Wednesday, May 21
Keikhlasan dalam 'Empathy'
Semalam, saya berjalan melalui depan Elder Hall, The University of Adelaide dalam keadaan terhincut-hincut. Kaki saya tercedera sewaktu bermain bola pada hari Ahad. Cedera itu taklah serius, tapi melayakkan penanggungnya untuk menggunakan tempat meletak kenderaan, tempat duduk dan tandas bertanda 'Disabled'!
Tapi, bukan kecederaan itu isu yang utama.
Sedang saya berjalan, seorang mahasiswa berjalan berhampiran saya. Dia bertongkat. Kaki kanannya bersalut simen. Ketika kami bertentang mata, kami tersenyum serentak. Kemudian, dia mengucapkan 'Good day'.
Dalam senyuman yang dia lontarkan, saya dapat rasakan keikhlasan. Saya dapat rasakan 'empathy'. Saya dapat rasa, kemurnian senyuman daripada orang yang memahami kesukaran, keperitan, dan perasaan kita.
Kehangatan berkali ganda dapat saya rasa daripada seorang ibu, ibu mertua, isteri, ayah, adik-beradik, murabbi dan rakan seperjuangan.
Empathy atau empati ialah memahami dan 'merasai' perasaan orang lain. Sifat ini berbeza dengan simpati. Simpati menurut pemahaman saya ialah kebersamaan perasaan. Contohnya, kalau kita sedih ketika pasangan kita sedih. Kita rasa susah melihat orang miskin susah.
Simpati menyebabkan kita menangis ketika orang lain menangis dan murung ketika orang lain murung. Kita tertekan atas tekanan yang menimpa orang lain.
Simpati dan empati dapat mendorong kebaikan. Jika kita simpati kita akan tergerak hati untuk membantu. Jika kita empati begitu juga. Tapi, pihak yang disimpati atau diempati dapat merasakan perbezaan keduanya.
Menurut pengalaman saya, yang pernah merasai simpati dan empati orang lain, kehangatan yang dirasai daripada simpati kurang daripada yang dirasai daripada empati. Susah untuk saya jelaskan, tapi saya dapat rasa perbezaannya.
Kepada para pendakwah, sifat empati itu penting. Penting untuk memahami dan merasai perasaan mad'u. Mad'u selalu merujuk, meminta pandangan, mengajukan persoalan, dan berkongsi masalah. Jika sifat empati itu tiada atau lemah, maka pandangan yang diberi penuh dengan dalil yang sahih dan pelbagai tapi kurang sesuai untuk individu tersebut. Bukan kerana pendakwah kurang ilmu, tetapi pendakwah kurang memahami dan merasai hati mad'u.
Jika mad'u difahami dan dirasai keperitannya, bukan sahaja masalahnya akan selesai, tambahan pula dia akan rasa kemanisan ditarbiah itu. Ukhwah antara muslim subur mesra.
Suburkan sifat 'empathy'. Sifat itu menyebabkan orang mengasihi kita. Tambahkan dengan keikhlasan. Biar berbunga-bunga, orang yang merasainya.
Moga diberi kekuatan oleh Allah.
Wallahu a'lam.
Tuesday, May 13
Dalam Hitam Ada Putih
Jadikanlah aku miskin,
Miskin dosa dan perkara syubhah...
Jadikan aku orang yang hasad,
Hasad pada ilmu dan kekayaan orang yang soleh,
Yang menjadikan aku penuntut ilmu dan orang yang berusaha gigih...
Jadikanlah aku orang yang sentiasa lapar dan haus,
Laparkan pahala dan hauskan perkara-perkara sunat...
Ya Allah aku memohon padaMu,
Kerana kelemahanku dan ketidakupayaanku...
Jadikan aku orang yang jauh,
Jauh dari godaan dunia, nafsu dan syaitan...
Jadikan aku orang yang rendah,
Yang rendah diri di hadapan orang yang miskin,
Yang rendah hati di hadapan anak-anak yatim...
Ya Allah Tuhan yang Maha Suci dari segala yang orang jahil sifatkan,
Jadikan aku orang yang tenggelam,
Tenggelam dalam kekhusyukan solat,
Dan tenggelam dalam keasyikan sembahyang malam...
Ya Allah aku memohon,
Kerana kelemahanku dan ketidakupayaanku....
Friday, May 9
Aku Cintakan Kau [Bahagian 2]
Potongan "...dia mencintai saudaranya apa-apa yang dicintainya untuk dirinya sendiri."
Ini adalah syarat yang Rasulallah s.a.w. tetapkan untuk mendapat iman yang sebenar. Dalam hadis lain, Rasulallah s.a.w. menjelaskan, salah satu kunci untuk memasuki syurga ialah memenuhi syarat ini.
