Thursday, June 14

Hubungan antara Muslim

Dari Abi Hurairah r.a. katanya: Telah bersabda Rasulullah s.a.w. : Janganlah kamu berdengki-dengkian, dan janganlah kamu bertipu-tiupan, dan jangalah kamu berbelakang-belakangan, dan janganlah setengah kamu menjual di atas penjualan setengah kamu dan jadilah kamu hai hamba Allah bersaudara.

Orang Islam saudara orang Islam, tiada boleh ia menganiayainya, dan tiada boleh membiarkannya (dalam kehinaannya), dan tiada boleh mendustainya dan tiada boleh menghinakanya.

Taqwa itu di sini - kata Nabi sambil menunjuk kedadanya tiga kali. Sudah cukup banyak kejahatan seorang itu, bahawa ia merendahkan saudaranya orang Islam. Sekelian orang Islam atas orang Islam haram darahnya dan hartanya dan kehoramatannya.

(Diriwayatkan oleh Imam Muslim)

Huraian

Hadis di atas menyatakan larangan-larangan Rasulallah s.a.w. ke atas muslim seluruhnya. Larangan-larangan tersebut bertujuan menjaga hubungan persaudaraan sesama muslim.

Berkenaan sifat dengki, Imam Ghazali berpendapat, dengki itu ada tiga macam.

1. Bercita-cita supaya hilang terus nikmat orang lain dan berpindah nikmat itu kepadanya.

2. Bercita-cita supaya hilang nikmat orang lain walaupun dia tidak mendapat nikmat itu.

3. Tidak bercita-cita supaya hilang nikmat itu pada orang lain, tetapi dia tidak suka orang lain lebih banyak mendapat nikmat daripada dirinya.

Secara amnya, manusia memang tidak dapat lari daripada sifat iri hati dan dengki. Pasti pernah terdetik di hati manusia rasa cemburu pada kesenangan yang dinikmati orang lain. Dalam satu hadis lain, Rasulallah s.a.w. bersabda:

"Tiap-tiap anak Adam ada hasadnya, dan tiada mendatangkan kemudaratan kepada orang hasadnya selama ia tiada pernah bercakap dengan lidah atau berbuat dengan tangan." ( Dikeluarkan oleh Abu Nu'im)

Jadi, jika timbul rasa iri hati, tahanlah supaya jangan rasa itu keluar sebagai kata-kata yang menyakitkan hati atau tindakan yang memudaratkan orang lain. Sebaliknya, cepat-cepat beristighfar dan pohonlah kesejahteraan kepada orang yang kita iri hati padanya tadi.

Moga diberi kekuatan.

Friday, June 8

Imbas Kembali: Murtad

Masa dalam kelas persediaan ke oversea dulu (PPOU), Lecturer yang mengajar subjek bahasa Inggeris bertanya tentang isu keluar daripada agama Islam. Dia berfahaman Kristian Katholik dan tahu sedikit sebanyak tentang agama Islam. Persoalan utama yang dia timbulkan ialah, Islam ialah agama tanpa paksaan, tetapi kenapa orang yang keluar daripada Islam perlu dihukum?

Tiada Paksaan Dalam Islam

"Tiada paksaan dalam agama, sesungguhnya telah jelas antara jalan yang benar dengan jalan yang sesat. Barangsiapa ingkar kepada Taghut dan beriman kepada Allah, maka sungguh, dia telah berpegang pada tali yang sangat kuat yang tidak akan putus. Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui." (Al Baqarah; 256)

Ayat tersebut menyatakan tentang tiada paksaan dalam agama Islam. Tiada paksaan yang dimaksudkan ialah orang Islam tidak boleh memaksa orang bukan Islam untuk memeluk Islam. Apa yang boleh dilakukan oleh orang Islam ialah memberi pendedahan tentang Islam kepada orang bukan Islam di sekeliling mereka melalui kata-kata dan akhlak yang baik.

Jadi, konteks tiada paksaan dalam Islam ialah seperti yang dinyatakan dalam perenggan sebelum ini.

Menjawab Persoalan

Mereka yang masuk Islam terikat dengan undang-undang Islam. Semua perkara diberi panduan dalam undang-undang Islam. Termasuk isu Keluar daripada Islam atau Riddah.

Jadi, dalam kelas tersebut, saya menerangkan skop atau konteks 'tiada paksaan dalam Islam'. Seterusnya, saya menjelaskan, orang yang masuk Islam terikat dengan peraturan yang ditetapkan oleh Islam dan jika dia keluar daripada Islam, ada peruntukan undang-undang Islam untuknya. Saya terangkan kepadanya melalui satu analogi.

Kontrak Islam

Seseorang yang membaca dua kalimah syahadah dengan niat masuk Islam, ibarat
menandatangani kontrak dengan Allah. Antara syarat dalam kontrak ialah, dia melaksanakan 'tanggungjawab syahadah'
dan Allah akan menjaga maruahnya, hartanya, keturunannya dan nyawanya.

Perkara lain yang termasuk dalam perjanjian ialah jika dia keluar daripada kontrak dia tidak ada cara lain melainkan kembali kepada Islam atau dibunuh. Jadi, dia mesti faham tentang kontrak yang dia tandatangani.

Yang paling penting, urusan dia keluar daripada Islam ialah urusan Islam. Bukan urusan undang-undang sivil, undang-undang sekular, atau undang-undang akal manusia.

Akhirnya lecturer saya faham dan menerima penjelasan saya.

Komen Peribadi

Islam menetapkan hukuman bunuh kepada orang yang keluar daripada Islam. Ini menunjukkan seseorang yang meninggalkan Islam, tiada nilai nyawanya dalam hidup ini.

Jangan salah anggap dengan pernyataan di atas. Saya tidak menyatakan yang orang bukan Islam tiada nilai hidup. Orang bukan Islam berbeza dengan orang yang keluar daripada Islam setelah menganutnya. Saya melihat orang bukan Islam sebagai potensi dan peluang. Ada ruang dalam hati mereka yang belum diisi. Ruang tersebut adalah ruang untuk Iman dan Islam.

"Ya Allah aku hambaMu dan aku akan kembali padaMu. Jadikanlah aku hambaMu yang tampil dihadapanMu pada hari kiamat kelak, dengan iman dihatiku, Islam di kananku dan amalanku di kiriku. Ampunkanlah dosaku, dan masukkanlah aku dalam golongan orang yang bertakwa. Amin."