Satu hari Jimi berborak-borak dengan kawannya, Kazama. Kazama kata dia ternampak sebuah kerusi ketika berjalan-jalan di Rundle Mall.
"Kerusi ni ada 3 ciri-ciri," kata Kazama penuh semangat.
"Yang pertama kakinya 4. Kemudian, warnanya hitam. Lagi satu, dia ada tempat bersandar," terang Kazama.
"Oh, kaki 4, warna hitam dan ada tempat bersandar," angguk Jimi.
Kemudian, pada hari yang lain, Jimi berjalan-jalan. Ketika itu, Jimi ternampak dengan satu benda.
"4 kaki, warna hitam dan ada tempat bersandar," katanya dalam hati.
"Sah ini kerusi!"
Lalu, dia pun memanggil Kazama. Apabila Kazama sampai di tempat itu dia bertanya kepada Jimi, "Mana kerusinya?"
"Itu! Kakinya 4, warnanya hitam dan kau tengok, aku boleh sandar pulak kat dia!"
Kazama menepuk dahi seraya berkata, "Ini bukan kerusi. Ini kuda. Kuda hitam!"
Saya terfikir kisah ini ketika ada orang bertanya tentang ciri-ciri kemunafikan. Berdasarkan hadis Rasulallah s.a.w., ciri-ciri orang munafik ada 3. Ada hadis lain kata 4:
1. Berbohong apabila bercakap.
2. Mungkir janji.
3. Mengkhianati amanah.
4. Melampau batas dalam berdebat.
Lalu, saya tanya dia semula. Kalau jumpa orang yang ada ciri-ciri ni, dia munafik tak?
Kawan itu jawab. Mestilah!
Lalu saya terangkan semula. Mereka yang ada semua ciri-ciri ini, tak semestinya tergolong dalam golongan munafik. Orang yang munafik berpura-pura terima Islam. Tapi, dalam hati mereka ingkar dan berniat jahat pula terhadap Islam. Orang munafik tak masuk syurga.
Ada juga orang Islam yang kerana kelemahannya dalam mengamalkan Islam menyebabkan dia berbohong, memungkiri janji, khianat dan juga melampaui batas dalam berdebat. Tapi, dalam hatinya tidak menyengutukan Allah dan tidak pula berniat jahat terhadap Islam dan ulama. Mereka ini masuk syurga andainya mereka ini bertaubat. Kalau tak taubat, disiksa berdasarkan dosa mereka dan akhirnya masuk syurga.
Sudahnya, kemunafikan itu hal hati. Munafik itu pura-pura dari segi akidah. Yang berpura-pura dari segi tindakan itu cuma hipokrit.
Akhir kata, ciri-ciri yang diberi itu hanya panduan. Macam dalam kisah Jimi dan Kazama tadi, yang ada ciri-ciri kerusi pun tak semestinya kerusi, inikan pula manusia yang lebih kompleks daripada itu!
1 comment:
kalau 4 kaki, xdek tpt sandar n kaler emas kat rundle mall tuh konfem aku tau ape..
unless ade org letak stool emas kat2 area tuh
ps: yes aku xmunafik wahahahaha!
Post a Comment