Monday, December 29

Why so serious, son?

Minggu lepas saya menonton satu dokumentari dalam Discovery Channel berkenaan seorang sami yang bertapa selama beberapa bulan. Dalam tempoh pertapaan itu, sami tersebut atau nama singkatannya, Ram, tidak makan dan tidak minum.

Kru Discovery Channel telah datang penyiasat secara saintifik dan cuba membuat kesimpulan; adakah boleh Ram bertapa dalam keadaan berpuasa selama beberapa bulan ataupun semua itu satu penipuan sahaja?

Dalam paparan itu, kru tersebut telah pergi ke kuil di Tibet untuk menyiasat satu aliran amalan yoga. Pengamal amalan yoga jenis ini dapat hidup tanpa makan dan minum selama beberapa bulan. Pengamalnya juga dapat bertahan pada suhu yang sangat sejuk dengan pakaian yang nipis.

Telah terbukti secara saintifik, dengan bermeditasi, kadar pernafasan dapat diturunkan dan seterusnya metabolisma badan dapat dikurangkan. Tapi, boleh ke hidup kalau tak makan & minum sampai 5-6 bulan?

Dalam dokumentari itu juga, dipaparkan seorang sami dari India yang berpuasa sejak umur 12 tahun sampai sekarang. Umur dia sekarang bukan 12 tahun 3 jam. Perhatian, umur dia sekarang ialah 80 tahun!

Puasa sami ni bukan puasa yang boleh minum susu atau boleh makan sayur mayur ( or sayur-sayuran). Tak setitikpun air atau sezarahpun makanan yang masuk dalam badan dia (ini berdasarkan claim dia).

Sami dari India ini dipanggil ke hospital untuk dikaji selama sepuluh hari. Dia ditempatkan dalam bilik khas dan berbagai-bagai sensor dimasukkan dalam tubuh dia. Pegawai yang memerhati keadaan pundi kencing dia melaporkan pada suatu ketika air kelihatan berkumpul di tempat tersebut kemudian air itu diserap kembali ke dalam badan dia.

Ketika ditanya, dari mana dia mendapat tenaga, sami itu menjawab,

"Saya mendapat tenaga daripada matahari. Dengan melihat matahari, saya mendapat tenaga."

Mantap! Sami ni boleh ber'fotosintesis'.

From engineering point of view, boleh saya katakan pak cik sami ni memang '100 % efficient' & 'environmental friendly'. :)

Beberapa orang yang menonton bersama saya memberi komen, ini mungkin ada campur tangan jin atau makhluk halus. Mungkin juga.

Tapi, kru daripada Discovery Channel tu tak puas hati juga. Dia masih ragu-ragu.

Akhirnya, saya tertarik (bersetuju) dengan komen yang diberi oleh abang Ram di akhir dokumentari tu. Dia berkata,

"Sains masih belum cukup maju untuk menjelaskan apa yang terjadi."

Memang betul sains - kajian berdasarkan pemerhatian, belum sampai ke taraf yang dapat menjelaskan perkara yang pelik begini. Sudah tentu juga, sains tak dapat nak jelaskan perkara ghaib sepenuhnya. Betul tak?

Thursday, November 27

Tentang Peperiksaan

"Mintak-mintak soalan yang keluar kali ni senang sikit," kata seorang kawan, ketika kami sedang berbual-bual.

"Daripada doa minta soalan senang, baik kau doa ditambahkan ilmu dan ditenangkan hati nak jawab soalan," balas seorang kawan lain.

"Betul juga... Tapi, apa kata kita doa dua-dua. Soalan senang pun doa jugak, diberi ilmu dan ketenangan, pun doa juga," cadang seorang kawan yang lain.

Semua pun betul. Tapi, kita mahu yang terbaik? Bukan?

Sunday, November 23

Hamba-Hamba Allah

Hidup di dunia 
Hanya sebentar saja
Bila duka bila tawa
Semoga hati kembali pada-Nya

Waktu yang berlari
Takkan pernah bisa kembali lagi
Bila perih bila sedih
Airmata bukan segalanya

Hanya hamba Allah yang selalu berserah
Hanya hamba allah yang selalu berpasrah
Kerna segalanya bergantung pada-Nya
Hanya pada dia semua bermuara

Detik waktu kan berlalu
Suka duka kan berlalu
Tiada semua abadi
Tangis tawa airmata
Semua kan berlalu dan pergi

Hanya pada Allah hati kan berserah
Hanya pada Allah jiwa kan berpasrah
Kerna segalanya bergantung pada-Nya
Hanya pada dia semua bermuara

Artis: Opick
Album: Cahaya Hati

Tuesday, October 14

Mari Terbang Bersama Burung


Dr. Maziar Arjomandi berkata,

(terjemahan)

"... lebah tak boleh terbang. Berdasarkan pengetahuan terkini tentang teori penerbangan, aerodinamik, dan sebagainya, kita masih tidak boleh menjelaskan mekanisma penerbangan seekor lebah..."

"...lebah memerlukan tiga kali ganda daya yang mampu untuk dihasilkannya untuk terbang. Dengan kata lain, lebah boleh menghasilkan satu unit daya, sedangkan lebah perlukan 3 unit daya untuk terbang..."

"...begitu juga dengan burung. Saintis boleh menjelaskan, walaupun secara tidak lengkap, bagaimana burung yang besar boleh terbang. Tapi, untuk burung-burung yang kecil, saintis masih tertanya-tanya, bagaimana alam membolehkan perkara ini terjadi..."

(Dr. Maziar adalah pensyarah 'Aeronautical Engineering', salah satu subjek yang ditawarkan dalam Pengajian Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Adelaide)

Subhanallah! Masih gagalkah manusia yang Allah Taala berikan akal kepada mereka untuk menyedari kehebatan-Nya.

Telah Allah jelaskan di dalam al-Quran, melaui Rasulallah s.a.w. yang kita cintai;

"Tidakkah mereka memerhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayap di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) melainkan selain yang Maha Pengasih. Sungguh, Dia Maha Melihat tiap-tiap sesuatu." (Al-Mulk 67:19)

Sahabat-sahabat pembaca sekalian, lihatlah. Inilah bukti wujudnya Allah Taala. Inilah kebijaksanaan Allah yang tidak ada tolok bandingnya. Sahutlah seruan Allah untuk melihat alam dan mencari kesan/bukti kekuasaan Allah Taala.

Sebenarnya, terlalu banyak kesan-kesan kekuasaan Allah yang Allah tunjukkan kepada kita. Bagi mereka yang mempelajari subjek-subjek kejuruteraan, perubatan, bioteknologi, geologi, dan segala macam cabang pengetahuan sains, mestilah sungguh-sungguh mencari Allah dalam apa-apa yang dipelajarinya. Jangan kita sia-siakan pemerhatian kita kepada alam. Seharusnya, apabila kita melihat alam, kita 'melihat' Allah Taala.

Tak perlulah sampai kita nampak lebah terbang dalam formasi 'Allah', atau dahan-dahan pokok tumbuh dalam bentuk 'Muhammad', atau lebah buat sarang dalam bentuk 'Allah', barulah kita nak nampak kebesaran Allah.

"Ya Allah, jadikanlah kami orang yang peka dengan kekuasaan-Mu, jadikan bukti kekuasaan-Mu yang terlihat dalam makhluk ciptaan-Mu, penguat keimanan kami. Ya Allah yang maha pemberi hidayah, berikan hidayah kepada kami agar kami sentiasa mengingati-Mu dan beramal soleh kepada-Mu. Ya Allah kami berterima kasih kepada-Mu atas petunjuk yang kau berikan kepada kami. Amin."




Monday, July 21

Manusia Berjiwa Kambing

Saya pernah berbincang dengan seorang kawan tentang mengembala kambing. Saya ingin mencari hikmah yang dapat dipelajari melalui profession ini. Rasulallah s.a.w. juga mengembala kambing.

Maka, si dia pun berceritalah...

"Kambing ni susah nak jaga. Kalau aku boleh bela anjing, aku dah bela dah. Senang sikit kerja aku..."

"Perkara yang paling susah tentang kambing ni ialah nak bawa 'diorang' pergi ke tempat makanan..."

"Kita kena jaga kambing yang mula-mula berjalan. Kalau yang mula-mula berjalan tu 'terpesong', habislah... Yang mengekor di belakang pun akan terpesong juga..."

"Kalau dah terpesong, kita kena carik 'leader' baru di kalangan kambing. Kita sekat kambing yang di tengah kumpulan dan jadikan dia 'leader' yang baru. Pimpin 'leader' baru ni ke tempat yang betul..."

