2 bulan belakangan ini dihabiskan bersama dengan ceri-ceri. Maksud saya, bekerja di kilang ceri. Waktu rehat, lihat pemandangan bukit-bukit, minum kopi susu, dah hirup udara segar. Sekali-sekala berborak juga dengan kawan-kawan sekerja yang kebanyakannya berumur 45 tahun ke atas.
Macam-macam cerita yang mereka bualkan. Cerita yang paling hangat sekali sudah pasti bukan gosip-gosip artis atau cerita-cerita politik tanah air (Australia). Biasanya mereka akan bercerita tentang haiwan peliharaan, perkara yang mereka lakukan untuk mengisi masa lapang dan biasanya yang tua akan bercerita kepada yang muda tentang kahwin, dan keseronokan melihat anak-anak membesar, walaupun anak-anak biasanya memang memeningkan kepala. Tapi, yang menyejukkan hati lebih banyak daripada yang memeningkan kepala.
Satu kisah yang saya nak kongsi ialah hidup kawan sekerja saya, Brian yang berumur lebih kurang 50 tahun rasanya. Saya selalu berborak dengan dia. Pada waktu rehat, dan sedang-sedang bekerja.
Perkara yang mengejutkan saya ialah dia belum berkahwin dan tak nak berkahwin. Dia berkata, abangnya juga begitu. "Happy to be single". Saya pun bertanya, apa yang dia lakukan untuk mengisi kekosongan dalam hidup dia. Dia kata, dia main gitar, main komputer, dan kalau ada masa dan duit lebih dia akan melancong.
Brian juga ada memberitahu, ramai kawan-kawan dia yang sudah berkahwin tapi bercerai. Menyedihkan, katanya. Tapi, dia tak lalui kesedihan itu.
Kadar penceraian memang tinggi di negara-negara barat. Di U.S. misalnya, kadar penceraian adalah 50 peratus. Jadi, kalau berkahwin, ada kebarangkalian nak berpisah sama dengan kebarangkalian nak kekal bersama, hingga akhir hayat.
Lagi, selepas bercerai, mesti ada rasa nak kahwin balik. Ada yang berharap, perkahwinan kedua akan lebih bahagia sebab pengalaman mengajar kita menjadi lebih matang. Tapi, di U.S. kadar penceraian untuk perkahwinan kedua ialah 60 peratus, dan perkahwinan kali ketiga ialah 70 peratus. Pelik juga. Kata-kata hikmat, "Belajar daripada pengalaman", tak berkesan dalam kes kahwin ni.
Mungkin entri kali ni nampak macam melalut sikit. Mula-mula cerita tentang kerja. Pastu tentang Brian yang tak kahwin. Akhirnya, cerita tentang penceraian pulak.
Entahlah, dah lama tak menulis. Pedang kalau dibiarkan dalam sarung, berkarat juga. Mungkin ambil masa nak tajam balik.
Ambillah pengajaran yang mana boleh ambil. Tapi, jangan jadikan Brian tu sebagai contoh pulak. Muslim kena kahwin. Kena ada Azam nak kahwin.
Sampai sini dulu. Salam.