Thursday, June 11

Kebebasan yang Terbatas

Pernah juga berbincang dengan seorang sahabat tentang Islam itu ialah kebebasan dalam batasan.

Secara peribadi, saya faham benar maksud kenyataan itu. Kenyataan itu tak bertujuan hendak meletakkan Islam ini sebagai agama yang mengongkong. Ia bermaksud, Islam meletakkan batasan supaya manusia terselamat daripada kerosakan akibat terlalu bebas; bebas bergaul, bebas berekonomi, atau bebas mempercayai perkara-perkara tahyul.

Sedang berbincang-bincang, terfikir pula kami tentang Islam itu ialah KEBEBASAN. Noktah. Tiada frasa-frasa pelengkap yang menyambungnya.

Menurut Said Naquib Al-Attas, kebebasan ialah tiada halangan untuk melakukan perkara yang dibenarkan. Tafsiran itu dekat dengan konsep adil yang ditekankan dalam Islam. Adil ialah meletakkan sesuatu kena pada tempat, masa dan keadaannya. Sebagai contoh, mengikut syarak, ayah boleh rotan anak yang berumur 10 yang tidak mahu bersolat. Maka perbuatan melibas anak dengan rotan itu janganlah dilihat zalim (lawan kepada adil).

Kebebasan Islam itu nampak apabila sahabat Rasulallah s.a.w. faham yang Islam itu membebaskan mereka daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat. Dengan kata lain, sebelum kedatangan Islam, mereka dibatasi dengan kepercayaan karut, cara hidup yang tidak beradab, layanan yang zalim terhadap wanita, sistem ekonomi yang menipu, rasuah, riba' dan seribu macam lagi batasan.

Kerosakan-kerosakan tersebut ibarat penjara dan hadirnya Islam membuka pintu penjara tersebut dan memperlihatkan manusia kepada banyaknya cara untuk hidup dalam alam ini dengan tidak memudaratkan diri sendiri.

Daripada keterbatasan mendedahkan aurat, pakai ketat-ketat bagi yang perempuan, yang lelaki pula pakai singkat-singkat sampai nampak peha, Islam menyediakan kebebasan untuk berpakaian. Dari sudut berpakaian, jangan bataskan mentaliti kepada berpakaian itu nak tunjuk aset. Berpakaian lebih daripada itu.

Daripada sudut bekerja dan berniaga, janganlah bataskan falsafah perniagaan itu kepada meraih keuntungan semata-mata (kapitalisme). Luaskan pekerjaan dan perniagaan itu sebagai salah satu cara menolong orang yang susah, menyara keluarga, atau infak kepada jemaah Islam.

Justeru, anda boleh sahaja melihat Islam itu sebagai batas. Cuma, saya lebih suka melihat Islam itu sebagai kebebasan. Bebas melakukan apa-apa sahaja untuk mencari keredhaan Allah.

No comments: