Saturday, November 18

Aiyuhas Syabab... ( Wahai pemuda...)

"Sesungguhnya sesuatu fikrah itu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang beriman penuh dengan ajarannya, yang benar-benar jujur dalam usaha menegakkan hukum-hukumnya, yang mempunyai semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan disamping itu terdapat pula kemudahan persiapan yang boleh mendorong manusia ke arah berkorban (bertindak) serta terus bertindak menjayakannya." ( Al-Banna)

Dalam setiap perjuangan, kemenangan adalah sasaran pejuang. Kemenangan yang hakiki hanya pada mereka yang berjuang beserta bantuan Allah dan Bantuan Allah akan turun kepada mereka yang layak mendapat bantuan Allah.

Dalam peristiwa Badar, bilangan bukan penentu kejayaan. Kecanggihan senjata dan kenderaan perang bukan juga penjamin kejayaan ada dalam genggaman. Pejuang Islam menang ketika itu kerana Allah beri kemenangan kepada mereka. Pejuang Islam ketika itu layak mendapat bantuan Allah.

Merujuk kepada kenyataan Al-Banna dalam risalah 'Wahai Pemuda' dia atas, itulah sifat yang perlu ada dalam ahli sesebuah pergerakan fikrah. Penekanan diberi kepada pemuda pergerakan fikrah. Mereka mestilah mempunyai keimanan yang benar-benar tulen atas ajaran pergerakan. Mereka juga mestilah mempunyai kejujuran ( sadiq ). Kejujuran ini ialah hati mereka dengan tulus mahu kepada pergerakan itu dan sentiasa bersama dengan ajaran pergerakan dalam ramai mahupun ketika sendirian.

Pemuda juga mestilah mempunyai semangat untuk berjuang kerana semangat itulah minyak yang akan membakar api tindakan. Akhir sekali, pemuda mestilah bersifat dinamik; sentiasa bergerak dan beramal dengan fikrah jemaah, bukan hanya pandai bersyarah dan berfikir. Mesti ada aplikasi dan tindakan.

Perlu diingat, semua ciri-ciri itu bukan sesuatu yang ada dengan sekelip mata, atau diperolehi dengan mudah. Perlu ada tarbiah yang terancang dan tersusun, serta latihan-latihan, perlu diwujudkan untuk membentuk pemuda yang bersifat seperti sifat yang telah disebut.

Antara medium latihan yang mudah ialah usrah. Rasulallah memberi pendedahan kepada sahabat dengan perjumpaan-perjumpaan dan perbincangan-perbincangan mengenai Islam. Inilah cara Rasulallah, dan inilah juga cara kita, jika kita mahu berjaya di dunia dan di akhirat.

Hingga berjumpa lagi...