"Barangsiapa yang suka untuk diselamatkan daripada neraka dan memasuki syurga hendaklah mati dengan iman kepada Allah dan Hari Kiamat dan hendaklah mendatangi (melayan) orang lain dengan cara yang dia mahu untuk dilayan." (Riwayat Muslim)
Satu kisah daripada Ihya Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali mungkin dapat membantu kita memahami hadis di atas dengan lebih baik.
Seorang lelaki lelaki berkata tentang rumahnya yang dihuni oleh tikus-tikus. Dia disuruh untuk membela kucing. Lelaki tersebut menjawab, "Aku risau kalau tikus-tikus itu lari ke rumah yang berhampiran dengan rumahku jika mendengar kucing itu mengiau. Apa-apa yang aku tidak suka untuk diriku, juga tidak aku sukai untuk jiran-jiranku."
Ini menunjukkan sikap seorang yang beriman terhadap satu sama lain. Mereka bukan sahaja mahukan kebaikan kepada diri sendiri, tapi mereka juga mahukan kebaikan untuk orang lain. Sebaliknya, jika saudara semuslim merasa sakit mereka juga merasakan sakitnya.
Apakah perkara yang perlu dicintai untuk saudara semuslim yang lain?
Sesetengah orang menyintai perkara-perkara yang tidak bertepatan dengan syariat. Jadi, adakah dia boleh membantu saudaranya dalam perkara tersebut. Untuk menjawab persoalan ini, hadis daripada Musnad Ahmad mungkin membantu.
"Dengan nama Allah yang nyawaku ditanganNya, seorang hamba tidak akan beriman sehingga dia menyintai sesuatu untuk saudaranya perkara yang dia cintakan untuk dirinya dalam hal kebaikan."
Dalam komentari al-Albani tentang 'dalam hal kebaikan', dia menulis:
'dalam hal kebaikan' adalah frasa yang penting kerana frasa ini menerangkan maksud sebenar hadis ini. Ini kerana perkataan 'kebaikan' mencakupi perkara berkaitan ketaatan, perkara yang dibernarkan syarak dan mengecualikan perkara yang bertentangan dengan syarak. Dengan itu, kesempurnaan peribadi muslim menyebabkan dia menyukai perkara yang baik untuk saudaranya. Pada masa yang sama, dia juga membenci perkara yang buruk sebagaimana dia sendiri membencinya.'
Wallahu A'lam.
Moga diberi kekuatan. InsyaAllah.
Rujukan:
Commentary on the Forty Hadith of Al-Nawawi by Jamaal al-Din M. Zarabozo
Wednesday, May 7
Hanya PadaMu
Allahu Allah ampunilah kami
Pimpinlah kami ke jalan yang Engkau redhai
Hamba yang lemah dengan dunia
Kurniakanlah taufiq hidayah menghadapinya
Hanya pada-Mu kami serahkan
Tiap sesuatu Tuhan kuasa menentukan
Dengan ucapan Alhamdulillah
Kami bersyukur kerana beriman
Kehidupan ini penuh ujian
Nikmat dunia yang mengasyikkan melalaikan
Selamatkanlah agama kami
Peliharalah amalan kami iman kami
Dari duniawi
Allahu Allah
***************************************************************************
Sesungguhnya, manusia memang tidak lari daripada kesilapan. Janganlah putus daripada memohon taubat daripada Allah Taala, memberi maaf kepada yang lain tanpa meminta tebusan, dan meminta maaf daripada yang lain, tanpa mengambil ringan kesilapan yang kita lakukan.
Seterusnya, marilah kita memohon kepada Allah Taala agar kita dipimpin ke jalan yang Dia redhai. Sebagai makhluk, kita tidak tahu, apa-apa yang terbaik untuk kita. Kita hanya wajib membuat keputusan hidup berdasarkan petunjuk daripadaNya (Al-Quran dan As-Sunah). Namun, ingatlah perkara yang kita rasa baik untuk diri kita, tidak semestinya baik untuk kita dan perkara yang buruk pada pandangan kita, mungkin pula baik untuk kita.
Yang paling penting, hendaklah kita bersyukur dilahirkan dalam keluarga yang muslim. Itulah nikmat terbesar untuk kita. Dengan nikmat itu, kita dididik dengan Islam. Kita membesar dengan mengenal Islam dahulu daripada agama-agama dan cara hidup yang lain. Sebagai tanda menghargai nikmat itu, kita sebarkan agama ini kepada semua orang. Mulakan daripada yang kita mampu untuk capai. Bagi yang sudah berkeluarga, sedaya upaya usahakan agar anak-anak dapat menghayati Islam lebih daripada apa-apa yang pernah kita rasai dahulu.
Ringkasnya, sentiasalah bertaubat dan sentiasalah memohon perlindungan Allah daripada dunia yang sentiasa melalaikan kita daripada akhirat. Marilah berusaha agar semua orang dapat menikmati iman dan Islam.
Moga diberi kekuatan. InsyaAllah.