Tuesday, October 14
Mari Terbang Bersama Burung
Dr. Maziar Arjomandi berkata,
(terjemahan)
"... lebah tak boleh terbang. Berdasarkan pengetahuan terkini tentang teori penerbangan, aerodinamik, dan sebagainya, kita masih tidak boleh menjelaskan mekanisma penerbangan seekor lebah..."
"...lebah memerlukan tiga kali ganda daya yang mampu untuk dihasilkannya untuk terbang. Dengan kata lain, lebah boleh menghasilkan satu unit daya, sedangkan lebah perlukan 3 unit daya untuk terbang..."
"...begitu juga dengan burung. Saintis boleh menjelaskan, walaupun secara tidak lengkap, bagaimana burung yang besar boleh terbang. Tapi, untuk burung-burung yang kecil, saintis masih tertanya-tanya, bagaimana alam membolehkan perkara ini terjadi..."
(Dr. Maziar adalah pensyarah 'Aeronautical Engineering', salah satu subjek yang ditawarkan dalam Pengajian Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Adelaide)
Subhanallah! Masih gagalkah manusia yang Allah Taala berikan akal kepada mereka untuk menyedari kehebatan-Nya.
Telah Allah jelaskan di dalam al-Quran, melaui Rasulallah s.a.w. yang kita cintai;
"Tidakkah mereka memerhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayap di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) melainkan selain yang Maha Pengasih. Sungguh, Dia Maha Melihat tiap-tiap sesuatu." (Al-Mulk 67:19)
Sahabat-sahabat pembaca sekalian, lihatlah. Inilah bukti wujudnya Allah Taala. Inilah kebijaksanaan Allah yang tidak ada tolok bandingnya. Sahutlah seruan Allah untuk melihat alam dan mencari kesan/bukti kekuasaan Allah Taala.
Sebenarnya, terlalu banyak kesan-kesan kekuasaan Allah yang Allah tunjukkan kepada kita. Bagi mereka yang mempelajari subjek-subjek kejuruteraan, perubatan, bioteknologi, geologi, dan segala macam cabang pengetahuan sains, mestilah sungguh-sungguh mencari Allah dalam apa-apa yang dipelajarinya. Jangan kita sia-siakan pemerhatian kita kepada alam. Seharusnya, apabila kita melihat alam, kita 'melihat' Allah Taala.
Tak perlulah sampai kita nampak lebah terbang dalam formasi 'Allah', atau dahan-dahan pokok tumbuh dalam bentuk 'Muhammad', atau lebah buat sarang dalam bentuk 'Allah', barulah kita nak nampak kebesaran Allah.
"Ya Allah, jadikanlah kami orang yang peka dengan kekuasaan-Mu, jadikan bukti kekuasaan-Mu yang terlihat dalam makhluk ciptaan-Mu, penguat keimanan kami. Ya Allah yang maha pemberi hidayah, berikan hidayah kepada kami agar kami sentiasa mengingati-Mu dan beramal soleh kepada-Mu. Ya Allah kami berterima kasih kepada-Mu atas petunjuk yang kau berikan kepada kami. Amin."
Subscribe to:
Posts (Atom)