Jadi, apa yang dapat kita pelajari, ye?

Wednesday, May 21

Keikhlasan dalam 'Empathy'

'Empathy'= understanding and entering into another's feelings.

Semalam, saya berjalan melalui depan Elder Hall, The University of Adelaide dalam keadaan terhincut-hincut. Kaki saya tercedera sewaktu bermain bola pada hari Ahad. Cedera itu taklah serius, tapi melayakkan penanggungnya untuk menggunakan tempat meletak kenderaan, tempat duduk dan tandas bertanda 'Disabled'!

Tapi, bukan kecederaan itu isu yang utama.

Sedang saya berjalan, seorang mahasiswa berjalan berhampiran saya. Dia bertongkat. Kaki kanannya bersalut simen. Ketika kami bertentang mata, kami tersenyum serentak. Kemudian, dia mengucapkan 'Good day'.

Dalam senyuman yang dia lontarkan, saya dapat rasakan keikhlasan. Saya dapat rasakan 'empathy'. Saya dapat rasa, kemurnian senyuman daripada orang yang memahami kesukaran, keperitan, dan perasaan kita.

Kehangatan berkali ganda dapat saya rasa daripada seorang ibu, ibu mertua, isteri, ayah, adik-beradik, murabbi dan rakan seperjuangan.

Empathy atau empati ialah memahami dan 'merasai' perasaan orang lain. Sifat ini berbeza dengan simpati. Simpati menurut pemahaman saya ialah kebersamaan perasaan. Contohnya, kalau kita sedih ketika pasangan kita sedih. Kita rasa susah melihat orang miskin susah.

Simpati menyebabkan kita menangis ketika orang lain menangis dan murung ketika orang lain murung. Kita tertekan atas tekanan yang menimpa orang lain.

Simpati dan empati dapat mendorong kebaikan. Jika kita simpati kita akan tergerak hati untuk membantu. Jika kita empati begitu juga. Tapi, pihak yang disimpati atau diempati dapat merasakan perbezaan keduanya.

Menurut pengalaman saya, yang pernah merasai simpati dan empati orang lain, kehangatan yang dirasai daripada simpati kurang daripada yang dirasai daripada empati. Susah untuk saya jelaskan, tapi saya dapat rasa perbezaannya.

Kepada para pendakwah, sifat empati itu penting. Penting untuk memahami dan merasai perasaan mad'u. Mad'u selalu merujuk, meminta pandangan, mengajukan persoalan, dan berkongsi masalah. Jika sifat empati itu tiada atau lemah, maka pandangan yang diberi penuh dengan dalil yang sahih dan pelbagai tapi kurang sesuai untuk individu tersebut. Bukan kerana pendakwah kurang ilmu, tetapi pendakwah kurang memahami dan merasai hati mad'u.

Jika mad'u difahami dan dirasai keperitannya, bukan sahaja masalahnya akan selesai, tambahan pula dia akan rasa kemanisan ditarbiah itu. Ukhwah antara muslim subur mesra.

Suburkan sifat 'empathy'. Sifat itu menyebabkan orang mengasihi kita. Tambahkan dengan keikhlasan. Biar berbunga-bunga, orang yang merasainya.

Moga diberi kekuatan oleh Allah.

Wallahu a'lam.

Tuesday, May 13

Dalam Hitam Ada Putih

Ya Allah...
Jadikanlah aku miskin,
Miskin dosa dan perkara syubhah...

Jadikan aku orang yang hasad,
Hasad pada ilmu dan kekayaan orang yang soleh,
Yang menjadikan aku penuntut ilmu dan orang yang berusaha gigih...

Jadikanlah aku orang yang sentiasa lapar dan haus,
Laparkan pahala dan hauskan perkara-perkara sunat...

Ya Allah aku memohon padaMu,
Kerana kelemahanku dan ketidakupayaanku...

Jadikan aku orang yang jauh,
Jauh dari godaan dunia, nafsu dan syaitan...

Jadikan aku orang yang rendah,
Yang rendah diri di hadapan orang yang miskin,
Yang rendah hati di hadapan anak-anak yatim...

Ya Allah Tuhan yang Maha Suci dari segala yang orang jahil sifatkan,
Jadikan aku orang yang tenggelam,
Tenggelam dalam kekhusyukan solat,
Dan tenggelam dalam keasyikan sembahyang malam...

Ya Allah aku memohon,
Kerana kelemahanku dan ketidakupayaanku....

