Saya suka ajak kawan-kawan berjalan. Pada awal perjalanan, saya tidak ditanya oleh kawan-kawan tentang destinasi. Mungkin kerana kepercayaan yang saya bina dalam diri mereka melalui bantuan-bantuan yang saya berikan ketika kami berkenalan dahulu.
Semakin lama berjalan, ada daripada kalangan kawan-kawan yang sudah dapat meneka dengan tepat destinasinya dan memberi komitmen supaya perjalanan ini berjaya. Ada juga yang dapat meneka destinasi perjalanan, tapi tidak mahu meneruskan pengembaraan kerana semakin tinggi komitmen yang dikehendaki daripada mereka.
Semakin lama berjalan juga, tahulah mereka bahawa bukan mereka saja yang menuju destinasi ini bersama saya. Malahan, ada juga orang lain yang menuju destinasi itu dengan cara yang berbeza. Maka, ada yang tidak ambil kisah dan terus bersama saya. Ada juga yang bertanya-tanya, kenapa ada banyak cara sedangkan destinasinya ialah sama? Mereka mula mencari maklumat tentang cara lain.
Sudahnya, terpecahlah kelompok ini kepada tiga: yang terus berjalan bersama saya, yang berhenti berjalan bersama saya tapi berjalan bersama orang lain, dan yang berhenti terus.
Destinasi dan Cara untuk ke Sana
Destinasi tiap-tiap golongan itu bukanlah satu perkara yang hendak diperselisihkan. Semua golongan tahu destinasi mereka ialah sama. Yang penting, apabila destinasi sudah ditetapkan maka satu bahagian daripada agama telah dipenuhi.
Seterusnya, setelah destinasi telah ditetapkan, maka perbincangan tertumpu kepada method perjalanan. Timbul lah persoalan paling penting; Kenapa ada banyak cara menuju ke destinasi yang sama?
Mudahnya, destinasi perjalanan telah diberitahu dengan jelas oleh Dia. Tiada perselisihan dalam hal itu. Cara menuju ke destinasi pula, ada yang diterangkan dengan jelas dan ada yang dijelaskan dengan umum. Maka, akibat penafsiran yang berbeza-beza, walaupun penafsiran tersebut tidak lari dari method-method yang dianjurkan oleh Rasulallah s.a.w., maka muncul lah perjalanan yang berbagai-bagai.
Kesudahan bagi 3 Golongan
Yang berjalan dengan saya akan terus berjalan. Pada masa yang sama, ingatlah bahawa method saya itu datangnya daripada manusia juga, maka kesilapan adalah sesuatu yang mungkin. Anda tidak dilarang untuk mencari maklumat tentang cara orang lain mengembara. Dengan maklumat itu, mungkin saja anda akan lebih yakin dengan perjalanan ini atau mungkin saja anda akan menyertai kelompok seterusnya.
Yang berjalan bersama orang lain, anda dialu-alukan untuk berbuat demikian. Islam meraikan akal dan menyuruh manusia menggunakannya. Jika itu jalan yang terbaik pada fikiran anda, maka teruskan! Tapi, walaupun anda berbeza dengan kelompok perjalanan saya, apabila bertemu kesukaran di pertengahan jalan saya tidak akan segan silu untuk membantu. Kalau tak ada kesukaran sekali pun, saya akan membantu. Harap-harap, anda juga begitu.
Yang berhenti terus, itu juga adalah hasil penilaian akal anda sendiri, bukan? Itu keputusan yang anda buat. Saya tiada hak untuk mengubahnya. Allah juga tidak akan mengubah sesuatu kaum melainkan kaum itu mahu mengubah dirinya. Cuma, kalau anda mahu melarang orang lain berjalan bersama-sama kami, fikirkanlah akibatnya. Pesan Rasulallah s.a.w., "Barangsiapa memulakan kebaikan, baginya pahala dan pahala orang yang melakukan kebaikan itu, sehingga hari kiamat. Barangsiapa yang memulakan keburukan, baginya dosa dan dosa orang yang melakukan keburukan itu, sehingga hari kiamat." Jika melarang orang berjalan bersama-sama kami itu kebaikan, maka untunglah yang melarangnya kerana pahala yang diterima tidak putus-putus hingga hari kiamat!
No comments:
Post a Comment