Wednesday, September 19

Ujian dan Kehidupan

Hidup di dunia memang tak lari diuji. Ada yang diuji dengan kemiskinan, penyakit, kesempitan masa dan sebagainya. Tak kurang juga yang diuji dengan banyak masa lapang, terlalu banyak harta, dan kesihatan.

Apabila ditimpa pelbagai musibah, manusia dapat bertahan. Akan tetapi, akan sampai satu masa, kalau ujian tertalu banyak manusia akan mula mengeluh dan tertekan. Kadangkala, seseorang muslim juga akan mengeluh walaupun dia telah dididik dengan keimanan dan bersangka baik dengan Allah.


Analogi berikut mungkin boleh membantu untuk memahami mengapa sesetengah manusia ditimpa kesusahan, manakala sebahagian yang lain pula mendapat kesenangan yang melimpah ruah.

Panglima Perang, Tenteranya, dan Kota

Untuk menawan sebuah kota, seorang panglima telah merancang satu strategi. Dia membahagikan pasukannya kepada dua pasukan. Pasukan pertama cuma seperlima bilangannya daripada keseluruhan tentera.

Tugas pasukan pertama ialah menyerang kota tersebut daripada semua bahagian. Matlamat utama pasukan pertama ialah mencari kelemahan kota tersebut. Dengan kata lain, pasukan pertama memang dihantar untuk mengorbankan nyawa mereka dalam mengenalpasti bahagian mana yang mudah untuk pasukan kedua tembusi.

Jika panglima tersebut hanya memikirkan keadaan individu dalam pasukan pertama, kota tersebut tidak dapat ditawan dan mungkin lebih banyak yang akan terkorban dalam peperangan tersebut. Oleh itu, ada hikmah panglima tentera itu berbuat sedemikian.

Begitu juga Allah yang mengatur alam ini. Allah tidak merancang untuk satu individu sahaja. Allah merancang untuk semua makhluknya. Jadi, jangan risau. Jika kita menghadapai kesusahan, kita sebenarnya memberikan keuntungan kepada dunia secara keseluruhannya.

Jadi, bersabarlah, tabahlah dan sentiasa mohon agar mendapat kekuatan daripada Allah Taala.

Salam.

1 comment:

Anonymous said...

analogi yg membawa manusia berfikir...

sgt2 benar...


wallahu a'lam...