi kekuatan untuk menahan marah. Amin

2 comments:

ihsan_huhu said...

marah .. bes pe...

hoho

Hikbal Ujir said...

salam
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w.“ Berwasiatlah kepadaku, “Lalu Nabi s.a.w menjawab: “Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.” Orang itu mengulangi permintaan beberapa kali, Nabi s.a.w menjawab:“Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.”

Riwayat al-Bukhari

marah membuat kita tidak rasional dan bertindak mengikut nafsu, bacalah "'auzubillah himinasyatan nirajim"...sesungguhnya ia membantu dlm menghentikan gelojak amarah...=)