Tuesday, March 27

Minggu yang sibuk

Memang tak dapat nak menulis sangat minggu ni. Ada saja perkara yang perlu diselesaikan. Assignment, homework, bola, luangkan masa ngan 'famili', dan macam-macam lagi.

Walaupun banyak perkara yang telah terjadi, ada suka ada duka, tapi tak sempat nak ditulis dalam blog ni.

Tapi, ada satu perkara yang nak dikongsi minggu ni.

"Dengan cinta, peraturan tidak menjadi beban."

Kata-kata ni saya dapat daripada seorang kawan. Ringkas dan menarik. Kata-kata ni menjawab satu persoalan: Kenapa kadang-kadang kita rasa peraturan itu suatu beban?

Kalau cintakan Allah segala peraturan Allah mesti takkan jadi beban. Kalau cintakan Rasulallah, sunahnya bukan suatu beban. Macam tu juga kalau cinta yang lain.

Kesimpulannya, semai cinta pada tempat yang betul supaya pengorbanan kita ditujukan pada tempat yang selayaknya.

Sampai sini dulu. Semoga diberi kekuatan.

Sunday, March 18

Teringat zaman dulu-dulu...

Istilah Cinta

Istilah cinta ramai yang tahu,
Falsafah cinta sedikit yang mengerti,
Cinta itu sebenarnya perlu,
Kerana ia anugerah Ilahi.

Yang utama cinta padaNya,
Kedua pula pada RasulNya,
Disusuli dengan cinta ibu bapa,
Cinta yang lain ikut semasa.

Cinta agama tinggi nilainya,
Ganjaran syurga menanti dipenghujungnya,
Nak dapatkannya pastilah sengsara,
Kalau tak diuji bagaimana dikatakan cinta.

Kali pertama saya menyanyi lagu ni, usia saya masih muda lagi. Tingkatan 2 masa tu. Masih belum berapa kenal dunia. Ilmu agama pun cetek lagi. Menyanyi hanya sekadar menyanyi. Sekadar menghiburkan hati dan mahu sampaikan sesuatu pada orang lain. Bila difikirkan balik, ironi juga. Ingin sampaikan mesej pada orang lain tapi diri sendiri tidak faham sepenuhnya lagi. Tapi, sekurang-kurangnya, ada usaha, betul tak? Jangan jadi setengah orang, pandai mengkritik, tapi tiada cadangan membina.

Bila sebut tentang cinta ramai yang teruja. Ada yang suka, ada yang berduka. Istilah cinta, memang ramai yang faham. Berkasih-sayang, berkongsi, berkorban, dan berbagai lagi tafsiran manusia tentang cinta. Bagaimana dengan falsafah cinta?

Saya pun susah nak beritahu, sebab ilmu dan pengalaman tentang cinta pun mentah lagi...

Tapi, secara ringkasnya, yang pertama sekali mestilah cinta pada Allah. Yang kedua, cinta pada Rasulnya. Kemudian, cinta ibu bapa.

Tetapi, banyaknya orang sekarang ni, cinta lain pula yang jadi agenda utama. Hati-hati jangan jadikan cinta lain tujuan utama hidup. Ingat kisah Muhajir Umm-Qais? ( Rujuk Hadis 40; Hadis Satu) Itu akibat letakkan cinta lain lebih daripada cinta Allah. Niat jadi lain. Balasan yang dapat pun balasan di dunia saja. Memang bahagia, tapi sekejap saja. Bila tamat hidup di dunia, tamatlah bahagia.

Seperkara lagi, cakap memang senang? Cuba buat! Saya sendiri pun susah juga. Tapi, jangan mudah putus asa. Ikhlaskan hati, tabahkan diri.

"Barangsiapa yang berusaha menabahkan diri, Allah akan memberinya tabah." (Riwayat Bukhari)*

Akhirnya, ada beberapa pesanan khas:

1) Marilah berusaha buktikan cinta. Kurangkan berkata 'Aku cintakan kau'. Mulalah berkata, 'Inilah bukti cintaku padamu'.