Friday, May 9

Aku Cintakan Kau [Bahagian 2]

Daripada Abu Hamzah Anas bin Malik, khadam Rasulallah s.a.w., daripada Nabi s.a.w., baginda berkata, " Tidak beriman di kalangan kamu sehingga dia mencintai saudaranya apa-apa yang dicintainya untuk dirinya sendiri." (Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim).

Potongan "...dia mencintai saudaranya apa-apa yang dicintainya untuk dirinya sendiri."

Ini adalah syarat yang Rasulallah s.a.w. tetapkan untuk mendapat iman yang sebenar. Dalam hadis lain, Rasulallah s.a.w. menjelaskan, salah satu kunci untuk memasuki syurga ialah memenuhi syarat ini.

"Barangsiapa yang suka untuk diselamatkan daripada neraka dan memasuki syurga hendaklah mati dengan iman kepada Allah dan Hari Kiamat dan hendaklah mendatangi (melayan) orang lain dengan cara yang dia mahu untuk dilayan." (Riwayat Muslim)

Satu kisah daripada Ihya Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali mungkin dapat membantu kita memahami hadis di atas dengan lebih baik.

Seorang lelaki lelaki berkata tentang rumahnya yang dihuni oleh tikus-tikus. Dia disuruh untuk membela kucing. Lelaki tersebut menjawab, "Aku risau kalau tikus-tikus itu lari ke rumah yang berhampiran dengan rumahku jika mendengar kucing itu mengiau. Apa-apa yang aku tidak suka untuk diriku, juga tidak aku sukai untuk jiran-jiranku."

Ini menunjukkan sikap seorang yang beriman terhadap satu sama lain. Mereka bukan sahaja mahukan kebaikan kepada diri sendiri, tapi mereka juga mahukan kebaikan untuk orang lain. Sebaliknya, jika saudara semuslim merasa sakit mereka juga merasakan sakitnya.

Apakah perkara yang perlu dicintai untuk saudara semuslim yang lain?

Sesetengah orang menyintai perkara-perkara yang tidak bertepatan dengan syariat. Jadi, adakah dia boleh membantu saudaranya dalam perkara tersebut. Untuk menjawab persoalan ini, hadis daripada Musnad Ahmad mungkin membantu.

"Dengan nama Allah yang nyawaku ditanganNya, seorang hamba tidak akan beriman sehingga dia menyintai sesuatu untuk saudaranya perkara yang dia cintakan untuk dirinya dalam hal kebaikan."

Dalam komentari al-Albani tentang 'dalam hal kebaikan', dia menulis:

'dalam hal kebaikan' adalah frasa yang penting kerana frasa ini menerangkan maksud sebenar hadis ini. Ini kerana perkataan 'kebaikan' mencakupi perkara berkaitan ketaatan, perkara yang dibernarkan syarak dan mengecualikan perkara yang bertentangan dengan syarak. Dengan itu, kesempurnaan peribadi muslim menyebabkan dia menyukai perkara yang baik untuk saudaranya. Pada masa yang sama, dia juga membenci perkara yang buruk sebagaimana dia sendiri membencinya.'

Wallahu A'lam.

Moga diberi kekuatan. InsyaAllah.

Rujukan:

Commentary on the Forty Hadith of Al-Nawawi by Jamaal al-Din M. Zarabozo

Wednesday, May 7

Hanya PadaMu

Penasyid: Mohd Suhaimi El-Fardie

Allahu Allah ampunilah kami
Pimpinlah kami ke jalan yang Engkau redhai
Hamba yang lemah dengan dunia
Kurniakanlah taufiq hidayah menghadapinya

Hanya pada-Mu kami serahkan
Tiap sesuatu Tuhan kuasa menentukan
Dengan ucapan Alhamdulillah
Kami bersyukur kerana beriman
Kehidupan ini penuh ujian
Nikmat dunia yang mengasyikkan melalaikan
Selamatkanlah agama kami
Peliharalah amalan kami iman kami
Dari duniawi
Allahu Allah

***************************************************************************

Sesungguhnya, manusia memang tidak lari daripada kesilapan. Janganlah putus daripada memohon taubat daripada Allah Taala, memberi maaf kepada yang lain tanpa meminta tebusan, dan meminta maaf daripada yang lain, tanpa mengambil ringan kesilapan yang kita lakukan.

