Mukadimah
Sebagaimana yang kita pelajari dalam Sirah Rasulallah, umat Islam di Mekah telah disiksa teruk oleh orang-orang yang berkuasa dari kalangan orang Kafir Quraish. Maka, orang-orang Islam memikirkan cara untuk melepaskan diri daripada seksaan tersebut. Lalu, Allah menurunkan wahyu (Surah Az-Zumar; 10) kepada Rasulallah dengan isyarat membenarkan umat Islam berhijrah. Lalu Rasulallah membenarkan sebilangan umat Islam menuntut perlindungan di Habshah kerana baginda maklum, rajanya adalah raja yang adil. Maka berlakulah hijrah kali pertama.
Layanan yang baik dan hijrah kali ke-2
Umat Islam yang berlindung di Habshah mendapat layanan baik daripada Raja Najasyi. Mereka tidak diganggu dan hidup dengan aman. Ini mengundang kelompok kedua untuk ke Habshah.
Selepas hijrah ke Habshah kali ke-2 ini, pemimpin Quraish menghantar 2 orang utusan untuk memujuk Raja Najasyi agar mengarahkan orang-orang daripada Mekah untuk pulang. Alasan yang dikemukakan oleh wakil Quraish ialah; mereka telah meniggalkan agama nenek moyang mereka dan ketua mereka sedang mengajar agama baru yang berbeza daripada agama Quraish dan agama Raja Najasyi.
Raja memanggil Muslimin dan menanyakan mereka,"Apakah agama ini, yang menyebabkan kamu terpisah daripada kaummu, dan berlainan daripada agamaku dan agama yang lain-lain?"
Lalu Jaafar bin Abi Talib bangun, memberikan ucapan hormat kepada Raja dan menyambung dengan ucapan berikut.
"Wahai Raja, dahulu, kami adalah orang-orang yang jahil. Kami menyembah patung dan makan bangkai. Kami biasa mengikut hawa nafsu, memburukan ikatan kekeluargaan, mengabaikan jiran-jiran, dan yang berkuasa di kalangan kami 'menelan' yang lemah. Begitulah keadaan kami, sehinggalah Allah menghantar seorang utusan kepada kami.
Kami kenal benar keturunannya, kejujurannya, dan sifat amanahnya dan kesuciaan maruahnya. Dia mengajak kami kepada Allah, mentauhidkan Allah dan menyembah Allah. Lalu, kami meninggalkan agama nenek moyang kami. Kami meninggalkan penyembahan batu dan berhala-berhala, dan kami hanya menyembah Allah.
Dia (Rasulallah ) juga mengarahkan kami untuk jujur dalam percakapan, memenuhi janji, menyemai ikatan persaudaraan, berbuat baik kepada jiran dan menahan diri kami daripada menumpahkan darah dengan zalim (tidak mengikut syariat). Dia melarang kami berperangai menurut hawa nafsu, berkata-kata buruk, memakan harta anak yatim, dan menuduh perempuan yang suci."
Sedikit Pandangan
Hijrah ke Habshah berlaku pada tahun ke-4 kenabian, dan pada ketika ini telah jelas perbezaan antara Islam dan juga yang selain daripada Islam.
Jaafar bin Abi Talib dengan jelas menyatakan pendirian orang Islam dan perubahan-perubahan yang telah dialami oleh mereka sebelum dan sesudah mereka memeluk Islam.
Daripada menyembah banyak tuhan, berkorban untuk banyak tuhan, berdoa kepada banyak tuhan, akidah mereka dimurnikan kepada menyembah Allah yang Satu. Berdoa hanya pada Allah, mengharap hanya pada Allah. Mereka meninggalkan 'tuhan-tuhan' selain daripada Allah. Tidak boleh menyembah Allah, tapi pada masa yang sama menyembah berhala-berhala.
Mereka juga diajar oleh Rasulallah untuk berakhlak mulia terhadap orang lain yang dekat dengan mereka. Jiran-jiran dijaga dan saudara-mara dieratkan.
Lagi, mereka dilarang menuduh wanita-wanita suci. Logiknya, kalau menuduh wanita suci pun dilarang, adakah lagi menjadikan wanita-wanita sebagai permainan, hamba hawa nafsu, mahupun menjadikan wanita sebagai bahan hiburan semata-mata, dibenarkan?
Sungguh, banyak sekali pengajaran yang diambil oleh mereka yang memahami Islam. Moga kita diberi taufik dan hidayah untuk menuruti Salafus Soleh.
2 comments:
surah maryam; sudah yg sedap dibace n senang dipaham...
salam,
mintak izin copy entri ni,
nak print untuk dmanfaatkan,,
terima kasih,,,
Post a Comment