2) Kepada kawan serumah, usaha kena selari dengan apa-apa yang kita mahu. Kalau nak berjaya kena belajar. Kalau nak duit kena mintak/kerja. Kalau nak kawin, kena sedia.

Moga diberi kekuatan oleh Allah. Amin.

Rujukan

*Muhammad Al-Ghazali; Akhlak Seorang Muslim

Saturday, March 10

Susah sangat ke nak maafkan orang lain??

Manusia itu lemah. Kesilapan memang sesuatu yang MESTI. Wahai manusia yang membaca, tolonglah terima kelemahan diri kita. Tolonglah...

Aku MEMANG bukan orang yang terbaik. Susah ke nak maafkan dan beri masa untuk berubah? Apa masalah kau sebenarnya? Dinding apa yang ada di antara hati kau dan kemaafan? Dinding ego? Dinding cinta? Dinding senioriti?

SESUNGGUHNYA, aku tidak kisah walau satu dunia nak KATA aku jahat, tidak boleh jadi baik, dan seribu satu lagi penghinaan, aku tidak kisah. Yang bagi aku masa ialah Allah. Yang bagi aku nyawa pun Allah. Kalau kau tidak mahu menyokong aku, kalau kau mahu tinggalkan aku pun, tinggalkanlah. Aku akan cuba mencari cinta Dia yang tidak meninggalkan Aku.

Aku silap sebab aku tidak faham. Aku silap sebab aku kurang berfikir. Aku sedang mencari ilmu untuk faham. Aku sedang cuba berfikir sebanyak yang boleh. Beri aku sedikit masa.

Kalau kau tinggalkan aku sekarang, tinggalkanlah! Nanti, aku akan kembali kepada engkau sebab aku telah menerima engkau. Baik buruk kau aku dah terima. Cuma satu perkara aku nak tahu, baik buruk aku, sudah kau terima?

Monday, March 5

Belajar Tentang Bahan, Belajar Tentang Tuhan

Intro

Semua orang sedang belajar. Ada yang belajar Matematik, Sains, Fizik, Usuluddin, Feqah dan sebagainya. Tuntut ilmu ibadah. Ibadah pula tujuan jin dan manusia diciptakan. Manusia dan jin tidak diciptakan sia-sia dan bukan untuk main-main.

Dunia pula tempat tinggal manusia. Singkat, dan sementara. Tidak kekal. Semua itu sifat dunia. Boleh juga dikatakan dunia ini hina. Dunia ini sehina bangkai kambing. Rugi amat kalau mengejarnya.

Isi

Minggu lepas, saya belajar tentang bahan (Materials and Manufacturing). Antara perkara menarik yang baru saya tahu ialah semua bahan tidak kira dalam bentuk apa sekalipun (besi, polimer, dan komposit) tidak mungkin wujud 100% asli dan mesti ada kecacatan. MESTI ada kecacatan.

Terus terfikir sehingga begitu sekali Allah hendak membuktikan Dia ada. Dia menunjukkan tidak ada sesuatu pun yang sempurna di dunia. Sehingga begitu sekali Dia memberi petunjuk kepada manusia. Benarlah dia Maha Penyayang. Dia tidak meninggalkan hambanya di dunia tanpa diberi sebarang bukti dan petunjuk.

Oleh kerana itu, marilah kita mengaitkan apa-apa yang kita pelajari kepada Allah kerana Dia tidak hina. Allah tidak seperti dunia yang hina. Amat murah usaha kita kalau kita hanya fikir sepenuhnya untuk dunia. Kaitkan apa-apa yang kita pelajari dengan Allah. Dengan itu, usaha itu akan lebih bermakna.

Kesimpulan

1. Kaitkan ilmu yang kita pelajari dengan kekuasaan Allah.
2. Jangan lakukan sesuatu perkara kerana dunia.


Moga diberi kekuatan.