Seterusnya, marilah kita memohon kepada Allah Taala agar kita dipimpin ke jalan yang Dia redhai. Sebagai makhluk, kita tidak tahu, apa-apa yang terbaik untuk kita. Kita hanya wajib membuat keputusan hidup berdasarkan petunjuk daripadaNya (Al-Quran dan As-Sunah). Namun, ingatlah perkara yang kita rasa baik untuk diri kita, tidak semestinya baik untuk kita dan perkara yang buruk pada pandangan kita, mungkin pula baik untuk kita.

Lagi, ingatlah dunia ini adalah salah satu daripada musuh-musuh yang perlu kita hadapi dalam mendekatkan diri kepada Allah. Oleh itu, mohonlah bantuan daripada Allah untuk menghadapi musuh ini. Kekuatan hanya datang daripada Allah. Kemenangan hanya datang daripada Allah, bukan daripada kerasnya usaha kita, banyaknya doa kita atau bersihnya tawakal kita. Usaha, doa, dan tawakal kita lakukan kerana itu ibadah kepada Allah.

Yang paling penting, hendaklah kita bersyukur dilahirkan dalam keluarga yang muslim. Itulah nikmat terbesar untuk kita. Dengan nikmat itu, kita dididik dengan Islam. Kita membesar dengan mengenal Islam dahulu daripada agama-agama dan cara hidup yang lain. Sebagai tanda menghargai nikmat itu, kita sebarkan agama ini kepada semua orang. Mulakan daripada yang kita mampu untuk capai. Bagi yang sudah berkeluarga, sedaya upaya usahakan agar anak-anak dapat menghayati Islam lebih daripada apa-apa yang pernah kita rasai dahulu.

Ringkasnya, sentiasalah bertaubat dan sentiasalah memohon perlindungan Allah daripada dunia yang sentiasa melalaikan kita daripada akhirat. Marilah berusaha agar semua orang dapat menikmati iman dan Islam.

Moga diberi kekuatan. InsyaAllah.

Sunday, March 23

Aku Cintakan Kau [Bahagian 1]


Daripada Abu Hamzah Anas bin Malik, khadam Rasulallah s.a.w., daripada Nabi s.a.w., baginda berkata, " Tidak beriman di kalangan kamu sehingga dia mencintai saudaranya apa-apa yang dicintainya untuk dirinya sendiri." (Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim).



Hadis ini adalah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim. Hadis ini menunjukkan kaitan akhlak dengan iman serta memberi garis panduan kasar bagaimana cara mencintai orang lain.

Tentang Anas bin Malik

Anas bin Malik lahir 10 tahun sebelum Hijrah dan memeluk Islam ketika masih muda. Ibunya membawanya kepada Rasulallah s.a.w. supaya dapat dijadikan budak suruhan oleh baginda.

Rasulallah s.a.w. mendoakan Anas bin Malik supaya dirahmati, diberi kekayaan, umur yang panjang, anak-anak yang ramai dan dimasukkan ke syurga. Berkat doa Rasulallah s.a.w. Anas bin Malik meninggal dunia ketika berumur 100 tahun dan mempunyai 300 anak dan cucu ketika dia meninggal dunia.

Potongan pertama daripada hadis: "Tidak beriman di kalangan kamu sehingga..."

Untuk menerangkan potongan hadis ini, satu lagi hadis sahih daripada Musnad Ahmad diperlukan.

"Tidak sampai kesempurnaan iman sehingga seseorang itu menyintai manusia apa-apa yang dia cintakan untuk dirinya dalam perkara kebaikan."

Dengan kata lain, maksud yang cuba disampaikan dalam potongan hadis itu ialah tidak sempurna keimanan jika tidak mencintai saudara, bukannya gugur iman atau tidak beriman.

Seperkara lagi, iman manusia ini terdedah kepada naik dan turun. Ada ketikanya, iman itu di tahap paling tinggi sekali. Puasa sunat rajin, solat sunat rajin. Amar ma'ruf nahi mungkar tak pernah tinggal. Tapi, ada juga ketikanya, malas-malas, banyak berehat, meninggalkan amalan-amalan sunat, dan sebagainya.

Ibn Rajab dalam kitabnya Jamii Al-Ulum wa Al-Hikam, menyatakan bahawa Abu Darda dan Abdullah ibn Rawahah menyatakan, "Iman itu ibarat pakaian. Kadangkala seseorang itu memakainya dan kadangkala seseorang itu menanggalkannya.

Dengan kata lain, adanya iman itu mempunyai peringkat-peringkatnya, dan iman itu kadangkala boleh tercabut juga dan boleh kembali.

Seterusnya, hendaklah difahami bahawa, tidak semestinya iman itu telah sempurna dengan hanya menuruti tuntutan menyintai saudara seislam. Tuntutan-tuntutan lain mestilah dipenuhi juga. Contoh mudah, seseorang yang baik terhadap saudara seislam, tetapi tidak meyakini bahawa wujudnya hari kiamat, maka bukan sahaja tidak sempurna imannya, malah tertolak secara total.

Analogi yang dibawa oleh al-Mudaabaghi sangat-sangat membantu dalam memahami hal ini. Dia berkata, "Tidak ada sembahyang tanpa bersuci (taharah). Tetapi, sembahyang lebih daripada bersuci sahaja. Dengan kata lain, iman adalah lebih daripada sekadar mencintai saudara apa-apa yang dicintai oleh diri sendiri. "

Bersambung....

Sunday, March 9

Ukhwah Sejati

Terimalah, daripada Al-Falah, Adelaide, untuk anda.

Wednesday, January 9

Hidup bersama Ceri-Ceri

2 bulan belakangan ini dihabiskan bersama dengan ceri-ceri. Maksud saya, bekerja di kilang ceri. Waktu rehat, lihat pemandangan bukit-bukit, minum kopi susu, dah hirup udara segar. Sekali-sekala berborak juga dengan kawan-kawan sekerja yang kebanyakannya berumur 45 tahun ke atas.

Macam-macam cerita yang mereka bualkan. Cerita yang paling hangat sekali sudah pasti bukan gosip-gosip artis atau cerita-cerita politik tanah air (Australia). Biasanya mereka akan bercerita tentang haiwan peliharaan, perkara yang mereka lakukan untuk mengisi masa lapang dan biasanya yang tua akan bercerita kepada yang muda tentang kahwin, dan keseronokan melihat anak-anak membesar, walaupun anak-anak biasanya memang memeningkan kepala. Tapi, yang menyejukkan hati lebih banyak daripada yang memeningkan kepala.

Satu kisah yang saya nak kongsi ialah hidup kawan sekerja saya, Brian yang berumur lebih kurang 50 tahun rasanya. Saya selalu berborak dengan dia. Pada waktu rehat, dan sedang-sedang bekerja.

Perkara yang mengejutkan saya ialah dia belum berkahwin dan tak nak berkahwin. Dia berkata, abangnya juga begitu. "Happy to be single". Saya pun bertanya, apa yang dia lakukan untuk mengisi kekosongan dalam hidup dia. Dia kata, dia main gitar, main komputer, dan kalau ada masa dan duit lebih dia akan melancong.

Brian juga ada memberitahu, ramai kawan-kawan dia yang sudah berkahwin tapi bercerai. Menyedihkan, katanya. Tapi, dia tak lalui kesedihan itu.

Kadar penceraian memang tinggi di negara-negara barat. Di U.S. misalnya, kadar penceraian adalah 50 peratus. Jadi, kalau berkahwin, ada kebarangkalian nak berpisah sama dengan kebarangkalian nak kekal bersama, hingga akhir hayat.

Lagi, selepas bercerai, mesti ada rasa nak kahwin balik. Ada yang berharap, perkahwinan kedua akan lebih bahagia sebab pengalaman mengajar kita menjadi lebih matang. Tapi, di U.S. kadar penceraian untuk perkahwinan kedua ialah 60 peratus, dan perkahwinan kali ketiga ialah 70 peratus. Pelik juga. Kata-kata hikmat, "Belajar daripada pengalaman", tak berkesan dalam kes kahwin ni.

Mungkin entri kali ni nampak macam melalut sikit. Mula-mula cerita tentang kerja. Pastu tentang Brian yang tak kahwin. Akhirnya, cerita tentang penceraian pulak.

Entahlah, dah lama tak menulis. Pedang kalau dibiarkan dalam sarung, berkarat juga. Mungkin ambil masa nak tajam balik.

Ambillah pengajaran yang mana boleh ambil. Tapi, jangan jadikan Brian tu sebagai contoh pulak. Muslim kena kahwin. Kena ada Azam nak kahwin.

Sampai sini dulu. Salam.